9 lagi suspek diberkas selepas pergaduhan bersenjata di Chinatown
Polis memberkas lagi sembilan orang sedang ia memburu para suspek yang terbabit dalam satu pergaduhan di Chinatown pada Ahad (10 Mei). Seorang remaja berusia 18 tahun dibawa ke hospital menyusuli kejadian itu.
Lapan lelaki dan seorang wanita - berusia antara 18 hinga 28 tahun - diberkas antara 10 Mei hingga 12 Mei dalam beberapa serbuan yang dijalankan di merata negara. (Gambar: SPF)
SINGAPURA: Polis memberkas lagi sembilan orang sedang ia memburu para suspek yang terbabit dalam satu pergaduhan di Chinatown pada Ahad (10 Mei). Seorang remaja berusia 18 tahun dibawa ke hospital menyusuli kejadian itu.
Tiga lelaki sudahpun ditangkap lebih awal pada hari kejadian itu setelah dua kumpulan didakwa merusuh dengan menggunakan senjata berbahaya di People’s Park Centre.
Siasatan awal oleh polis mendedahkan pergaduhan itu tercetus kerana pertikaian antara seorang anggota daripada kumpulan masing-masing mengenai seorang wanita.
Dalam satu kenyataan media pada Selasa (12 Mei), polis menyatakan lapan lelaki dan seorang wanita - berusia antara 18 dengan 28 tahun - diberkas antara 10 dengan 12 Mei setelah para pegawai daripada Jabatan Siasatan Jenayah (CID) serta Divisyen Polis Tengah menjalankan beberapa serbuan di merata negara.
Kesemua sembilan suspek yang ditangkap itu dipercayai adalah anggota sebuah kumpulan samseng, terlibat dalam perhimpunan haram dan merusuh dengan membawa senjata berbahaya.
Di samping kesalahan yang dipercayai dilakukan itu, polis juga sedang menyiasat salah seorang daripada lelaki itu kerana memberikan perlindungan kepada lagi dua lelaki yang ditangkap.
Polis mengingatkan orang awam bahawa memberikan perlindungan kepada pelarian adalah satu kesalahan serius yang boleh membawa kepada hukuman penjara dan denda.
Dengan peraturan diperketatkan untuk menghadkan kegiatan sosial dan interaksi semasa pandemik COVID-19, semua orang yang ditangkap juga akan disiasat kerana melanggar langkah jarak selamat di bawah Peraturan (Perintah Kawalan) (Langkah Sementara) COVID-19 2020.
Untuk membantu dalam siasatannya, polis kini merayu bagi maklumat di mana dua lagi orang: Muhammad Syukri Muhammad Iskandar dan Muhammad Ilham Noordin berada.
(Muhammad Syukri Muhammad Iskandar (kiri) dan Muhammad Ilham Noordin. Gambar: SPF)
Mereka yang mempunyai maklumat tentang kedua-dua lelaki itu diminta menghubungi talian CID di 6435 0000 atau talian polis di 1800 255 0000. Semua maklumat yang diterima akan dirahsiakan.
Kesalahan merusuh ketika membawa senjata berbahaya boleh membawa kepada hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan rotan.
Jika didapati bersalah berhimpun secara haram, seseorang boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan menganggotai persatuan haram, seseorang boleh dihukum di bawah Akta Persatuan, Seksyen 14(3), yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau didenda sehingga S$5,000 atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.