Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

9 kelompok baru COVID-19 dikenal pasti di S'pura

Singapura melaporkan 632 kes baru COVID-19 setakat tengah hari pada Selasa (5 Mei), menjadikan jumlah keseluruhan 19,410 kes.

Anggaran Waktu Membaca:
9 kelompok baru COVID-19 dikenal pasti di S'pura

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 06 May 2020 12:01AM Dikemas Kini : 06 May 2020 12:10AM

SINGAPURA: Singapura melaporkan 632 kes baru COVID-19 setakat tengah hari pada Selasa (5 Mei), menjadikan jumlah keseluruhan 19,410 kes.

Sebanyak 605 daripada jumlah kes baru itu melibatkan pemegang permit kerja yang tinggal di dormitori pekerja asing, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kemas kini hariannya.

Sebanyak 15 kes melibatkan pemegang permit kerja yang tinggal di luar dormitori.

MOH dalam kemas kini pada Selasa malam mendedahkan terdapat 12 kes dalam masyarakat, terdiri daripada lapan warga negara atau penduduk tetap Singapura, dan empat pemegang pas kerja.

Jumlah warga Singapura atau penduduk tetap dikemas kini menyusuli perangkaan awal MOH kerana satu kes telah "diklasifikasi semula" ekoran pengesanan hubungan, tambah kementerian itu.

"Jumlah kes baru dalam masyarakat merosot, daripada purata harian 17 kes sehari pada minggu sebelumnya kepada 10 kes sehari minggu lalu," tambah MOH.

"Jumlah kes tanpa kaitan dalam masyarakat juga merosot, dari purata 10 kes sehari pada minggu sebelumnya kepada purata lima kes sehari dalam seminggu lalu. Kami akan terus memantau rapi perangkaan ini serta kes-kes yang dikesan menerusi program pantauan kami."

Seramai 62 pesakit dibenarkan pulang setelah pulih sepenuhnya.

Kementerian tersebut juga melaporkan satu lagi kes dari sektor jagaan kesihatan awam.

Kes 19,360 adalah seorang lelaki warga Singapura 20 tahun yang tidak mempunyai sejarah perjalanan ke sebarang negara atau kawasan terjejas.

Beliau bekerja sebagai seorang jururawat di kemudahan penjagaan masyarakat di Singapore Expo.

Beliau disahkan dijangkiti COVID-19 pada Selasa, dan kini dirawat di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID).

Kes 16,370, seorang lelaki warga Bangladesh 44 tahun meninggal pada Selasa.

Beliau dimasukkan ke Hospital Khoo Teck Puat pada Apr 29, dan dirawat bagi serangan jantung. MOH menyatakan beliau disahkan positif COVID-19 pada hari yang sama.

Punca kematian adalah penginfarkan miokardium akut, menurut kementerian itu.

MOH turut melaporkan sembilan kelompok baru: 60 Benoi Road, 100A Central Boulevard, sebuah tapak binaan di Clementi N2C3, 1 North Coast Drive, 31 Sungei Kadut Loop, 9 Tech Park Crescent, 80 Tuas Avenue 1, 15 Tuas View Close dan 131 Tuas View Square.

BILA PEMUTUS RANTAIAN JANGKITAN AKAN DITARIK BALIK?

Situasi COVID-19 di Singapura dibincangkan di Parlimen pada Isnin (4 Mei), dengan Menteri Kesihatan Gan Kim Yong memberikan faktor-faktor yang perlu dipertimbangkan sebelum langkah pemutus rantaian jangkitan boleh ditarik balik.

Salah satu faktor adalah jumlah kes jangkitan harian dalam kalangan masyarakat harus turun ke angka sifar atau satu angka untuk kekal begitu untuk tempoh berlanjutan, dengan jumlah amat rendah kes-kes tanpa kaitan.

Beliau juga menambah jumlah kes jangkitan perlu turun bagi kes-kes pekerja asing iaitu kumpulan terbesar yang terjejas oleh penularan virus korona di Singapura.

Menurut Encik Gan, ini akan mengambil masa "lebih lama lagi".

Sementara situasi COVID-19 di dormitori pekerja asing lebih besar rata-rata stabil sekarang, gambaran keadaan di dormitori lebih kecil masih "bercampur-campur", kata Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo pada Isnin.

Singapura juga sedang menimbangkan strategi ujian COVID-19 seluruh negara, sedang Pemerintah mempertingkatkan keupayaan ujiannya, tambah Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong di Parlimen.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan