Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

80% murid Melayu KMM tidak perlu sokongan pembelajaran tambahan di sekolah rendah

Lebih 80 peratus pelajar Melayu/Islam yang menyertai KelasMateMatika (KMM) anjuran Yayasan MENDAKI, tidak memerlukan sokongan tambahan seperti Program Sokongan Pembelajaran (LSP) dan Sokongan Pembelajaran Matematik (LSM).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lebih 80 peratus pelajar Melayu/Islam yang menyertai KelasMateMatika (KMM) anjuran Yayasan MENDAKI, tidak memerlukan sokongan tambahan seperti Program Sokongan Pembelajaran (LSP) dan Sokongan Pembelajaran Matematik (LSM).

LSP dan LSM disediakan untuk murid-murid Darjah 1 dan 2 yang perlu mengikutinya, sekiranya mereka didapati lemah dalam kemahiran membaca atau mengira.

Jadi ini bermakna, siri bengkel KMM MENDAKI itu cukup berkesan dalam mempersiapkan para pesertanya bagi pendidikan sekolah rendah.

Perkembangan menggalakkan ini dikongsi Timbalan Pengerusi Yayasan MENDAKI, Zaqy Mohamad, dalam satu sidang media di mana para pemimpin Melayu membentangkan kemajuan projek-projek M³ sepanjang tahun 2021.

(Gambar: MCI)

"KMM benar-benar tertumpu kepada kaunseling dan usaha mendampingi golongan ibu bapa di mana mereka akan menyedari tentang pentingnya mempersiapkan anak-anak mereka bagi Darjah 1. Ada banyak perubahan dari segi sikap (anak-anak terhadap pembelajaran). Kami kini yakin ingin memperluaskan lagi program ini kepada lebih banyak bandar," kata Encik Zaqy.

KMM mengatur pelbagai kegiatan interaktif buat kanak-kanak berusia antara 4 hingga 6 tahun demi memupuk rasa minat mereka terhadap konsep-konsep asas Matematik. Bengkel turut dianjurkan buat ibu bapa agar mereka lebih yakin diri untuk mengajar anak-anak mereka di rumah.

Bagi 10 bulan pertama tahun ini, hampir 1,600 kanak-kanak mendaftar bagi KMM. Jumlah ini 16 kali lebih tinggi berbanding bilangan peserta yang dicatat semasa KMM diperkenalkan pada 2018.

(Gambar: M³/Facebook)

"Kejayaan ini sebahagian besarnya kerana M³ yang membolehkan kita (menganjurkan KMM) di Kelab Masyarakat, masjid-masjid dan kini kami sedang bekerjasama dengan rakan-rakan dalam sektor prasekolah seperti PCF, NTUC dan banyak lagi," tambah Encik Zaqy yang juga merupakan Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia merangkap Pertahanan.

PESERTA KMM LANGSUNG DIDAFTARKAN KEPADA MTS

Encik Zaqy turut berkongsi, para peserta KMM juga kini secara automatik didaftarkan kepada Skim Tuisyen MENDAKI.

Bermula tahun depan pula, semua pelajar Muslim perlu bayar yuran S$10 sahaja untuk mengikuti kelas-kelas tuisyen MENDAKI.

Pembayaran yuran juga cuma perlu dilakukan sekali sahaja.

Jadi para pelajar Melayu/Islam sekarang umumnya boleh mendapatkan sokongan pendidikan berterusan - dari saat mereka di prasekolah sehinggalah ke peringkat menengah.

(Gambar: MCI)

Kanak-kanak keluarga pesalah atau bekas pesalah juga akan menerima sokongan seperti ini tidak lama lagi, kata Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara Dr Faishal Ibrahim.

Beliau memimpin usaha-usaha M³ yang memberi sokongan kepada pesalah atau bekas pesalah bersama keluarga mereka.

"Bagi KMM, kami ingin ada sinergi dengan bidang tumpuan yang merangkumi kanak-kanak dari keluarga pesalah. Kita ingin mereka menyertai KMM kerana ini tidak akan hanya menjimatkan masa, tetapi juga langsung menyediakan sokongan kepada mereka," ujar Dr Faishal.

MENDAKI PANTAU USAHA-USAHA YANG DIJALANKAN

Dalam pada itu, Encik Zaqy berkata semua program MENDAKI yang dilaksanakan di bandar-bandar M³ dipantau keberkesanannya.

"Kami menubuhkan satu pangkalan data di dalam MENDAKI untuk turut memantau para penerima bantuan, untuk melihat kemajuan dan bagaimana keadaan (sosio-ekonomi) mereka," kata Encik Zaqy.

(Gambar fail: MENDAKI Singapore/Facebook)

Langkah mengumpul data mula dijalankan MENDAKI pada tahun ini.

"Kami kini boleh memanfaatkan analitik data untuk menilai bagaimana kita boleh mempertingkat program-program kami," tambah beliau.

Data sebegitu bagaimanapun perlu dikumpul sepanjang beberapa tahun dahulu.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan