Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

80 kes curi susu tepung bayi pada 2022; kebanyakan pesalah berusia 20-an hingga 40-an tahun

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sebanyak 80 kes mencuri susu tepung di pasar raya atau kedai runcit dilaporkan tahun lalu, menyebabkan kerugian sekitar S$27,000, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF).

Perangkaan itu dikeluarkan pihak berkuasa pada Rabu (25 Jan) semasa menjawab pertanyaan media menyusuli langkah sebuah rangkaian pasar raya untuk mengelakkan perbuatan mencuri seumpama itu.

Minggu lalu, NTUC FairPrice memberitahu Mediacorp bahawa ia memasang skrin plastik di cawangannya di MRT Bukit Batok untuk mencegah perbuatan mencuri susu tepung bayi.

"Inisiatif baru" itu sudah dilaksanakan selama dua minggu dan peruncit tersebut menyatakan, ia sedang mempertimbangkan kemungkinan melanjutkan langkah berkenaan.

Pemeriksaan Mediacorp mendapati skrin plastik juga dipasang di bahagian sama di cawangan lain FairPrice di Pusat Beli-belah Boon Lay.

Langkah itu menimbulkan keprihatinan dalam kalangan warganet bahawa pelakunya mungkin ibu bapa yang tidak mampu membeli susu bayi.

AP TANGANI ISU SUSU FORMULA BAYI

Anggota Parlimen (AP) Bukit Batok, Encik Murali Pillai, menyentuh isu berkenaan pada Khamis (19 Jan). Katanya dalam satu video yang dimuat naik ke Facebook, "unsur sensasi" laporan media mungkin memberi tanggapan bahawa terdapat penduduk "yang tidak mampu membeli susu formula untuk anak mereka".

Ini, kata Encik Murali, sama sekali tidak benar menyusuli pemeriksaan yang dilakukannya bersama polis.

Menurut Encik Murali, FairPrice prihatin dengan perbuatan mencuri susu tepung bayi bagi meraih keuntungan.

Beliau memberi jaminan bahawa kawasan undinya di Bukit Batok mempunyai skim untuk membantu keluarga berpendapatan rendah dengan barangan keperluan seumpama iitu.

STATISTIK POLIS

Menjawab pertanyaan mengenai profil pencuri susu tepung bayi, polis menyatakan terdapat 73 kes pada 2020, 96 pada 2021 dan 80 pada 2022, masing-masing menyebabkan kerugian sekitar S$18,000, S$26,000 dan S$27,000.

Sebilangan besar pesalah berusia "20-an hingga 40-an tahun", menurut polis, sambil menambah bahawa kira-kira 35 peratus kes dilakukan secara berkumpulan, dua atau lebih orang.

Tidak ada lagi perangkaan lain berkaitan profil pesalah disediakan.

Sekitar 39 peratus daripada kes tersebut, didakwa di mahkamah.
Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan