Skip to main content

Singapura

9 lelaki diberkas kerana curi besi buruk dari tongkang dekat Pulau Kusu

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sembilan lelaki yang berusia antara 30 dengan 42 tahun diberkas kerana disyaki terlibat mencuri besi buruk daripada sebuah tongkang. 

Demikian menurut polis pada Rabu (20 Apr). 

Sekitar 10.30 malam pada Selasa (19 Apr), Polis Pengawal Pantai (PCG) mengesan sebuah sampan yang mencurigakan di sebelah tongkang yang sedang bergerak. Tongkang itu sedang ditarik oleh sebuah kapal tunda berdaftar di luar negara di perairan Pulau Kusu (juga dikenali sebagai Pulau Tembakul). 

"Sumber-sumber rondaan PCG dengan serta-merta bertindak untuk memintas sampan yang mencurigakan itu," menurut polis. 

Enam orang ditemui di atas tongkang itu, manakala lagi dua sedang bersembunyi. 

Lapan daripada mereka dipercayai tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah bersama mereka. 

Siasatan awal mendapati salah seorang anak kapal daripada kapal tunda itu dipercayai berpakat dengan mereka untuk menaiki tongkang berkenaan dan mencuri logam sekerap itu.

Dia diberkas bersama dengan lapan lelaki lain yang dipercayai memasuki Singapura secara haram. 

Sampan, besi buruk dan pisau dirampas sebagai bahan bukti. 

Sembilan lelaki itu akan didakwa pada Khamis (21 Apr) atas tuduhan mencuri. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan didenda. 

Sesiapa sahaja yang didapati bersalah kerana memasuki Singapura secara haram boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan dan disebat sekurang-kurangnya tiga kali. 

"PCG akan terus mengambil tindakan tegas terhadap pesalah untuk melindungi perairan negara kita dan sempadan laut daripada ancaman keselamatan dan jenayah," menurut polis. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita