Skip to main content

Singapura

80 pegawai Operasi Lionheart SCDF selamat pulang ke SG dari Myanmar

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 08 Apr 2025 08:11PM Dikemas Kini : 08 Apr 2025 10:17PM

SINGAPURA: Sekitar 400 orang menyambut kepulangan 80 pegawai dari Kontinjen Operasi Lionheart Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) yang selamat tiba di Lapangan Terbang Changi petang Selasa (8 Apr).

Pasukan itu dikerahkan ke Myanmar selama 11 hari menyusuli gempa bumi dahsyat yang melanda negara itu, untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat di sana.

GEMBIRA DAPAT BERSATU KEMBALI, SAMBUT SYAWAL BERSAMA

Related article image
Keluarga sambut ketibaan kontinjen Operasi Lionhearts. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

Perasaan sayu bercampur gembira mengisi ruangan di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi sedang anggota keluarga dan orang tersayang meraikan kepulangan para pegawai ini.

Ini lebih-lebih lagi bagi keluarga pegawai Muslim yang tidak dapat menyambut 1 Syawal bersama.

Antara mereka ialah Pegawai Waran (NS) Muhammad Farhan Zulkiflli yang berkongsi perasaan beliau: "Saya rasa amat bahagia dan gembira dapat berjumpa dengan ahli keluarga. Insya-Allah dapat berjumpa dengan yang lain juga."

Seramai 48 anggota kontinjen itu merupakan pegawai Muslim.

Related article image
Pegawai Waran (NS) Muhammad Farhan Zulkiflli bersama isteri, Cik Yusnita Yusoff. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

Bagi Pegawai Waran (NS) Muhammad Farhan pula, ia satu pengalaman yang cukup bermakna buat dirinya.

"Apa yang saya pelajari setelah pulang dari Myanmar ialah kita sebagai rakyat Singapura harus bersyukur dengan apa yang kita ada. Kita bersedia untuk apa-apa sahaja jadi apa yang berlaku kepada kita Insya-Allah, kita tahu apa yang akan dilakukan, dengan 80 anggota yang dikerahkan, kita juga dapat melihat kebolehan kita yang tersedia ada," tambahnya.

Isterinya, Cik Yusnita Yusoff pula menambah: "Alhamdulillah bahagia sangat kerana dapat balik awal daripada dijangka setelah semua urusan yang perlu dilakukan di Myanmar sudah pun selesai. Jadi sekarang kita rasa ini masanya untuk bersatu semula."

PEGAWAI SCDF SG TERSENTUH LIHAT KEKUATAN RAKYAT MYANMAR

Related article image
CPT (NS) Muhammad Eusoff bersama isteri (paling kiri), Cik Tengku Azreena Herdawati. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

Seorang lagi pegawai pasukan penyelamat SCDF, CPT (NS) Muhammad Eusoff Muhammad Idris pula berkata: "Saya rasa saya akan menziarahi semua keluarga sanak saudara kawan-kawan yang sudah banyak menyokong kerana selepas berjasa untuk 10 hari, kami rasa ia sangat penting untuk berhubung semula dengan mereka dan beraya bersama."

Bagi CPT (NS) Muhammad Eusoff juga, masa yang diluangkan di Myanmar amat berharga dan bermakna baginya.

"Berdasarkan apa yang kita lihat, kita rasa rakyat Myanmar sangat berdaya tahan, kuat dan mempunyai hubungan yang kukuh. Kadangkala kita penyelamat di sana juga rasa tersentuh dengan kekuatan mereka dan kami rasa insya-Allah mereka boleh membangun dengan lebih baik lagi dan maju ke hadapan sebagai negara dan rakyat Myanmar," ujarnya.

Isterinya, Cik Tengku Azreena Herdawati juga bangga dengan sumbangan suaminya lebih-lebih lagi di penghujung bulan suci Ramadan.

"Dalam masa yang singkat, beliau harus melaporkan ke Ibu Pejabat dan kita sudah membuat persiapan barang-barangan untuk beraya jadi saya rasa terkejut tetapi pada masa yang sama, bangga yang beliau dapat berjasa untuk orang-orang yang dalam kesusahan dan dalam dua hari terakhir Ramadan, kiranya dapat membuat kebaikan," kongsi Cik Azreena.

LAWAT SAUDARA MARA, MAK SIAPKAN LAUK RAYA

Related article image
Cik Herdiyanti (tengah) bersama suami, Staf Sarjan Muhammad. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

Cik Herdiyanti pula yang merupakan isteri kepada salah seorang pegawai penyelamat SCDF, Staf Sarjan Muhammad, turut berkongsi rancangan untuk menyambut Hari Raya bersama setelah kepulangan suaminya.

"Kami merancang untuk melawat saudara mara yang terdekat esok. Malah, sekarang ini mak saya sedang menyiapkan masakan Hari Raya untuk suami saya," kongsi Cik Herdiyanti kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

Kepulangan kontinjen Operasi Lionheart ke Singapura turut diraikan dalam satu jamuan makan bagi para pegawai meluangkan masa bermakna bersama keluarga dan orang tercinta.

Malah, sebelum berangkat pulang ke Singapura, sumbangan mereka turut diraikan dalam satu majlis penghargaan yang dianjurkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan di Naypyidaw untuk pasukan penyelamat dari Malaysia, Indonesia, Vietnam, Filipina dan Singapura.

Related article image
Kepulangan kontinjen Operasi Lionheart disambut oleh warga Myanmar di Singapura. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

WARGA MYANMAR HADIR, BERI SOKONGAN KEPADA PASUKAN SG

Kepulangan kontinjen itu juga disambut oleh warga Myanmar di Singapura, yang hadir lengkap dengan bunga dan kata-kata penghargaan buat wira-wira ini.

"Singapura adalah rumah kedua kami jadi kami berterima kasih kepada pemerintah Singapura dan juga pasukan pasukan Lion. Kami sangat menghormati semua (anggota pasukan) Lionheart dan Singapura," kongsi salah seorang warga Myanmar itu.

Related article image
Menteri Ehwal Dalam Negeri, K Shanmugam dan Menteri Negara Dr Muhammad Faishal Ibrahim bersama kontinjen Operasi Lionheart. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

Menteri Ehwal Dalam Negeri, K Shanmugam dan Menteri Negara Dr Muhammad Faishal Ibrahim turut hadir bagi memberi penghargaan buat para wira ini.

Dr Faishal memuji dedikasi para pegawai SCDF yang mencerminkan komitmen Singapura untuk membantu negara-negara jiran yang dilanda bencana.

"Kita rasa bangga dan juga gembira dapat melihat rakan-rakan kami daripada SCDF dan HTX yang telah pulang pada hari ini. Dan saya rasa gembira melihat bagaimana sokongan yang diberikan oleh ahli keluarga mereka dan juga rakyat Singapura semenjak mereka pergi ke Myanmar hingga ke hari ini," kata Dr Faishal kepada pihak media.

"Ini menunjukkan Singapura ini negara yang mempunyai bukan sahaja daya tahan dan keinsanan, tetapi bagaimana kita meraikan satu aspek di mana kita melakukan kerja-kerja kebaikan bukan sahaja untuk menyelamatkan nyawa di negeri kita tetapi menyelamatkan nyawa dan memberikan ruang pemulihan dan sokongan kepada mereka yang dilanda musibah," tambah beliau.

Related article image
Kontinjen Operasi Lionheart di Lapangan Terbang Changi. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

Meskipun kontinjen itu sudah kembali ke tanah air, Dr Faishal berkata Singapura sentiasa bersedia untuk terus menghulurkan bantuan pasca gempa bumi itu.

"Walaupun rakan kami telah pulang pada hari ini, tetapi pemikiran, hati dan jiwa kami masih terkenang dan bersama dengan rakyat Myanmar, di mana kami tahu mereka sedang menghadapi cabaran dalam kehidupan mereka dan memerlukan sokongan. Saya gembira dapat melihat banyak pasukan-pasukan yang turun padang untuk menyokong mereka dan kami sentiasa bersedia untuk menolong mereka dalam pasca insiden ini," ujar Dr Faishal.

Sekurang-kurangnya 3,500 jiwa terkorban akibat gempa bumi sekuat 7.7 skala Richter yang melanda Myanmar itu.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita