Skip to main content

Singapura

80 ibu bapa timba ilmu didik anak Muslim dalam era digital menerusi webinar percuma

Anggaran Waktu Membaca:
80 ibu bapa timba ilmu didik anak Muslim dalam era digital menerusi webinar percuma

Gambar: MUIS

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 27 Aug 2024 11:54PM Dikemas Kini : 28 Aug 2024 12:13AM
SINGAPURA: Mendidik anak-anak merupakan tanggungjawab yang mencabar, apatah lagi dalam era pendigitalan ini yang terus pesat berubah-ubah.

Inilah kebimbangan utama yang disuarakan sebahagian besar daripada 80 ibu bapa yang menghadiri sebuah webinar Sabtu lalu (24 Ogos), anjuran Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Muslim.Sg dan MuslimParents.Sg.

Demikian menurut kenyataan media Majlis Ugama Islam Singapura pada Selasa (27 Ogos).

Bertajuk "Mendidik Anak-Anak Muslim dalam Zaman Digital", acara tersebut bermatlamat untuk menyediakan platform bagi para ibu bapa untuk menimba pengetahuan dan mendapatkan nasihat supaya mereka dapat memperkasa diri dalam membimbing generasi muda Muslim dengan baik.

Dalam era pendigitalan, ramai ibu bapa akur mereka sering dibelenggu rasa khuatir terhadap keselamatan anak-anak mereka di alam maya, memandangkan terdapat paparan serta pendedahan negatif di platform sedemikian, yang boleh mendatangkan padah kepada anak-anak mereka.

Isu tersebut merupakan antara isu yang dikupas anggota panel bagi webinar tersebut.

Panel webinar itu terdiri daripada Ustaz Ahmad Helmi dari RRG, Ustazah Nurhannah Irwan dari Asatizah Youth Network, serta Cik Nurashikin Jasni, atau lebih dikenali sebagai Nura J, seorang ibu dan usahawan yang dikenali ramai (mompreneur).
Related article image
Gambar: MUIS
Ustazah Nurhannah Irwan membuka tirai acara webinar tersebut, dengan membincangkan tajuk "Keibubapaan dalam Zaman Digital" dari perspektif Islam. Beliau menekankan pentingnya membina ketahanan digital dalam keluarga dan memperkukuh komunikasi antara ahli keluarga.

Ustazah Nurhannah turut berkongsi petua praktikal yang boleh dimanfaatkan oleh ibu bapa untuk melindungi anak-anak mereka daripada ancaman digital.
Related article image
Gambar: MUIS
Ustaz Ahmad Helmi pula menyentuh tentang kesan internet terhadap golongan belia dan keluarga serta memberikan panduan untuk mengenal pasti tanda-tanda serta risiko yang mungkin dihadapi oleh anak-anak ketika melayari dunia maya.

Nura J pula berkongsi tentang pengalamannya membesarkan anak-anaknya daripada pelbagai peringkat umur dalam era pendigitalan ini.
Related article image
Gambar: MUIS
Ibu kepada tiga orang anak itu turut menekankan peranan yang dimainkan ibu bapa dalam memantau aktiviti anak-anak secara online dan kaedah yang berkesan untuk membina kepercayaan serta hubungan yang kukuh dengan mereka melalui gaya komunikasi yang terbuka.

Dengan sambutan menggalakkan yang diterima, pihak penganjur malah meluahkan hasrat untuk menganjurkan lebih banyak acara sedemikian dalam usaha menyediakan sokongan serta dorongan kepada ibu bapa.

Ini terutama sekali dalam menggalas tanggungjawab mendidik generasi muda ini, di samping mengharungi cabaran era pendigitalan ini.

PLATFORM MYSAFESPACE.SG DIPERKENAL, RUANG SELAMAT DAPATKAN PANDUAN AGAMA

Selain itu, acara webinar tersebut juga memperkenalkan platform MySafeSpace.sg.

MySafeSpace.sg merupakan portal sembang percuma dan anonim yang membolehkan para pengguna bertanya sebarang soalan berkaitan Islam kepada asatizah bertauliah ARS.

Ia diharapkan dapat menjadi ruang selamat bagi masyarakat setempat mendapatkan panduan agama, dalam menjalani apa jua fasa kehidupan mereka.
Sumber : BERITA Mediacorp/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita