Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

89% ibu bapa Muslim tak mahir bincang secara berkesan tentang isu keseksualan

Anggaran Waktu Membaca:
89% ibu bapa Muslim tak mahir bincang secara berkesan tentang isu keseksualan
Diterbitkan : 06 Oct 2022 07:33PM Dikemas Kini : 07 Oct 2022 02:59PM

SINGAPURA: Kebanyakan ibu bapa Muslim didapati cuba elak daripada berbincang tentang isu berkaitan keseksualan dengan anak-anak mereka. 

Antara sebabnya adalah kerana khuatir ia akan melazimkan idea tentang isu-isu berkaitan seks dan keseksualan yang mungkin bercanggah dengan nilai-nilai Islam.

Menurut satu tinjauan yang dijalankan AMP Singapura baru-baru ini, 89 peratus daripada kaum ibu bapa didapati tidak mempunyai kemahiran dan ilmu untuk berkomunikasi secara berkesan tentang topik berkaitan keseksualan dengan anak-anak mereka. 

Tinjauan tersebut dijalankan menjelang Konvensyen Nasional keempatnya yang bakal diadakan pada 15 Oktober ini.

Dalam satu kenyataan media hari ini (6 Okt) AMP berkongsi bahawa 87 peratus daripada para responden mengatakan bahawa topik berkaitan keseksualan adalah sesuatu yang tabu atau yang tidak dibincangkan secara terbuka dalam masyarakat. 

Ini sekali gus menyebabkan perbualan atau perbincangan tentang isu-isu berhubung keseksualan tidak menjadi sesuatu kelaziman dalam ruang-ruang selamat masyarakat Islam, termasuk rumah, masjid dan institusi. 

Oleh kerana demikian, terdapat kurangnya ruang untuk membincangkan isu-isu itu secara terbuka dan bebas daripada dihakimi.

Menerusi tinjauan AMP, salah seorang responden menyatakan bahawa pertubuhan-pertubuhan Islam mungkin mempunyai pendekatan yang berbeza berkenaan isu-isu keseksualan.

Malah memandangkan isu-isu jantina dan keseksualan boleh menjadi sesuatu yang amat rumit, para responden berharap usaha-usaha diperkemaskan agar masyarakat Melayu/Islam lebih yakin terhadap kepimpinan kini.

Perbincangan yang jujur dan berterus terang tentang keseksualan, terutama sekali di dalam sesebuah keluarga, dianggap sebagai penting kerana dunia digital telah memudahkan akses kepada maklumat tentang seks dan keseksualan bagi kaum belia dan anak-anak.

Oleh itu, Konvensyen Kebangsaan Keempat AMP akan membincangkan perlunya komunikasi yang sihat tentang pendidikan seksual antara anggota keluarga.

Antara topik utama yang akan dibincangkan oleh Panel Keluarga ialah peranan pendigitalan dalam pengukuhan keluarga dan cabarannya terhadap unit keluarga.

Para responden juga berpendapat bahawa komunikasi secara bukan lisan lebih kerap kini, sekali gus menjejas hubungan antara ibu bapa dengan anak-anak.

Oleh itu, adalah penting bagi para ibu bapa bijak membahagikan masa dan memastikan anak-anak mereka tidak terlalu bergantung kepada teknologi.

Isu-isu tersebut dan banyak lagi akan dikupas pada Konvensyen Nasional AMP yang keempat pada 15 Oktober ini. 

Ia bakal diadakan di MAX Atria, Singapore Expo.

Pendaftaran untuk konvensyen tersebut akan ditutup pada 14 Oktober 2022.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh lungsuri laman www.instagram.com/convo_4 dan www.facebook.com/convo4.sg. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan