Skip to main content

Singapura

800 kambing korban habis ditempah, Aliyah Rizq perkemas operasi dengan sistem baharu

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 12 May 2026 07:43PM Dikemas Kini : 09 Jun 2026 02:52PM

SINGAPURA: Syarikat Aliyah Rizq Holdings Pte Ltd tahun ini memperkenalkan sistem pemantauan secara langsung bagi memperkemas operasi ibadah korban.

Langkah itu dilaksanakan sedang permintaan bagi khidmat korban kendalian syarikat tersebut meningkat tahun ini, dengan sekitar 800 kambing dan kambing biri-biri di tiga masjid sudah habis ditempah.

Setiap stesen, daripada pendaftaran sohibul korban sehinggalah pengagihan daging kepada mereka, akan dipantau dalam masa nyata.

Proses yang diperbaharui itu juga dilaksanakan selepas berdepan beberapa cabaran operasi pada musim korban lalu.

Menerusi sistem baharu itu, setiap kambing akan dijejaki secara langsung di setiap stesen pemprosesan — daripada pendaftaran sohibul korban, penyembelihan, melapah kulit hinggalah pemotongan daging dan pengagihan.

Ketua Pengurusan Perniagaan syarikat itu, Khairy Farhan berkata: "Tahun lepas, untuk pendaftaran, pegawai perlu tulis setiap nama sohibul korban satu per satu, jadi itu makan masa. Sekarang, mereka perlu mengimbas nama, dan dapatkan tiket dalam masa 3 saat. Dengan sistem ini, mereka boleh tahu bila mereka perlu datang ke masjid untuk ambil daging. Selalunya selepas sembelih, orang akan tunggu lama."

Menurut beliau, sistem tersebut membolehkan pihak pengurusan mengesan kelewatan operasi secara masa nyata, termasuk jika sesuatu proses mengambil masa terlalu lama.

Related article image
Ketua Pengurusan Perniagaan Aliyah Rizq Holdings Pte Ltd, Khairy Farhan menjelaskan tentang sistem pemantauan online
Selepas disembelih pula, setiap kambing akan diberikan nombor pengesanan supaya tempoh masa di setiap stesen dapat direkodkan dan dipantau secara langsung.

Para pegawai syarikat itu akan dapat memantau operasi di setiap masjid dari ibu pejabat mereka.

Dengan sistem pemantauan itu juga, setiap pegawai yang dikerahkan ke ketiga-tiga masjid boleh meneliti keadaan dan menawarkan respons tepat pada masanya, menurut Encik Khairy.
Related article image
Ketua Pengurusan Perniagaan Aliyah Rizq Holdings Pte Ltd, Khairy Farhan menejelaskan tentang sistem pemantauan online
TEMPAHAN KORBAN DI TIGA MASJID SUDAH HABIS DITEMPAH

Tahun ini, syarikat Aliyah Rizq Holdings Pte Ltd membawa masuk 1,100 kambing dan kambing biri-biri dari Australia.

Jumlah itu naik sedikit sahaja berbanding 1,050 ekor yang diimport oleh syarikat itu tahun lalu.

Selain membekalkan 300 ekor kambing kepada PERTAPIS dan Persatuan Muhammadiyah, syarikat itu juga membekalkan dan mengendalikan khidmat korban di tiga buah masjid iaitu Masjid Omar Salmah, Masjid Tentera Diraja dan di lokasi terbaharu, Masjid Al-Istighfar yang terletak di Pasir Ris.

Dan kesemua 800 kambing dan kambing biri-biri merentasi ketiga-tiga masjid itu sudah ditempah sepenuhnya.
Related article image
Padang bersebelahan Masjid Al-Istighfar, yang akan digunakan untuk operasi korban tahun ini (Gambar: Nurhelmy Hakim)
Ketua Pegawai Pengurusan syarikat itu, Nabilah Bagarib berkata: "Kita sudah buat khidmat ini selama empat tahun, jadi setiap tahun, orang lebih tahu. Saya rasa, orang tunggu-tunggu untuk khidmat korban di kawasan timur, kerana selalunya di kawasan barat sahaja. Jadi di kawasan timur ini, di Masjid Al-Istighfar, salah satu tempat yang paling cepat habis dijual. Satu kejutan untuk kita juga."

"Masjid-masjid lain pada awal Mei juga sudah habis ditempah. Tahun lepas pada tempoh masa sama, mungkin hanya sekitar 70 peratus kambing yang ditempah. Tetapi tahun ini awal-awal sudah terjual jadi kita perlu salurkan permintaan mereka kepada organisasi, dan mereka boleh tempah di sana," tambah beliau lagi.

KOS YANG DITAWARKAN LEBIH RENDAH BERBANDING TAHUN LALU

Antara daya tarikan yang menurut Cik Nabilah, membuat slot tempahan lebih cepat diisi tahun ini adalah harga lebih rendah untuk para sohibul korban.

Setiap ekor kambing dan kambing biri-biri berharga S$597, iaitu hampir 10 peratus lebih murah berbanding harga yang ditetapkan tahun lalu iaitu S$659 setiap ekor.

Cik Nabilah berkata: "Kos tahun ini agak menarik, kerana dengan situasi geopolitik, dengan isu naik harga minyak, kos kita sebenarnya meningkat sehingga tiga kali ganda. Tetapi tahun ini, kita dapat bekerjasama dengan Maybank Islamic, memberikan kita sumbangan untuk kurangkan kos dari semua aspek, untuk kita dapat tawarkan harga yang berpatutan."

Syarikat itu menjangkakan kambing-kambing akan tiba di Singapura dalama masa dua atau tiga hari sebelum Hari Raya Haji.
Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita