9 hospital guna tepung susu Abbott yang diarahkan supaya ditarik balik
(Gambar: SFA)
SINGAPURA: Sembilan hospital di Singapura mengesahkan penggunaan tepung susu bayi, Abbott, yang sebelum ini diarahkan supaya ditarik balik. Siasatan sedang dijalankan untuk menentukan sejauh mana susu itu sudah digunakan, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Rabu (23 Feb).
MOH menasihatkan semua hospital awam dan privet supaya berhenti menggunakan dua produk berkenaan - tepung susu bayi Abbott Similac Alimentum, dibungkus dalam tin-tin seberat 400 gram, dan Similac Human Milk Fortifier dalam paket-paket 0.9 gram.
Arahan menarik balik tepung-tepung susu bayi itu - Abbott Similac Alimentum pada Sabtu lalu dan Similac Human Milk Fortifier pada Rabu - dikeluarkan kepada Abbott Laboratories oleh Agensi Makanan Singapura (SFA). Ini disebabkan oleh kemungkinan pencemaran bakteria Cronobacter sakazakii dan Salmonella Newport.
Kedua-dua produk itu berasal dari Amerika Syarikat (AS).
Cronobacter sakazakii adalah bakteria yang mampu hidup dalam persekitaran kering, misalnya dalam makanan kering seperti tepung susu bayi, menurut MOH.
Bakteria itu tidak boleh merebak dari seorang individu ke seorang individu lain.
Sementara itu, Salmonella Newport pula sejenis bakteria yang boleh ditemui dalam banyak makanan termasuk sayur-sayuran, daging dan makanan diproses.
Salmonella boleh menjangkiti seseorang yang makan makanan yang sudah tercemar.
"Siasatan sedang dijalankan untuk menentukan sejauh mana produk-produk berkenaan digunakan di hospital-hospital kami," menurut MOH.
Setakat ini, sembilan hospital ini sudah mengesahkan penggunaan produk-produk tersebut:
Hospital Gleneagles
Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KH)
Hospital Mount Alvernia
Hospital Mount Elizabeth
Hospital Mount Elizabeth Novena
Hospital Universiti Nasional (NUH)
Hospital Raffles
Hospital Besar Singapura (SGH)
Pusat Perubatan Thomson
"Kami sedang bekerjasama dengan hospital-hospital untuk mengenal pasti dan menghubungi ibu bapa serta penjaga pesakit, yang mungkin sudah menerima produk-produk itu, untuk menasihatkan mereka tentang langkah-langkah yang harus diambil," menurut MOH.
Setakat ini, hospital-hospital berkenaan belum melaporkan sebarang kes kejadian buruk yang timbul akibat penggunaan produk-produk itu. MOH menyatakan ia akan terus memantau rapi keadaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.