9 ladang diberi geran hampir S$40 juta untuk tambah pengeluaran makanan tempatan
Sembilan syarikat dianugerahkan geran berjumlah S$39.4 juta secara keseluruhan di bawah skim memperkukuhkan jaminan makanan Singapura, menurut Agensi Makanan Singapura (SFA) pada Rabu (9 Sep).
(Gambar: SFA/Facebook)
SINGAPURA: Sembilan syarikat dianugerahkan geran berjumlah S$39.4 juta secara keseluruhan di bawah skim memperkukuhkan jaminan makanan Singapura, menurut Agensi Makanan Singapura (SFA) pada Rabu (9 Sep).
Diumumkan pada April, geran 30x30 Express menyokong usaha untuk mempertingkatkan penghasilan makanan yang biasa diambil seperti telur, sayuran dan ikan.
Ia adalah sebahagian daripada matlamat untuk memenuhi 30 peratus keperluan pemakanan Singapura dengan makanan yang dihasilkan secara tempatan menjelang 2030. Penyesuaian yang dilakukan bertujuan menangani cabaran jangka panjang negara, termasuk perubahan iklim, gangguan rangkaian bekalan dan sumber, serta pandemik COVID-19.
Menurut SFA, pihaknya sudah menerima lebih 40 cadangan menjelang tarikh tutup permohonan geran pada hujung Mei.
Saranan-saranan oleh sembilan syarikat terpilih "menggabungkan sistem pertanian dengan daya penghasilan tinggi yang boleh dibina dan dilaksanakan dengan cepat untuk mencapai tahap pengeluaran yang tinggi,"menurut agensi itu.
"Cadangan-cadangan itu juga menunjukkan potensi baik untuk berjaya melaksanakan projek-projek berdasarkan rekod pencapaian, pengalaman pertanian dan pasukan projek syarikat," tambah SFA.
Peruntukan asal bernilai S$30 juta dinaikkan untuk menyokong saranan-saranan itu.
SFA menyatakan bahawa tujuh daripada sembilan penerima sudah menerima geran itu, termasuk enam ladang sayuran dan ladang penternakan telur Chew's Agriculture.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.