85% banduan lulus sekurang-kurangnya 3 subjek GCE 'O': Amrin Amin
Sekitar 85 peratus banduan yang menduduki peperiksaan GCE peringkat 'O' pada 2019 lulus sekurang-kurangnya tiga mata pelajaran, menurut Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri Amrin Amin pada Rabu (15 Jan).
(Gambar: Facebook/Amrin Amin)
SINGAPURA: Sekitar 85 peratus banduan yang menduduki peperiksaan GCE peringkat 'O' pada 2019 lulus sekurang-kurangnya tiga mata pelajaran, menurut Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri Amrin Amin pada Rabu (15 Jan).
Dalam kalangan 58 penghuni penjara yang menduduki peperiksaan itu tahun lalu, 49 daripada mereka lulus tiga atau lebih subjek dengan 43 mendapat sekurang-kurangnya satu kepujian. 16 daripada mereka pula mendapat tiga kepujian atau lebih.
Secara keseluruhan, 51 calon (sekitar 88 peratus) mendapat markah yang cukup baik untuk melayakkan mereka melanjutkan pelajaran ke Institut Pendidikan Teknikal (ITE), politeknik atau maktab rendah.
"Saya sangat berbangga kerana mereka telah mencuba dan melakukan yang terbaik. Ia memerlukan usaha yang gigih untuk kembali bersekolah. Mereka tidak membiarkan masa lampau menghantui mereka.
"Jeriji penjara juga tidak menjadi penghalang untuk mereka mencuba, bercita-cita dan berusaha," kata Encik Amrin dalam satu catatan Facebook setelah beliau menyertai pelajar-banduan tersebut dan anggota keluarga mereka pada Rabu petang di Penjara Changi untuk meraikan usaha mereka.
Encik Amrin juga memuji para guru di Sekolah Penjara yang membimbing mereka serta ibu bapa, mereka yang tersayang serta pegawai penjara yang menyokong mereka.
"Saya sangat bangga mewakili anda untuk terus memberi mereka semangat! Peperiksaan ini tidak 'ordinary' buat mereka - ia 'extraordinary' (luar biasa)!"
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.