9 barista Melayu tanding gelaran barista terbaik S'pura dalam Cafe Asia 2019
Khas untuk para penggemar kopi dan mereka yang berura-ura memulakan perniagaan kafe, pameran Cafe Asia 2019 dibuka pada Khamis (21 Mac) di Pusat Expo dan Konvensyen Marina Bay Sands.
SINGAPURA: Khas untuk para penggemar kopi dan mereka yang berura-ura memulakan perniagaan kafe, pameran Cafe Asia 2019 dibuka pada Khamis (21 Mac) di Pusat Expo dan Konvensyen Marina Bay Sands.
Selain daripada mempamerkan pelbagai produk dan inovasi berkaitan dengan kopi, para pengunjung juga boleh menyaksikan para barista dari pelbagai kafe di merata Singapura beradu kemahiran mereka dalam membuat kopi.
Semua itu bagi merebut gelaran barista terbaik Singapura.
Kedua-dua kejohanan iaitu 'Latte Art Championship' dan 'Singapore Cup Tasters' pada tahun ini menarik seramai 21 barista. Menariknya, sembilan di antara mereka adalah peserta Melayu.
Kesemua barista-barista itu dipilih untuk mewakili kafe-kafe masing-masing berdasarkan daya kreativiti yang tinggi dan pengetahuan yang mendalam terhadap seni membuat kopi serta sikap profesionalisme yang mereka tonjolkan dalam pekerjaan seharian.
BARISTA KHERWANIS ISKANDAR MAHU UJI DIRI
Penyertaan dalam kejohanan tahun ini merupakan kali yang kedua buat Encik Kherwanis Iskandar, 32 tahun, seorang barista dari kafe Mellower Coffee. Kali pertama beliau memasuki kejohanan itu adalah pada tahun 2016.

Encik Kherwanis Iskandar mewakili kafe Mellower Coffee. (Gambar: BERITAmediacorp)
Encik Kherwanis berkata: "Saya sudah berada dalam industri ini selama lapan, sembilan tahun sekarang, dan saya rasa lebih tercabar untuk cuba dalam pertandingan yang lebih besar.
"Saya rasa bukan semua orang yang berani untuk cuba dalam pertandingan ini."
Bagi kejohanan itu para barista akan diuji dan dinilai dalam pelbagai aspek termasuk kepantasan, ketelitian, ketepatan cara dan rasa kopi yang mereka hasilkan.
Menurut Encik Kherwanis, meskipun beliau mempunyai pengalaman bertanding dalam kejohanan itu, jantungnya tetap berdebar-debar apabila berdepan panel hakim.
"Dalam peraduan ini kita akan diuji dari segi pengetahuan, kemahiran dan juga kita cara kita menangani tekanan dari pengunjung," katanya.
SHAEZWAN EFFENDY MAHU MARTABATKAN KERJAYA BARISTA
Lebih daripada sekadar menempa nama dalam bidang membuat kopi, Encik Shaezwan Effendy, 30 tahun, dari kafe Jewel Coffee ingin mengetengahkan kepada orang ramai tentang kerjaya seorang barista.

Encik Shaezwan Effendy mewakili kafe Jewel Coffee. (Gambar: BERITAmediacorp)
"Seorang barista itu bukan sekadar membancuh kopi tetapi dia juga harus mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang tinggi," kata Encik Shaezwan.
Kenyataan beliau itu turut disokong oleh Encik Kherwanis.
"Seorang barista itu sebenarnya lebih artistik. Dia lebih faham mengenai kopi, dan mereka lebih mendalami segala ciri di dalam kopi," hujah beliau.
Pemenang pertandingan barista itu akan diumumkan pada Sabtu (23 Mac). Juara bagi setiap kejohanan akan mewakili Singapura dalam peringkat antarabangsa, di Berlin pada lewat tahun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.