Skip to main content

Singapura

82 agensi bakal kendali kes dera kanak-kanak mulai 1 Mei

Mulai Jumaat (1 Mei), agensi-agensi terpilih akan menguruskan kes perlindungan kanak-kanak bagi memastikan ia dikendalikan oleh mereka yang mempunyai kepakaran khusus dan sumber yang berdedikasi, menurut Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 30 Apr 2026 08:13PM Dikemas Kini : 08 May 2026 02:09PM
  • Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) Singapura melantik agensi terpilih sebagai Pengurusan Kes Perlindungan Kanak-Kanak (CPCM) bermula 1 Mei untuk mengendalikan kes perlindungan kanak-kanak.
  • Panel Penilaian Awal (TAP) turut ditubuhkan sebagai saluran rayuan jika berlaku perbezaan pandangan antara agensi mengenai penilaian risiko dan pengurusan kes.
  • Langkah ini diambil susulan dapatan panel semakan terhadap kes penderaan maut Megan Khung, yang mendedahkan kelemahan dalam pengurusan kes sebelum ini.
  • MSF juga menetapkan keperluan latihan dan kecekapan bagi agensi CPCM, sementara jumlah kes penderaan kanak-kanak berisiko tinggi meningkat 14.5 peratus pada 2024.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Mulai Jumaat (1 Mei), agensi-agensi terpilih akan menguruskan kes perlindungan kanak-kanak bagi memastikan ia dikendalikan oleh mereka yang mempunyai kepakaran khusus dan sumber yang berdedikasi, menurut Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Agensi-agensi terpilih itu yang dikenali sebagai agensi Pengurusan Kes Perlindungan Kanak-Kanak (CPCM) akan menerajui hal-hal berkaitan perlindungan kanak-kanak dan
mengendalikan semua tugas pengurusan kes berkaitan.

Sebuah Panel Penilaian Awal (TAP) juga akan ditubuhkan pada 1 Mei sebagai mekanisme rayuan untuk kes-kes di mana agensi mempunyai pandangan yang berbeza mengenai penilaian risiko dan agensi untuk menjalankan pengurusan kes.

Langkah tersebut diambil menyusuli dapatan dan saranan daripada panel semakan yang meneliti kes penderaan yang membawa maut kanak-kanak berusia empat tahun, Megan Khung.

Laporan panel itu yang diterbitkan pada Oktober 2025, mengenal pasti beberapa kelemahan dalam kalangan agensi yang mengendalikan kes tersebut.

Ini termasuk para pegawai yang tidak mengikuti protokol, salah ciri kecederaan Megan oleh pekerja sosial, serta kegagalan pegawai polis dan pakar perlindungan kanak-kanak untuk mengikuti perkembangan kes Megan selepas maklumat itu diserahkan kepada mereka.

"Pengurusan kes adalah satu proses kolaboratif yang melibatkan fungsi-fungsi utama bagi memenuhi keperluan individu atau keluarga secara menyeluruh," menurut MSF.

"Dalam perlindungan kanak-kanak, ini biasanya melibatkan pengumpulan maklumat bagi mengesahkan keprihatinan, melakukan penilaian keselamatan dan risiko serta melakar pelan keselamatan untuk memastikan keselamatan kanak-kanak."

Kementerian akan menetapkan kecekapan dan keperluan latihan agensi-agensi CPCM.

Ia akan menerbitkan senarai agensi CPCM di lamannya pada Jumaat.

Agensi-agensi itu adalah:

- 49 Pusat Khidmat Keluarga
- 19 Rumah Kebajikan Kanak-Kanak
- Empat Pusat Pakar Perlindungan Kanak-Kanak dan Pusat Pakar Perlindungan
- Empat agensi titipan
- Tiga agensi Keluarga Selamat dan Kukuh
- Dua rumah belia MSF
- Satu Perkhidmatan Bersepadu untuk Pusat Pakar Perlindungan Individu dan Keluarga

Menjawab pertanyaan Mediacorp, MSF menyatakan agensi-agensi tersebut sudahpun terlibat dalam pengurusan kes perlindungan kanak-kanak.

Senarai itu akan dikemas kini secara berkala.

Jumlah kes penderaan kanak-kanak berisiko tinggi meningkat sebanyak 14.5 peratus kepada 2,303 pada 2024 daripada 2,011 pada 2023, menurut laporan Trend Keganasan Rumah Tangga MSF.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita