Skip to main content

Singapura

9 individu alami keadaan kulit berbahaya selepas makan ubat modafinil tidak berdaftar

Sembilan individu di Singapura dimasukkan ke hospital tahun lalu kerana mengalami keadaan kulit yang berbahaya selepas makan ubat tidak berdaftar dikenali sebagai modafinil atau armodafinil.

Anggaran Waktu Membaca:
9 individu alami keadaan kulit berbahaya selepas makan ubat modafinil tidak berdaftar

Sembilan individu di Singapura dimasukkan ke hospital pada 2024 kerana mengalami keadaan kulit yang berbahaya selepas makan ubat tidak berdaftar. (Gambar: Penguasa Sains Kesihatan)

Diterbitkan : 10 Mar 2025 06:57PM Dikemas Kini : 10 Mar 2025 06:58PM
SINGAPURA: Sembilan individu di Singapura dimasukkan ke hospital tahun lalu kerana mengalami keadaan kulit yang berbahaya selepas makan ubat tidak berdaftar dikenali sebagai modafinil atau armodafinil.

Ia adalah sejenis ubat berbahaya yang tidak berdaftar di Singapura namun boleh didapatkan di sesetengah negara dengan preskripsi doktor untuk pesakit yang mengalami kondisi perubatan tertentu seperti narkolepsi, iaitu kondisi perubatan yang menjejas keupayaan seseorang untuk tidur atau berjaga.

Sembilan pesakit yang terdiri daripada tujuh orang lelaki dan dua wanita berusia antara 18 dengan 57 tahun, dimasukkan ke hospital antara Februari 2024 dengan Februari 2025, menurut Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada Isnin (10 Mac).

Mereka membeli ubat modafinil dan armodafinil dari penjual jalanan di Geylang atau daripada teman-teman mereka.

Ada yang katakan bahawa mereka makan ubat itu supaya mereka lebih cergas atau untuk menambah tenaga, menurut HSA.

"Salah seorang daripadanya mengambil ubat itu sebagai 'ubat suplemen untuk menambah tenaga dan meningkatkan kesihatan," menurut HSA.

Enam individu mengalami sindrom Stevens-Johnson (SJS), iaitu keadaan kulit berbahaya di mana kulit pesakit akan melepuh dan mengelupas dengan teruk.

Salah seorang daripada mangsa, iaitu seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40an tahun, mengalami beberapa ulser di mulut yang menyebabkan beliau tidak dapat makan dan bercakap selama beberapa hari, menurut HSA.

Lagi tiga individu mengalami nekrolisis epidermis toksik, iaitu jenis SJS yang lebih teruk.

"Mereka mengalami kerengsaan kulit yang serius dan ruam melepuh yang menyakitkan serta kulit terkopek pada seluruh tubuh," menurut HSA.

"Salah seorang daripada mangsa iaitu seorang lelaki dalam lingkungan usia 20an tahun, mengalami lepuhan kulit menyakitkan pada 60 peratus tubuhnya, termasuk wajah, dada, tangan, alat sulit, kaki dan tapak kakinya."

Kebanyakan mangsa yang menggunakan ubat itu sedang pulih, tanpa sebarang kematian dilaporkan, menurut HSA.

Penjualan dan pembekalan ubat modafinil dan armodafinil tanpa kebenaran HSA adalah satu kesalahan di bawah Akta Produk Kesihatan.

Para pesalah boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, didenda sehingga S$50,000 atau kedua-duanya sekali.
Sumber : CNA/HA/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita