Skip to main content

Singapura

84 asatizah tamat PCICS MUIS, rekod terbesar sejak diperkenalkan pada 2020

Jumlah terbesar, seramai 84 asatizah menamatkan pengajian program Sijil Pos Siswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS), Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) bagi tahun akademik 2024/25.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 19 Apr 2026 06:56PM Dikemas Kini : 17 May 2026 12:39PM
SINGAPURA: Jumlah terbesar, seramai 84 asatizah menamatkan pengajian program Sijil Pos Siswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS), Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) bagi tahun akademik 2024/25.

Bilangan tertinggi itu dicatatkan sejak PCICS dilancarkan pada 2020.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan graduan PCICS kepada 348 sejak diperkenalkan, sekali gus menurut MUIS mencerminkan penyertaan yang kian meningkat dari asatizah tempatan bagi kelayakan yang dipertingkat.

Majlis meraikan para asatizah di Hotel Parkroyal Beach Road pada Sabtu (18 Apr) dihadiri 55 daripada keseluruhan 84 graduan itu, masing-masing menerima sijil tamat pengajian dan akreditasi ARS Tingkat 1.

MEMPERKASA ASATIZAH, MELAHIRKAN PEMIMPIN AGAMA RELEVAN & BERWIBAWA

Merasmikan acara tamat pengajian itu, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam dan Menteri Negara Kanan Ehwal Dalam Negeri, Dr Muhammad Faishal Ibrahim menyifatkan acara tersebut sebagai memartabatkan tradisi keilmuan Islam di Singapura.

Ia membentuk sebahagian daripada usaha bagi memperkukuh landskap pendidikan Islam di Singapura selain menyokong asatizah untuk terus berkhidmat kepada masyarakat.

"Tahniah kepada 84 asatizah yang meraih sijil pos siswazah Islam dalam masyarakat kontemporari PCICS hari ini. Mereka mencerminkan usaha Singapura dalam membangunkan pemimpin agama yang bukan sahaja fasih dalam keilmuan Islam, namun peka dan mampu menyantuni realiti masyarakat yang berbilang kaum dan budaya," ujar Dr Faishal.

BERJAUHAN DARI KELUARGA TIDAK PATAHKAN SEMANGAT USTAZAH HANNANI REHAN MUNCUL SEBAGAI GRADUAN TERBAIK

Bagi Ustazah Hannani Rehan, tanpa keluarga di sisi, graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ini perlu bergelut dengan rasa rindu dan emosi diri, sewaktu menjalani program pengajian bagi Sijil Possiswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS), kendalian MUIS.
Related article image
Graduan Terbaik yang merangkul 4 Anugerah Pelajar Terbaik bagi modul Islam di Singapura, Memahami Dunia Sosial Kita, Isu-Isu Kontemporari dalam Islam dan Teks Klasik Dalam Perspektif; Ustazah Hannani Rehan. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)
Di bawah program setahun PCICS, beliau yang bertugas sebagai Zamil Pengkaji Muda di bawah Program Kajian bagi Masyarakat Islam Gemilang (RPCS), Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS); menjalankan Projek Capstone yang menyokong inisiatif pendidikan awam Pusat Harmony, dengan menyediakan artikel pendidikan dan karya seni yang memberi tumpuan kepada konteks pelbagai agama di Singapura.

"Pencapaian saya datang daripada pengorbanan masa, tenaga dan emosi. Bertambahan pula keluarga saya sekarang berjauhan daripada saya. Mereka di Australia. Jadi, saya harus berniat bahawa ilmu ini ialah sesuatu amanah, dan kita harus membetulkan niat kami setiap kali datang ke kelas dan setiap kali membuat sesuatu tugasan," ujar beliau.

Di sebalik cabaran, Ustazah Hannani muncul graduan paling menyerlah - dinobatkan sebagai Graduan Terbaik bagi Kohort PCICS ke-10.

Beliau merangkul bukan satu, tapi empat Anugerah Pelajar Terbaik, yakni bagi Islam di Singapura, Memahami Dunia Sosial Kita, Isu-Isu Kontemporari dalam Islam & Teks Klasik dalam Perspektif.
Related article image
Sembilan pelajar cemerlang PCICS, mengabadikan kenangan bersama Pemangku Menteri, Mufti negara, Presiden MUIS dan para pemimpin agama. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)
Ustazah Hannani di kalangan sembilan asatizah yang diiktiraf di atas pencapaian cemerlang mereka dalam program ini, merentasi tiga kategori:
 
  1. Anugerah Pelajar Terbaik: Diberikan kepada pelajar dengan prestasi akademik tertinggi bagi setiap kohort untuk setiap daripada lima modul teras PCICS,
  2. Anugerah Graduan Terbaik: Diberikan kepada pelajar dengan keputusan akademik keseluruhan terbaik dalam setiap kohort, dan
  3. Valedictorian: Diberikan kepada pelajar dengan pencapaian akademik keseluruhan terbaik serta mutu kepimpinan.

USTAZ AHMAD ZAHID FAUZAN DINOBAT PELAJAR TERBAIK METODOLOGI PENGAJARAN ISLAM DALAM MASYARAKAR KONTEMPORARI

Kertas penyelidikan Capstone graduan Fiqh dari Universiti Al-Azhar, Ustaz Ahmad Zahid Fauzan pula meneliti peranan Projek Arif dalam menyokong dan memperkukuh keluarga muda Muslim dengan tumpuan kepada pemahaman rasional di sebalik penginstitusiannya serta impak komuniti yang disasarkan.
Related article image
Ustaz Ahmad Zahid Fauzan, tengah, Pelajar Terbaik. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)
"Ini adalah hasil daripada usaha yang berpanjangan dan juga doa dan sokongan keluarga, guru-guru saya dan juga pelajar-pelajar saya yang selalu mendorong diri ini untuk mencapai atau mendapat pencapaian yang tertinggi. Apabila kerja dengan pengajian bertembung, di situlah kita harus pandai untuk mengimbangi masa," ujar Pelajar Terbaik bagi Metodologi Pengajaran Islam dalam Masyarakat Kontemporari itu.

Beliau kini mengajar Pengajian Agama Islam di Madrasah Aljunied Al-Islamiah. Tambahnya, "Apabila sebagai contoh, esoknya saya bekerja, tapi saya ada tarikh akhir yang harus dikejar pada malam itu. Jadi di situ kita juga belajar macam mana nak mengimbangi masa dengan sebaiknya."

USTAZAH SITI AIDA ZULKIFLI VALEDICTORIAN KOHORT 2024/25

Valedictorian bagi majlis tamat pengajian kali ini pula dinobatkan kepada lulusan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Ustazah Siti Aida Zulkifli.
Related article image
Valedictorian Ustazah Siti Aida Zulkifli. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)
Sambil bertugas di Jabatan Bakat Keagamaan MUIS, beliau memaparkan mutu kepimpinan sewaktu menjayakan Projek Capstone yang memberi tumpuan kepada pemikiran sosio-keagamaan Ahmad Lutfi dan Abdullah Basmeih dalam Majalah Al-Qalam, yang menyumbang kepada Warisan Intelektual Islam Singapura.

"Rancangan saya ke hadapan adalah untuk menerapkan apa yang saya belajar daripada PCICS ke dalam kerjaya saya, iaitu untuk menyumbang kepada asatizah dengan aplikasi-aplikasi yang saya belajar daripada PCICS iaitu mendengar keresahan dan masalah mereka, menggunakan maklum-balas yang mereka kongsi supaya saya dapat terus berbakti kepada sektor asatizah," ujar Ustazah Siti Aida.

Pada pertengahan tahun 2025, MUIS telah memulakan semakan menyeluruh terhadap program PCICS bagi menilai keberkesanannya dalam mencapai objektif program sepanjang lima tahun pelaksanaannya.

Penilaian tersebut merangkumi pemerhatian pengajaran, tinjauan, temu bual, perbincangan kumpulan fokus dan analisis dokumen dan dijangka selesai menjelang hujung tahun ini.
Sumber : BERITA Mediacorp/RL/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita