Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

80% pembeli kali pertama flat jualan semula pada 2023 guna CPF bayar ansuran bulanan HDB: MND

Anggaran Waktu Membaca:
80% pembeli kali pertama flat jualan semula pada 2023 guna CPF bayar ansuran bulanan HDB: MND

(Gambar fail: Calvin Oh/CNA)

Diterbitkan : 09 Aug 2024 02:16PM Dikemas Kini : 09 Aug 2024 02:20PM
SINGAPURA: Kira-kira lapan daripada 10 keluarga yang mengambil kunci rumah flat jualan semula mereka pada 2023 boleh membayar ansuran pinjaman bulanan mereka menggunakan Tabung Simpanan Pekerja (CPF), dengan sedikit atau tanpa tunai.

Kementerian Pembangunan Negara (MND) berkata demikian pada Selasa (6 Ogos) dalam jawapan bertulis kepada soalan parlimen daripada Anggota Parlimen (AP) Saktiandi Supaat, sambil menambah bahawa majoriti flat jualan semula masih dalam jangkauan rakyat Singapura.

Encik Saktiandi, yang merupakan AP GRC Bishan-Toa Payoh, telah bertanya:
  • Sama ada harga flat jualan semula HDB yang memecah rekod sebanyak tiga kali dalam tempoh tiga bulan lalu merupakan satu kebimbangan yang sedang diteliti MND
  • Sama ada model Perumahan Awam Lokasi Utama (PLH)menaikkan harga jualan semula flat bukan PLH di lokasi pilihan
  • Sama ada MND sedang mempertimbangkan untuk mengenakan had harga transaksi HDB supaya flat HDB kekal adil dan dalam kemampuan semua rakyat Singapura.

Beliau mengemukakan soalan itu selepas sebuah flat lima bilik dijual pada harga S$1.7 juta pada Julai, menjadikannya kali ketiga dalam beberapa bulan, harga rekod flat jualan semula dicatatkan.

Dalam jawapannya kepada Encik Saktiandi, MND berkata bahawa urus niaga jualan semula dengan harga tinggi terus membentuk minoriti kecil daripada jumlah transaksi jualan semula.

Daripada transaksi harga tinggi ini, kira-kira satu pertiga melibatkan flat maisonet dan jumbo, yang bekalannya terhad dan lebih besar daripada kebanyakan flat lain, tambahnya.

Lebih 70 peratus daripada baki unit urus niaga sedemikian adalah flat lima bilik yang terletak di lokasi yang sangat baik, di tingkat tinggi atau mempunyai baki pajakan yang sangat lama.

Bagi flat empat bilik dan lebih kecil yang dijual pada harga yang lebih tinggi, ia kebanyakannya terletak di empat estet HDB di dalam atau sangat dekat dengan pusat bandar, mempunyai sambungan pengangkutan dan kemudahan yang komprehensif, tambah MND.

Lebih separuh daripada flat yang lebih kecil ini juga terletak di tingkat yang sangat tinggi, lebih 30 tingkat, dan mempunyai pemandangan yang baik.

"Jadi ia mempunyai ciri-ciri yang sangat menarik, dan membentuk hanya 0.5 peratus daripada semua flat empat bilik atau lebih kecil flat yang bertukar tangan dalam tempoh dua tahun lalu."

Sama ada model PLH menaikkan harga jualan semula flat bukan PLH di lokasi pilihan, MND menjawab bahawa tiada bukti konklusif mengenainya setakat ini.

Model PLH merujuk kepada flat yang terletak di lokasi utama dan pusat. Antara peraturan lain di bawah model tersebut, flat sedemikian dikenakan tempoh pendudukan minimum selama 10 tahun, dan apabila pemilik menjual flat tersebut, mereka mesti mengembalikan 6 peratus daripada harga jualan semula atau penilaian, yang mana lebih tinggi, kepada HDB.

MND menyatakan bahawa sudah kurang tiga tahun sejak model PLH dilancarkan dan masih ada beberapa tahun lagi sebelum flat PLH pertama ditawarkan di pasaran jualan semula, jadi pihak kementerian akan terus memantau dengan teliti.

Ia menambah bahawa walaupun urus niaga pasaran jualan semula untuk perumahan awam telah meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, "kita tidak sepatutnya menjangkakan harga perumahan akan meningkat selama-lamanya'.

"Sejarah telah mengajar kita bahawa pasaran hartanah bergerak dalam kitaran. Dalam masa pasaran yang rancak, bakal pembeli harus lebih berhati-hati, kerana mereka yang membeli tinggi juga akan lebih sukar apabila pasaran akhirnya turun.

"Kami menggalakkan pembeli untuk mempertimbangkan pelbagai pilihan perumahan yang tersedia, dan berhemat dalam pembelian flat mereka."
Sumber : Today/SU/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan