9 hotel baharu dan yang disuntik nafas baharu di SG untuk 'staycation'
Selain pembukaan hotel-hotel baharu ini, beberapa hotel turut memaparkan wajah baharu selepas kerja-kerja naik taraf, seperti di Marina Bay Sands, Mandarin Oriental dan Pan Pacific Singapore.
Jika anda masih lagi merancang percutian ringkas untuk hujung tahun ini, berikut pakej-pakej 'staycation' di hotel-hotel yang baharu atau yang disuntik nafas baharu yang boleh anda pertimbangkan.
COMO METROPOLITAN SINGAPORE
Ditempatkan di bangunan baharu COMO Orchard di Bideford Road, COMO Metropolitan Singapore merupakan hartanah pertama syarikat tempatan COMO Group di Singapura.
Sebagai sambutan pembukaannya, hotel itu kini menawarkan promosi satu malam percuma bagi setiap tiga malam yang ditempah di hotel itu.
Harga bermula dari S$380++.
MANDARIN ORIENTAL
Mandarin Oriental dibuka semula pada September lalu selepas ditutup selama enam bulan bagi kerja-kerja naik taraf. Reka bentuk dalamannya kini menampilkan elemen khas Singapura, seperti seni bina Peranakan, rumah hitam putih serta pokok Angsana.
Harga bermula dari S$404.
MARINA BAY SANDS
Sebagai sebahagian daripada program pelaburan semula AS$1 bilion (S$1.3 bilion), bilik-bilik baharu di Marina Bay Sands ini memberikan pengalaman seperti berada di rumah, namun dalam versi lebih 'atas'.
Sentuhan reka bentuknya mengambil inspirasi daripada persekitaran Singapura yang berbilang budaya.
Harga bermula dari S$559.
PAN PACIFIC ORCHARD
Dengan struktur yang berbentuk seperti permainan Jenga, hotel ini pastinya menarik perhatian ramai di Orchard Road. Ia menawarkan empat bilik teres terbuka yang dinamakan Hutan, Awan, Pantai dan Taman. Setiap bilik-bilik itu dihiasi dedaunan menghijau.
Antara kemudahan yang ada termasuk sebuah kolam renang lagoon.
PAN PACIFIC SINGAPORE
Pan Pacific Singapore juga memaparkan penampilan baharu pada Ogos selepas kerja-kerja pengubahsuaian. Selain daripada reka bentuk dalaman yang diperbaharui, hotel itu menempatkan Pacific Emporium, sebuah destinasi makanan dan beli-belah.
Bagi cuti sekolah hujung tahun pula, hotel itu juga menawarkan pakej Enchanted Urban Jungle Suite, yang termasuk penginapan di suite keluarga bertema yang pertama di hotel itu. Mereka juga akan dapat menikmati set unggun api percuma, mainan mandian serta tiket ke taman permainan dalaman Kiztopia di Marina Square selama tiga jam.
Harga bermula dari $350.
ROBERTSON HOUSE
Riverside Hotel Robertson Quay pula kini berubah wajah menjadi Robertson House by The Crest Collection selepas sebuah projek pembaikan dan penjenamaan semula. Ia bertujuan memberi para tetamu pengalaman masa lalu, melihat waktu zaman kolonial British melalui pandangan Dr Murray Robertson, seorang Ahli Majlis Perbandaran terkemuka sewaktu negara itu menjadi pelabuhan entrepot dari 1819 hingga 1941.
Harga bermula daripada S$210.80
PULLMAN SINGAPORE ORCHARD
Hotel Pullman Singapore Orchard merupakan yang pertama daripada jenama Pullman di Singapura. Terletak di tengah-tengah Orchard Road, ruang utama hotel itu direka untuk menyambut kuasa fesyen di sekelilingnya. Hotel itu turut menawarkan ruang-ruang kerja bersama.
Harga bermula daripada S$238.
PULLMAN SINGAPORE HILL STREET
Hotel kedua di bawah jenama Pullman ini dibuka Oktober lalu. Pullman Singapore Hill Street itu mengambil inspirasi daripada permulaan jenama itu dalam perjalanan kereta api mewah. Ini jelas kelihatan di seluruh hotel itu, daripada lantai ke dinding yang memaparkan berbagai hiasan vintaj di lobi, dan bilik-bilik suite yang dihias berdasarkan kabin kereta api privet. Porter Pullman juga sentiasa bersedia untuk menawarkan nasihat mengenai tempat-tempat yang perlu dilawati atau membuat jadual perjalanan yang sesuai untuk tetamu.
Harga bermula dari S$253.
MAXWELL RESERVE
Walaupun Maxwell Reserve bukanlah antara hotel yang baharu pada tahun ini, ia tetap menawarkan pengalaman yang perlu dialami sendiri. Hotel ini dibuka semula sebagai sebahagian daripada Koleksi Tandatangan Marriott pada pertengahan tahun 2022. Hotel ini ditempatkan di bangunan kolonial British yang berdekad lama, dengan bilik-bilik serta ruang-ruang yang direka oleh pereka bentuk dalaman Perancis Jacques Garcia.
Harga bermula dari S$283.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.