Skip to main content

Singapura

80 murid sekolah rendah Melayu/Islam terima Anugerah Dermasiswa ETF–Merchant

Seramai 80 murid Darjah 3 hingga Darjah 6 menerima Anugerah Dermasiswa Dana Amanah Pendidikan (ETF) – Merchant bagi Sekolah Rendah bernilai $500 setiap seorang pada Sabtu pagi (6 Sep), sebagai pengiktirafan bagi pencapaian akademik mereka yang memberangsangkan.

Anggaran Waktu Membaca:
80 murid sekolah rendah Melayu/Islam terima Anugerah Dermasiswa ETF–Merchant

Seramai 80 murid Darjah 3 hingga Darjah 6 menerima Anugerah Dermasiswa Dana Amanah Pendidikan (ETF) – Merchant bagi Sekolah Rendah pada 6 September 2025. (Gambar: MENDAKI)

Diterbitkan : 06 Sep 2025 03:46PM Dikemas Kini : 07 Sep 2025 06:39PM
SINGAPURA: Seramai 80 murid Darjah 3 hingga Darjah 6 menerima Anugerah Dermasiswa Dana Amanah Pendidikan (ETF) – Merchant bagi Sekolah Rendah bernilai $500 setiap seorang pada Sabtu pagi (6 Sep), sebagai pengiktirafan bagi pencapaian akademik mereka yang memberangsangkan.

Anugerah tahunan tersebut yang diwujudkan sejak 2007 sudah menyokong lebih 1,200 pelajar dengan menampung pelbagai kos sampingan pendidikan seperti keperluan tuisyen, lawatan sekolah, bahan bacaan, buku latihan, wang saku dan pengangkutan.

Disokong oleh Profesor Aziz Amirali Merchant, Naib Presiden Eksekutif Seatrium Limited, dan Dr Reshma Aziz Merchant, Profesor Madya di Sekolah Perubatan Yong Loo Lin, Universiti Nasional Singapura, Dermasiswa ETF mencerminkan usaha berterusan untuk memupuk potensi anak-anak Melayu/Islam serta memastikan mereka tidak ketinggalan dalam mengejar cita-cita masing-masing.

Profesor Aziz berkata: “Dr Reshma dan saya berbesar hati dapat bekerjasama dengan Yayasan MENDAKI dalam menyokong pendidikan anak-anak kita.

"Setiap kanak-kanak berhak mendapat peluang untuk belajar, berkembang dan berjaya. Dermasiswa ini adalah pelaburan untuk masa depan masyarakat, dan kami menggalakkan lebih ramai karyawan serta syarikat untuk tampil membantu membina masa depan yang lebih cerah.”

Antara penerima dermasiswa tahun ini ialah Syaza Adlina Mohamad Shakir, 10 tahun, murid Darjah 4 dari Sekolah Rendah Punggol. Anak sulung tiga beradik itu bercita-cita menjadi seorang pelukis dan pernah mewakili sekolahnya di Festival Belia Singapura 2025.
Related article image
Penerima dermasiswa, Syaza Adlina Mohamad Shakir. (Gambar: MENDAKI)
Syaza, yang mengikuti Program Tuisyen MENDAKI (MTP), memperoleh gred AL1 untuk Bahasa Inggeris, AL2 untuk Matematik dan AL2 untuk Sains dalam penilaian pertengahan tahunnya.

“Saya berasa bangga dan gembira mencapai keputusan yang baik dan untuk menerima dermasiswa ini. Ia mendorong saya untuk belajar dengan lebih tekun dan cemerlang dalam peperiksaan akan datang, selain dapat menghadiri kelas seni untuk mendalami pengetahuan saya dalam bidang seni dan buatan,” katanya.

Ibunya pula, Afifah Azman, 35 tahun, menambah: “Dermasiswa ini amat bermakna sebagai ibu bapa kerana ia menunjukkan bahawa dengan usaha dan kerja keras, kejayaan akan menyusul. Untuk menyokong anak saya, aaya akan luangkan masa untuk membimbing anak saya supaya beliau fokus dan konsisten dalam pembelajarannya.”

Seorang lagi penerima dermasiswa ETF ialah Muhammad Zahir Muhammad Hozir Bonawi, sembilan tahun, murid Darjah 3 dari Sekolah Rendah Mayflower, yang pernah menjuarai Peraduan Nyanyian Puisi sekolahnya pada 2023 serta meraih tempat kedua dalam Peraduan Saya Boleh Mengarang di peringkat nasional pada 2024, dan bercita-cita untuk menjadi seorang juruterbang.
Related article image
Penerima dermasiswa, Muhammad Zahir Muhammad Hozir Bonawi. (Gambar: MENDAKI)
Zahir merupakan seorang bekas pelajar KelasMateMatika dan beliau kini mengikuti MTP. Bagi penilaian pertengahan tahunnya, Zahir memperoleh gred AL1 untuk Bahasa Inggeris serta AL3 untuk Matematik dan Sains.

“Dermasiswa ini menyokong pendidikan saya dengan menyediakan akses kepada bahan pembelajaran, program pengayaan, dan peluang untuk mencapai matlamat saya,” kata Zahir.

Ibunya, Puan Noreen Abdullah Enriquez, 50 tahun, pula berkata: “Dermasiswa ini mengurangkan tekanan kewangan keluarga dan memberi Zahir peluang untuk belajar tanpa banyak halangan. Kami sentiasa menyokongnya dengan memberikan galakan, menyediakan masa dan ruang belajar, serta mengingatkannya agar sentiasa berdisiplin dan mengekalkan tumpuannya.”

Anugerah Dermasiswa ETF yang diadakan setiap tahun bukan sahaja mengiktiraf pencapaian akademik, tetapi juga mencerminkan sokongan masyarakat kepada masa depan generasi muda.
Sumber : BERITA Mediacorp/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita