Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

80% 'remaja bermasalah' RKM berjaya integrasi kembali ke pangkuan masyarakat

Lantaran itu, Encik Amrin menekankan pentingnya keluarga dan masyarakat "sama-sama membantu mereka" serta memberikan anak-anak RKM kasih sayang.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sejak hampir 30 tahun lalu, Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM) bukan sahaja sudah membantu lebih 1,000 kanak-kanak bermasalah.

Malah lebih penting lagi, menurut RKM, ia berjaya mengintegrasikan 80 peratus daripada anak-anak tersebut kembali kepada masyarakat.

MENGORBANKAN MASA BAGI MENJAGA CUCU

'Rudi', bukan nama sebenar, terpaksa berhenti kerja selama dua tahun bagi menjaga cucunya, 'Imran', selepas kedua-dua ibu bapanya dipenjarakan buat kali ketiga akibat kesalahan dadah.

Sepanjang ketiadaan ibu bapanya, 'Imran' dan dua orang adiknya diletakkan di bawah penjagaan datuk dan neneknya yang kini memainkan peranan sebagai waris mereka.

Awal tahun ini, Imran, 13 tahun, dirujuk oleh Mahkamah Juvenil atas kesalahan mencuri. Mujur dengan bantuan RKM, Encik Rudi sudahpun melihat perubahan pada kelakuan cucunya yang menetap di RKM sejak Mac lalu.

(Gambar: Nurul Amirah Mohd Isa)

"Saya gembira menghantar 'Imran' di sini sebab saya lihat anak-anak RKM ini pun pulih penuh, baik, bersopan santun, beradab, dan menghormati orang tua. Jadi saya sebagai datuk beliau, saya gembira dengan RKM. Saya pun suka Kalau 'Imran' dapat pulih secara langsung," cerita Encik Rudi tentang cucunya itu.

ANUGERAH RKM UNTUK KELUARGA CEMERLANG

Tahun ini, RKM memberi pengiktirafan kepada tiga buah keluarga yang telah menunjukkan kemajuan memberangsangkan dan pelibatan yang berterusan terhadap proses pemulihan anak dan waris mereka.

Encik Rudi dan isterinya merupakan antara tiga pemenang itu.

Selain mereka, seorang ayah tunggal yang harus mengimbangi masa antara pekerjaannya dengan tanggungjawab membesarkan anak remajanya, dan seorang ibu yang sibuk mencari nafkah sambil menjaga suami dan anak-anaknya, turut menerima Anugerah RKM untuk Keluarga Cemerlang.

Anugerah itu disampaikan oleh tetamu terhormat, Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan, Amrin Amin, sempena Majlis Sambutan Hari Raya anjuran RKM pada malam Jumaat (13 Jul).

BAWA KEMBALI REMAJA BERMASALAH KE PANGKUAN MASYARAKAT

Matlamat akhir program pemulihan RKM itu adalah untuk membawa kembali remaja-remaja bermasalah ke pangkuan masyarakat.

Anggota Jawatankuasa Pengurusan RKM, Dr Sharifah Mariam Aljunied, berkata: "Kebanyakan daripada mereka dapat meluluskan pelajaran kepada posmenengah dan mendapatkan pekerjaan, dan ada juga yang sampai ke tahap politeknik dan universiti. Dan mereka dikembalikan kepada perjalanan yang mantap walaupun bukan 100 peratus 'perfect' ataupun sempurna."

Meskipun sekitar 80 peratus berjaya diintegrasikan kembali kepada masyarakat, baki 20 peratus, kata Dr Mariam, menghadapi masalah berulang.

Ini kerana walaupun sudah pulih, mereka terjebak lagi akibat pergaulan kurang sihat.

Lantaran itu, Encik Amrin menekankan pentingnya keluarga dan masyarakat "sama-sama membantu mereka" serta memberikan anak-anak RKM kasih sayang.

"Ini adalah ikrar saya yang kita akan tetap mendampingi anda, membantu anda, dan jika apa-apa perkara yang saya boleh tolong ataupun memberi pertolongan, jangan segan-segan, jangan segan silu. Dan kepada ahli keluarga di sini, memang kehidupan ini banyak rintangannya tetapi yang pentingnya jangan kita berputus asa. Inilah semangat juang yang harus kita teruskan selepas bulan Ramadan," kata Encik Amrin.

PARA PENAJA DAN PENYOKONG TURUT DIIKTIRAF

Di Majlis Sambutan Hari Raya itu, lima penaja dan penyokong RKM juga diberikan pengiktirafan atas sumbangan mereka sepanjang bulan Ramadan yang lalu dan selama beberapa tahun RKM berada di kejiranan Bedok North.

Antaranya, menaja pakaian Hari Raya dan barang-barang keperluan dapur untuk keluarga para penghuni, serta jamuan sahur dan berbuka.

Secara keseluruhannya, lebih 10 penaja dan penyokong telah memberikan sumbangan kepada RKM pada tahun ini - iaitu jumlah paling tertinggi berbanding tahun-tahun yang lalu. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan