80 penerima bantuan Jurong Spring bawa pulang sehingga 3 pasang baju Raya jelang Lebaran
SINGAPURA: Sambutan Lebaran kali ini lebih ceria lagi bagi sekitar 80 penerima bantuan di kawasan Jurong Spring dengan pemberian sehingga tiga pasang baju Hari Raya.
Istimewanya, para penduduk boleh memilih sendiri baju Hari Raya mereka dalam suasana dan pengalaman seolah-olah membeli-belah di butik.

Sekitar 700 pakaian beraneka warna, gaya dan pilihan disediakan untuk membawa keceriaan kepada para penduduk di sana.
Insiatif anjuran Kumpulan Fokus Melayu (MFG), di bawah Projek Jangkauan Balai Rakyat Jurong Spring, bertujuan untuk memastikan setiap individu dapat menyambut Hari Raya dengan penuh gaya lagi bermakna.

Penasihat Akar Umbi Kedua bagi Pertubuhan Akar Umbi Jurong Spring, Dr Hamid Razak berkata usaha sedemikian lebih bermakna bagi menceriakan sambutan Aidilfitri para penduduk.
"Acara Baju4Raya hari ini sangat unik. Ini yang pertama seumpamanya yang kita adakan di Balai Rakyat Jurong Spring dan tujuan keseluruhannya ialah untuk tempoh lebaran yang akan datang iaitu musim Hari Raya, kita ingin penduduk kita mempunyai pengalaman seolah-olah membeli-belah, dan memilih pakaian mereka sendiri daripada kita memberikan kepada mereka sebagai pek habuan yang sudah siap dibungkus," kongsi Dr Hamid kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
Bagi inisiatif Baju4Raya ini, para penerima bantuan boleh memilih daripada sekitar 700 baju raya yang disediakan di Balai Rakyat Jurong Spring itu dan ini merupakan baju-baju baharu yang ditaja serta baju-baju terpakai yang masih dalam keadaan elok lagi, yang didermakan.
PENDUDUK GEMBIRA DAPAT BAJU RAYA BAHARU

Usaha itu amat dialu-alukan oleh para penduduk termasuk Cik Julfah Ali, 70 tahun.
"(Saya) sangat gembira. Alhamdulillah, (ini) membantu kerana dapat tukar kepada baju baharu," kongsi Cik Julfah kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
Perasaan sama turut dirasakan seorang lagi penduduk Encik Salleh Ahmad, 77 tahun, yang berharap inisiatif sebegini dapat diperluaskan kepada kawasan-kawasan lain.

"Sebenarnya kegiatan seperti ini memang bagus untuk memberi kegembiraan kepada orang-orang yang sudah berpuasa untuk meraikan Hari Raya. Kegiatan ini patut digalakkan sebab tidak semua orang mampu. Jadi inilah masanya di mana kita boleh pilih apa yang kita inginkan," menurut Encik Salleh.
"Ia juga membantu juga buat persalinan sebab Hari Raya bukan sahaja sehari bahkan sekurang-kurangnya dua atau tiga hari. Setidak-tidaknya, baju kurung boleh digunakan untuk sembahyang," tambahnya.
PELAJAR MAKTAB RENDAH JURONG PIONEER TURUT SUMBANG TENAGA

Istimewanya juga, acara itu turut dijayakan oleh para sukarelawan dari Maktab Rendah Jurong Pioneer, para pembekal privet yang bekerjasama dengan MFG, serta badan-badan lain seperti Tarian Express, D'UAA (D United Act and Sing Academy) dan KKSW oleh Khidmat Keluarga Lakeside.
Para pelajar dari Maktab Rendah Jurong Pioneer antara lain menyumbang tenaga dengan membimbing dan membantu para penduduk dalam proses memilih baju.
"Maktab Rendah Jurong Pioneer mempunyai sejarah yang panjang di mana ia ditempatkan dalam kawasan undi kita di Jurong Spring. Buat masa ini, premis tersebut sedang menjalani pembangunan semula, jadi walaupun sekolah itu kini terletak sedikit berjauhan daripada kita, kita telah mengekalkan hubungan dan perkongsian kerana mereka sudah menjadi rakan penting dalam mendampingi warga emas kita," ujar Dr Hamid.
"Para pemimpin pelajar sekolah itu sudah banyak menyumbang kepada acara-acara kita dan oleh kerana mereka akan ditempatkan semula di kawasan kita pada tahun-tahun akan datang, kita fikir kita perlu mengekalkan perkongsian yang semakin kukuh tahun demi tahun ini daripada melepaskannya sahaja," tambah beliau.
PELBAGAI LAGI BANTUAN DISEDIAKAN UNTUK PENDUDUK JURONG SPRING

Dalam pada itu, Dr Hamid turut berkongsi bahawa terdapat pelbagai lagi bantuan yang disediakan kepada para penduduk yang memerlukan, selain untuk musim perayaan.
"Untuk penduduk Jurong Spring, kita ada banyak program bantuan sepanjang tahun di samping program-program yang dilakarkan buat musim perayaan. Kita ada pemberian barangan dapur yang berlangsung setiap minggu. Ini dipanggil Program 'Food Cares'. Saya sangat gembira untuk berkongsi bahawa ini merupakan program dari penduduk untuk penduduk. Jadi sebulan sekali kami mempunyai penduduk yang tinggal di kawasan sekitar ini yang ke pusat pengumpulan untuk menderma barangan runcit dan kering dan ini dipek semula dan diagihkan kepada para penduduk setiap minggu," kongsi Dr Hamid.
Beliau menambah bahawa ada juga lawatan rumah yang dilakukan untuk menghantar pek-pek jagaan ini kepada mereka yang menghadapi kesukaran bergerak.
Ini selain program bantuan baucar untuk penduduk yang boleh mengambilnya setiap minggu.
Inisiatif itu juga dibuka kepada sekitar 40 penduduk lain pada hari yang sama, yang berpeluang untuk memilih baju-baju raya secara percuma.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.