Skip to main content

Singapura

80% penerbangan SG-Kuching AirBorneo ditempah untuk Tahun Baharu Cina; intai pasaran ASEAN & China

Anggaran Waktu Membaca:
80% penerbangan SG-Kuching AirBorneo ditempah untuk Tahun Baharu Cina; intai pasaran ASEAN & China

Sebuah pesawat Boeing B737-800 AirBorneo tiba di Terminal 4 Lapangan Terbang Changi pada 22 Julai 2026, menandakan pelancaran khidmat antarabangsa pertama syarikat penerbangan itu sempena Hari Sarawak. (Gambar: AirBorneo)

Diterbitkan : 23 Jul 2026 10:24PM
SINGAPURA: Syarikat penerbangan milik Sarawak, AirBorneo Airways, mencatat permintaan kukuh bagi penerbangan semasa tempoh Tahun Baharu Cina tahun depan, dengan tiket bagi laluan baharu Singapura-Kuching sudah sekitar 80 peratus ditempah, menurut ketua pegawai eksekutifnya pada Khamis (23 Jul).

Ini sedang syarikat penerbangan tersebut bersiap sedia untuk memperluaskan armada serta rangkaian serantaunya di Asia Tenggara.

Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo Megat Ardian Aminuddin berkata, tiket bagi laluan itu mula dijual pada 13 Julai dan tempahan penerbangan bagi tempoh sekitar 10 hari semasa musim cuti Tahun Baharu Cina 2027 kini mencatat purata 80 peratus.

"Itulah sasaran kami, untuk mendapatkan 80 peratus tempahan," katanya semasa sidang media di Grand Hyatt Singapore.

AirBorneo melancarkan perkhidmatan antarabangsa pertamanya pada Rabu (22 Jul), mengendalikan pesawat Boeing B737-800 antara Kuching dan Singapura melalui Terminal 4 Lapangan Terbang Changi, selepas melancarkan penerbangan ke Kuala Lumpur pada Isnin (20 Jul).

Dalam kenyataannya, pengerusinya Amar Haji Mohamad Abu Bakar Marzuki menyifatkan pelancaran itu sebagai "pencapaian penting" bagi syarikat penerbangan tersebut dan Sarawak, sambil menambah ia mencerminkan komitmen untuk memperkukuh hubungan, memperluas peluang dan menyokong aspirasi ekonomi jangka panjang negeri itu.

"Singapura merupakan hab serantau yang penting dan laluan baharu ini akan memperkukuh pelancongan, perdagangan, pelaburan serta hubungan antara rakyat Sarawak dan Singapura," katanya lagi.

AirBorneo kini mengendalikan penerbangan sekali sehari antara Kuching dan Singapura, serta Kuching dan Kuala Lumpur, yang menurut syarikat itu, menandakan permulaan strategi pengembangan laluan antarabangsa.

Sebelum pelancaran AirBorneo, Scoot dan AirAsia merupakan syarikat penerbangan yang mengendalikan penerbangan langsung antara Singapura dan Kuching.

Semasa sidang media pada Khamis, Encik Megat berkata, syarikat penerbangan itu kini mengendalikan armada dua pesawat yang berkhidmat untuk laluan Singapura dan Kuala Lumpur, dengan rancangan untukkan memperluas armada kepada lima pesawat menjelang akhir tahun.

Encik Megat berkata, AirBorneo merancang untuk berkembang melangkaui Sarawak ke Semenanjung Malaysia sebelum memasuki pasaran negara-negara ASEAN, dan akhirnya selatan China.

"Menjelang akhir tahun ini, pada Oktober, November dan Disember, apabila pesawat tambahan tiba, kami akan melancarkan laluan baharu dan meningkatkan kekerapan penerbangan ke Singapura dan Kuala Lumpur," katanya.

SYARIKAT PENERBANGAN PERKHIDMATAN PENUH

Encik Megat menambah, sebagai syarikat penerbangan perkhidmatan penuh, AirBorneo turut menyasarkan pelancong perniagaan serta mereka yang mahukan tahap keselesaan yang lebih tinggi.

Beliau menambah bahawa peningkatan perkhidmatan Singapura-Kuching kepada sehingga tiga penerbangan sehari akan lebih memenuhi keperluan pelancong perniagaan, sekali gus membolehkan penumpang melakukan perjalanan perniagaan pergi dan balik pada hari yang sama.

AirBorneo ditubuhkan pada Januari 2026 selepas peralihan daripada MASwings, dengan tujuan awal menyediakan perkhidmatan udara domestik luar bandar di Sabah dan Sarawak sebelum memperkenalkan operasi jet bagi laluan ke Kuala Lumpur dan Singapura.

Mediacorp sebelum ini melaporkan bahawa tambang penerbangan yang mahal, perubahan jadual dan pembatalan penerbangan telah melanda AirBorneo sejak kebelakangan ini, dengan para penganalisis berkata keadaan tersebut boleh menjejas usaha Sarawak memburu pembangunan pesat dan autonomi lebih besar.
Sumber : CNA/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita