81 diberkas dalam serbuan dadah serata SG
Pelbagai jenis senjata ditemukan semasa operasi antidadah di sebuah unit kediaman berhampiran Punggol Field pada 17 Ogos 2026. (Gambar: Biro Narkotik Pusat)
- Biro Narkotik Pusat (CNB) menjalankan operasi di seluruh Singapura minggu ini, menahan 81 suspek berkaitan dadah.
- Operasi melibatkan kawasan seperti Toa Payoh, Telok Blangah dan Punggol, dengan rampasan dadah bernilai lebih S$105,500.
- Di Punggol, beberapa individu diberkas selepas CNB memecah masuk unit kediaman dan menemui dadah serta pelbagai senjata.
- Siasatan terhadap semua suspek dan rampasan senjata masih diteruskan, dengan hukuman berat menanti pengedar dadah mengikut undang-undang.
Operasi itu dijalankan di beberapa kawasan termasuk Toa Payoh, Telok Blangah dan Punggol.
Dadah terkawal yang dirampas termasuk kira-kira 529 gram (g) Ice, 375g heroin, 27g ganja, 10g ketamin, 10g Ecstasy dan 11 pil Erimin-5, menurut CNB dalam kenyataan medianya.
PECAH MASUK UNIT DI PUNGGOL
Dalam operasi sekitar pukul 12.00 tengah hari pada Isnin, para pegawai CNB memberkas seorang lelaki warga Singapura berusia 38 tahun di kawasan lif sebuah blok perumahan berhampiran Punggol Field kerana disyaki melakukan kesalahan mengedar dadah.
Dia kemudian digiring ke tempat persembunyiannya di blok yang sama. Para pegawai terpaksa memecah masuk ke unit itu selepas penghuninya enggan mematuhi arahan supaya membuka pintu, menurut CNB.
Pada masa yang sama, beberapa pegawai melihat objek-objek yang dicampak keluar dari tingkap sebuah bilik tidur unit tersebut. Objek-objek itu kemudian didapati adalah peralatan berkaitan penggunaan dadah.
Empat individu diberkas di dalam unit tersebut kerana disyaki melakukan kesalahan mengedar dadah - seorang lelaki warga asing berusia 40 tahun, dua lelaki warga Singapura masing-masing berusia 46 dan 26 tahun serta seorang wanita warga Singapura berusia 36 tahun.
Pada hari yang sama, seorang wanita berusia 40 tahun kembali ke unit tersebut dan turut diberkas kerana disyaki melakukan kesalahan mengedar dadah.
Secara keseluruhannya, kira-kira 439g Ice, 300g heroin, 22g ganja, 9g ketamin, 10g Ecstasy dan satu pil Erimin-5 ditemui di beberapa lokasi dalam unit tersebut.
Lelaki berusia 26 tahun itu kemudian digiring ke kenderaannya, di mana sejumlah kecil Ice turut ditemui.
Pihak berkuasa turut menemui pelbagai jenis senjata di dalam unit itu, termasuk sebilah pisau belati, buku lima, pedang katana dan pisau. Senjata-senjata tersebut dirampas dan diserahkan kepada polis.
Di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah, seseorang melakukan kesalahan jika dia - sama ada bagi pihak dirinya sendiri atau bagi pihak orang lain, tidak kira sama ada orang tersebut berada di Singapura - mengedar dadah terkawal, menawarkan untuk mengedar dadah terkawal, atau melakukan atau menawarkan untuk melakukan sebarang tindakan sebagai persediaan bagi atau dengan tujuan mengedar dadah terkawal.
Mereka yang didapati bersalah kerana mengedar lebih 15g heroin tulen atau lebih 250g methamphetamine boleh dikenakan hukuman mati.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.