Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

800kg daging korban diagihkan kepada penerima zakat di Sengkang

Jika sebelum ini, peserta ibadah korban di Masjid Al-Mawaddah sudah boleh mengambil daging korban pada Hari Raya Haji sendiri, tahun ini mereka perlu menunggu sehingga enam hari.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jika sebelum ini, peserta ibadah korban di Masjid Al-Mawaddah sudah boleh mengambil daging korban pada Hari Raya Haji sendiri, tahun ini mereka perlu menunggu sehingga enam hari.

Ini walaupun daging-daging itu sudah diterbangkan lebih awal iaitu dua hari selepas Aidiladha (31 Jul). Namun, proses untuk mengasingkan dan memotong daging itu memakan masa.

Masyarakat Islam di Singapura menempah sebanyak 2,940 ekor kambing korban menerusi 42 masjid di sini bagi Hari Raya Haji tahun ini.

Disebabkan pandemik COVID-19, proses penyembelihan dijalankan di Australia selama tiga hari bermula pada Hari Raya Haji sendiri.

Setiap kambing korban menghasilkan antara 15 kg hingga 18 kg daging yang dipotong kepada enam bahagian besar sebelum diterbangkan ke sini.

2 PESAWAT TERBANGKAN DAGING KORBAN

Dua pesawat khas ditempah bagi menerbangkan kira-kira 100 tan daging korban dari Australia ke Singapura.

Secara keseluruhannya, A2A Trading Pte Ltd mengendalikan tempahan-tempahan korban bagi 10 masjid termasuk Masjid Al-Mawaddah.

(Gambar-gambar: A2A Trading Pte Ltd)

Meskipun kos untuk menerbangkan kambing-kambing korban ke Singapura dapat dijimatkan tahun ini, terdapat juga kos-kos tambahan yang perlu ditanggung syarikat pengendali termasuk kos untuk menyimpan, membekukan dan juga memotong daging di tempat-tempat penyimpanan daging yang diluluskan Agensi Makanan Singapura (SFA).

Selain itu, oleh kerana jadual penerbangan yang tidak menentu angkara COVID-19, syarikat-syarikat pengendali seperti A2A Trading Pte Ltd perlu mengeluarkan belanja yang tinggi bagi memastikan daging-daging itu tiba ke sini seperti yang dijadualkan.

"Jadi apa yang kami buat, kami berkolaborasi dengan pengimport-pengimport lain, kami pastikan bilangan daging kami besar jadi kami dapat tempah pesawat sendiri supaya untuk memastikan tiada kegenjotan atau pertukaran jadual penerbangan dan sebagainya," terang pengarah A2A Trading Pte Ltd, Encik Adlee Nazree Suparman.

PENGAGIHAN DAGING KORBAN

Masjid Al-Mawaddah di Sengkang menerima 100 tempahan kambing korban tahun ini dan pengagihan daging mula dilakukan Khamis lalu (6 Ogos).

Hari ini (15 Ogos), lebihan daging-daging korban itu diagihkan kepada 155 keluarga penerima bantuan zakat di kawasan Sengkang.

"Pada tahun ini kami berbesar hati juga, kami menerima banyak sumbangan daging korban yang diberikan peserta korban. Kami ada sekitar lebihan 800 kg daging korban untuk disumbangkan dan diagihkan buat keluarga penerima zakat dan hari ini kami dapat agihkan kepada sekitar 155 keluarga penerima zakat di kawasan Sengkang"

Setiap keluarga penerima bantuan zakat tersebut menerima sekitar 2 kg hingga 8 kg daging korban, bergantung pada saiz keluarga mereka.

Sesi pengagihan terakhir hari ini turut dijayakan sekitar 80 sukarelawan dari pelbagai kumpulan termasuk kumpulan bermotosikal.

"Kita pastikan ada jarak selamat. Lagipun kita tidak boleh bersalaman dengan penerimanya. Jadi kadang-kadang kita gantung di pagar rumah atau kita jauh-jauhlah. Jadi COVID-19 ini, kita perlu utamakan keselamatan", kata Encik Yuhari Musa dari kumpulan Twenty 20 Bikerz SG yang berkongsi antara panduan yang diberikan kepada sukarelawan bagi menjaga keselamatan semua di tengah-tengah pandemik COVID-19.  

Sumber : BERITA Mediacorp/IZ/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan