Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

9 ahli sindiket jenayah dipenjara; tipu pembeli minyak kapal

Sembilan anggota sindiket jenayah dihukum penjara kerana memperdaya para pembeli bahan bakar marin dengan menggunakan magnet (besi berani) untuk mengubah meter aliran massa di dua kapal tangki minyak

Anggaran Waktu Membaca:
9 ahli sindiket jenayah dipenjara; tipu pembeli minyak kapal

Sindiket itu mengganggu meter aliran massa di kapal tunda kapal tangki Southernpac dengan menggunakan magnet kekuatan perindustrian. (Gambar: SPF)

Diterbitkan : 30 Sep 2021 11:58AM Dikemas Kini : 30 Sep 2021 06:26PM

SINGAPURA: Sembilan anggota sindiket jenayah dihukum penjara kerana memperdaya para pembeli bahan bakar marin dengan menggunakan magnet (besi berani) untuk mengubah meter aliran jisim di dua kapal tangki minyak.

Para pembeli ditipu minyak kapal bernilai sekitar AS$336,930 (S$458,275) secara keseluruhannya. Demikian menurut kenyataan bersama oleh Pejabat Peguam Negara (AGC), Penguasa Maritim dan Pelabuhan (MPA) serta Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Khamis (30 Sep).

Pihak berkuasa menyatakan penipuan itu dirancang oleh tiga "dalang" iaitu Ang Heng Lye, Tay Tien Whui dan Kek Kah Hui.

Ia dijalankan oleh enam pegawai kargo yang berada atas kapal tangki minyak itu: Ang Heng Chye, Stanley Heng Meng Wee, Lionel Leong Wai Chew, Andy Chua Yew Hui, Gab Chua Yan Jing dan Kek Kah Hee.

Penipuan itu melibatkan penggunaan magnet kekuatan industri untuk mengubah peralatan meter aliran jisim di kapal tunda kapal tangki minyak Southernpec 6 dan Southernpec 7.

Meter aliran jisim mengukur jumlah bahan bakar yang dipindahkan dari kapal tunda ke kapal pembeli.

MPA mewajibkan penggunaannya bagi pengiriman bahan bakar marin kerana ia memberikan jaminan kepada pembeli dan pembekal mengenai jumlah bahan bakar yang dikirimkan serta meningkatkan ketelusan dalam proses mengisi bahan bakar, menurut kenyataan bersama itu.

Magnet itu menyebabkan meter-meter mencatatkan jumlah bahan bakar lebih tinggi daripada apa yang sebenarnya dipindahkan ke kapal pembeli.

Ketiga-tiga dalang itu membekalkan magnet dan mengajar para pegawai kargo bagaimana untuk menggunakannya pada meter aliran massa itu, menurut pihak berkuasa.

Untuk mengelakkan diri daripada dikesan, para pegawai kargo menggunakan pelekat pembalut yang berwarna sama dengan permukaan meter aliran jisim itu bagi menyorokkan magnet itu.

Kemudian, mereka akan menghantar pesanan mesej kepada Kek Kah Hui untuk memberitahunya jumlah bahan bakar yang "dijimatkan", tambah pihak berkuasa.

Pembekal bahan bakar kemudian membayar tiga dalang itu sejumlah bayaran berdasarkan jumlah bahan bakar yang tidak dikirimkan kepada pembeli melalui penggunaan magnet tersebut.

Dalang-dalang itu berkongsi keuntungan yang diperolehi daripada kegiatan tersebut dan membayar komisen bulanan kepada setiap pegawai kargo.

Operasi haram sindiket itu terbongkar semasa satu pemeriksaan penguatkuasaan dijalankan oleh MPA pada April 2019.

Atas peranan mereka mendalangi penipuan itu, Ang Heng Lye dan Kek Kah Hui masing-masing dipenjara 35 bulan dan 34 bulan pada Jun. Tay pula dipenjara 34 bulan dan dua minggu pada Ogos.

Para pegawai kargo yang terbabit pula dipenjara antara dua minggu hingga 19 bulan.

MPA juga menarik balik lesen-lesen pengendali kapal tangki minyak dan pembekal kapal Southernpec (Singapore), masing-masing berkuat kuasa 8 Mei 2019 dan 29 Mei 2019.

"Pihak berkuasa memandang serius terhadap kegiatan jenayah tersebut dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melakukan kesalahan yang mencemarkan reputasi antarabangsa Singapura sebagai sebuah hab perkapalan serta kapal tangki minyak yang diyakini," menurut AGC, MPA dan SPF. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan