Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

870,000 orang sudah sertai SG Lebih Sihat; hanya 9 peratus dari masyarakat Melayu/Islam

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Lebih 870,000 warga Singapura sudah menyertai program SG Lebih Sihat setakat ini.

Namun masyarakat Melayu/Islam hanya membentuk sekitar 9 peratus daripada jumlah tersebut.

Demikian didedahkan Menteri Kesihatan Ong Ye Kung di acara rumah terbuka Hari Raya & Gema Syawal di Kampung Admiralty petang tadi (4 Mei).

Program SG Lebih Sihat itu yang dilancarkan pada Julai tahun lalu memberi tumpuan pada penjagaan pencegahan demi memastikan penduduk lebih sihat.
 
"Daripada jumlah 870,000, sekitar 77,000 adalah daripada masyarakat Melayu/Islam, iaitu kurang 9 peratus daripada keseluruhan penyertaan.

"Dari segi respons dalam peringkat nasional, sekitar 37 peratus merupakan mereka yang berusia 40 tahun dan ke atas yang sudah berdaftar dalam SG Lebih Sihat. Bagi masyarakat Melayu/Islam, sekitar 30 peratus, jadi kurang sedikit daripada purata nasional tetapi merupakan jumlah yang baik," kata Encik Ong.

Tambah Encik Ong, kira-kira separuh daripada mereka yang menyertai program SG Lebih Sihat sudah berdaftar dengan klinik doktor keluarga (GP) untuk menguruskan hal kesihatan mereka.
Encik Ong berkata Kementerian Kesihatan (MOH) sedang mempergiatkan usaha untuk meningkatkan bilangan penyertaan masyarakat Melayu/Islam.

Ia antara lain sedang bekerjasama dengan M³ untuk terus mempromosikan SG Lebih Sihat dan jagaan pencegahan kepada masyarakat Melayu/Islam.

"Contohnya dengan kerjasama dengan Persatuan Rakyat dan MAEC, kita akan mengadakan astaka-astaka dan para duta untuk menggalak masyarakat Melayu/Islam untuk sertai program ini. Kita juga bekerjasama dengan MUIS untuk mula menjalankan acara di masjid-masjid untuk mempromosikan program SG Lebih Sihat," jelas Encik Ong.

Selain itu, acara rumah terbuka yang diadakan hari ini juga satu cara untuk mendekati dan meningkatkan kesedaran para penduduk tentang SG Lebih Sihat.
"Dari segi pendaftaran untuk SG Lebih Sihat, acara sebegini adalah amat penting. Kita bergantung kepada tiga cara pendekatan. Yang pertama, warga emas sendiri yang berdaftar. Kedua, kita membuat lawatan rumah ke rumah, dan yang terakhir adalah menerusi acara sebegini di mana kita akan adakan astaka dan para duta untuk menyebarkan mesej," kata Encik Ong.

Acara rumah terbuka itu turut disertai para Anggota Parlimen GRC Sembawang yang lain, termasuk Cik Mariam Jaafar.

Selain menikmati pelbagai sajian menarik termasuk persembahan dikir barat, tarian dan nyanyian,diterapkan juga mesej tentang kesihatan.

Cik Mariam berkata: "Kita dapat mengeratkan silaturahim antara satu sama lain, bukan sahaja dengan masyarakat Melayu/Islam tetapi juga masyarakat Cina, India. Kita juga mengambil kesempatan untuk menyampaikan mesej penting, memberitahu tentang Kelab Kesihatan Woodlands kita, ini anjuran M3@Woodlands - ada lima aktiviti - jalan kembara, Jalan Kakis, Zumba A-Go-Go, Piloxing dan Kampong Cycle. Ada kegiatan yang ramai masyarakat Melayu yang sertai."

Sekitar 2,000 penduduk menyertai acara rumah terbuka itu.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan