Skip to main content

Singapura

89 lelaki disiasat disyaki terlibat judi lumba kuda

Seramai 89 lelaki berusia antara 34 dengan 87 tahun, disiasat kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pertaruhan lumba kuda haram, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Selasa (22 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seramai 89 lelaki berusia antara 34 dengan 87 tahun, disiasat kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pertaruhan lumba kuda haram, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Selasa (22 Feb).

Pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah (CID) dan tujuh divisyen polis darat menjalankan serbuan di beberapa lokasi termasuk Bedok, Beo Crescent, Marsiling, Jurong West, Telok Blangah Crescent dan Toa Payoh dalam satu operasi merata Singapura pada 14 Feb hingga 20 Feb, menurut polis.

Semasa operasi itu, wang tunai berjumlah lebih S$30,000, telefon bimbit, pena dan dokumen seperti rekod taruhan dirampas.

"Siasatan awal mendapati kesemua 89 lelaki itu dipercayai terlibat dalam beberapa peranan sebagai penerima taruhan haram, penolong mereka serta penjudi yang meletakkan taruhan," menurut polis.

Semua suspek masih disiasat di bawah Akta Pertaruhan dengan 10 daripada mereka turut disiasat di bawah Akta Perjudian Jarak Jauh.

Siasatan ke atas kesemua suspek masih dijalankan, menurut polis.

Mereka yang disabit kesalahan membuat taruhan dengan pemerima taruhan haram boleh didenda sehingga S$5,000, dihukum penjara tidak lebih enam bulan, atau kedua-duanya sekali.

Sesiapa didapati terlibatit dalam kegiatan membuat taruhan haram boleh dikenakan denda antara S$20,000 dengan S$200,000 dan dipenjara sehingga lima tahun.

Sesiapa didapati terlibat dalam perjudian jarak jauh boleh didenda S$5,000, dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali.

Mereka yang didapati bersalah menyediakan khidmat perjudian jarak jauh boleh didenda antara S$20,000 dengan S$200,000, dihukum penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Menurut polis mereka "memandang serius segala bentuk kegiatan perjudian haram dan akan terus mengambil tindakan penguatkuasaan tegas, termasuk mengheret mereka yang terbabit ke muka keadilan".

Orang awam dinasihati supaya menjauhi segala bentuk kegiatan perjudian haram, menurut polis.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita