80% pekerjaan baru dari 2015 hingga 2018 diberi kepada rakyat S'pura, dedah Chan Chun Sing
Setiap enam pekerjaan yang diwujudkan dari 2015 hingga 2018, lima diberikan kepada rakyat Singapura dan satu kepada Penduduk Tetap (PR). Semasa tempoh empat tahun itu, hampir 60,000 pekerjaan baru diwujudkan dengan sekitar 50,000 dipegang rakyat Singapura manakala 9,000 lagi dijawat oleh PR.
SINGAPURA: Setiap enam pekerjaan yang diwujudkan dari 2015 hingga 2018, lima diberikan kepada rakyat Singapura dan satu kepada Penduduk Tetap (PR).
Semasa tempoh empat tahun itu, hampir 60,000 pekerjaan baru diwujudkan dengan sekitar 50,000 dipegang rakyat Singapura manakala 9,000 lagi dijawat oleh PR.
Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing memberikan pecahan data itu buat pertama kalinya pada Khamis (16 Jan) dalam satu wawancara menjelang pengumuman prestasi Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) tahun lalu.
Encik Chan berkata jumlah tersebut menjadikan nisbahnya kira-kira lima rakyat Singapura bagi setiap PR.
Ia hampir sama dengan nisbah keseluruhan tenaga kerja tempatan iaitu enam rakyat Singapura berbanding satu PR.
Isu mengenai data pekerjaan dalam kalangan rakyat Singapura, PR dan pekerja asing menjadi tumpuan selepas Encik Chan dan Ketua Parti Pekerja, Pritam Singh bertikam lidah di Parlimen apabila Encik Singh meminta perincian data tersebut sekitar dua minggu lalu.
"TIADA APA UNTUK DIPOLITIKKAN"
Pada Khamis, Encik Chan berkata prestasi PR dalam pasaran kerja sememangnya dijangka "kukuh sedikit"berbanding rakyat Singapura.
"Memang mudah untuk menjadikan ia satu isu politik dan katakan, oh kenapa prestasi PR lebih kukuh daripada rakyat Singapura," kata Encik Chan semasa sesi soal jawab. Bagaimanapun beliau menambah ada sebab yang "sangat mudah" berhubung isu itu.
Tenaga kerja Singapura merangkumi kumpulan usia yang luas dari 20 tahun hingga lebih 60 tahun. Kumpulan PR pula terdiri daripada mereka yang datang ke sini disebabkan peluang pekerjaan lebih baik
"Oleh kerana kita pilih dahulu PR, tidak hairan jika dalam sesetengah sektor, prestasi PR lebih baik sedikit daripada rakyat Singapura," katanya.
"Bahkan, saya rasa rakyat Singapura harus bimbang jika keadaan sebaliknya berlaku."
PEKERJA ASING DALAM SEKTOR TUMBUH PESAT
Encik Chan juga mendedahkan perincian data pekerjaan yang dipegang warga asing berbanding penduduk (warga Singapura dan PR).
Bagi setiap tiga penduduk, terdapat seorang pekerja asing, setara dengan nisbah 3:1, kata Encik Chan.
Nisbah itu bagaimanapun tidak termasuk pekerjaan yang jarang dipegang warga Singapura seperti pekerja binaan dan pembantu rumah.
Jika mengambil kira kerja-kerja sedemikian, nisbahnya adalah 2:1.
Namun beliau akur terdapat sektor-sektor tumbuh pesat di mana pekerja asing membentuk golongan pekerja lebih tinggi, seperti teknologi infokom (ICT).
"Terdapat kekurangan global bagi bakat sedemikian. Itulah sebabnya kita boleh menjangkakan beberapa sektor mempunyai jumlah pekerja asing yang lebih tinggi daripada yang lain," tambah Encik Chan.
Bagaimanapun, beliau menekankan lagi pendiriannya seperti yang dikongsi di Parlimen: Dalam sektor-sektor yang mana terdapat jumlah pekerja asing yang lebih tinggi, pekerja tempatan akan mengambil alih pekerjaan tersebut dalam tempoh akan datang.
"Persoalannya ialah lambat laun adakah orang kita mengambil alih pekerjaan sebegini seperti hipotesis yang telah saya bentangkan di Parlimen? Dan jawapannya adalah, ya," katanya.
Encik Chan juga merujuk kepada tinjauan pekerjaan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan baru-baru ini yang menunjukkan ramai lulusan mengambil alih pekerjaan lebih baik, bergaji lebih tinggi, termasuk dalam perusahaan ICT.
"Ini bukan sesuatu yang menghairankan. Tetapi jika ada orang yang ingin mengambil peluang untuk mencetuskan kekecohan, saya rujuk lagi kepada apa yang saya bentangkan di Parlimen,"kata Encik Chan merujuk kepada perlunya menerima pelaburan bagi mewujudkan pekerjaan dengan gaji lebih baik untuk pekerja tempatan.
Beliau juga menjelaskan sebab kadar pengangguran dalam kalangan pekerja asing mungkin lebih rendah berbanding rakyat Singapura dan PR.
Menurut perangkaan buruh terkini yang dikeluarkan Disember tahun lalu, kadar pengangguran bagi pekerja asing adalah 2.3 peratus berbanding 3.2 peratus dalam kalangan penduduk.
"Hakikatnya ialah jika seorang pekerja asing itu menganggur, mengapa kita membenarkannya berada di Singapura? Jadi, kadar pengangguran bagi pekerja asing di Singapura sebenarnya harus berada pada paras sifar,"jelas Encik Chan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.