8,500 keluarga berpendapatan rendah dapat barang dapur lebih sihat Ramadan ini
Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) akan mengagihkan bungkusan barang dapur lebih sihat kepada 8,500 keluarga berpendapatan rendah di seluruh negara semasa Ramadan tahun ini.
SINGAPURA: Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) akan mengagihkan bungkusan barang dapur lebih sihat kepada 8,500 keluarga berpendapatan rendah di seluruh negara semasa Ramadan tahun ini.
Pengagihan yang dilakukan itu jauh lebih banyak, atau 55 peratus lebih tinggi, berbanding tahun lalu.
Pada tahun 2021, seramai 5,500 keluarga mendapat agihan sedemikian.
HPB mendedahkan demikian semasa melancarkan kempen tahunan gaya hidup sihat “Kita Dah Cukup Manis, Kurangkan OK?”, siang tadi (27 Mac), dalam usaha terus mengurangkan pengambilan gula dalam kalangan masyarakat Melayu.
Kempen itu disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook HPB, Suria dan juga meWatch.
Berlangsung selama dua bulan - iaitu sepanjang Ramadan dan Syawal - HPB akan bekerjasama dengan badan-badan Melayu/Islam seperti masjid-masjid, Muhammadiyah dan Tabung Amal Aidilfitri untuk mengagihkan barang dapur lebih sihat kepada keluarga-keluarga berpendapatan rendah.
Langkah ini diambil demi menggalak mereka mengamalkan pemakanan sihat dengan bahan yang diagihkan termasuklah makanan rendah gula dan minyak masak lebih sihat.
Tetamu terhormat acara itu, Setiausaha Parlimen Kesihatan, Rahayu Mahzam berkata: "Kesimpulannya, menjalani gaya hidup sihat boleh dicapai. Saya ingin menggalakkan semua untuk mengambil lesempatan ini untuk mempengaruhi orang-orang di sekeliling anda dan menjadi teladan kepada anak-anak.
"Sambil kita mengambil langkah pertama dlm membuat pilihan yang kecil dalam kehidupan seharian kita, anda bolh terus terapkan usaha ini."
KES KENCING MANIS ORANG MELAYU TERUS NAIK
Pengambilan gula berlebihan berkait rapat dengan risiko tinggi terkena penyakit kencing manis.
Menurut HPB bilangan orang Melayu yang menghidap kencing manis semakin naik - dari 11.6 peratus pada 2017, kepada 14.4 peratus pada 2020.
Lantaran itu Cik Rahayu menggesa masyarakat supaya memandang serius kesihatan mereka sambil mengamalkan gaya hidup lebih sihat.
Kempen berhenti merokok 'I Quit' bagi masyarakat Melayu juga diteruskan HPB tahun ini.
Antara ciri terbarunya termasuklah menggalak perokok mencalonkan orang tersayang supaya menjadi penyokong mereka dalam perjuangan mereka berhenti merokok.
Bagi meningkatkan kesedaran mengenai pilihan makanan halal lebih sihat pula, para individu yang membeli makanan atau minuman lebih sihat ketika waktu berbuka semasa Ramadan dari cawangan-cawangan yang menyertai Program Makanan Lebih Sihat, akan menerima set sampul raya eksklusif HPB.
Restoran-restoran itu termasuk Seoul Garden, Stuff’D, Prata Wala dan Penang Culture.
Tambahan lagi, makluman mengenai tip pemakanan sihat serta butiran tentang bagaimana mereka boleh mendapat ganjaran dengan memilih piihan makanan lebih sihat, dengan menyertai Cabaran "Makan, Minum, membeli-belah dengan sihat" turut dimasukkan di dalam set sampul raya itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.