80% gerai Bazar Raya Geylang Serai harus jual barangan berkaitan Ramadan & Hari Raya
Dalam usaha mengembalikan 'keaslian' Bazar Raya Geylang Serai, beberapa peraturan baru kini diperkenalkan - iaitu 80 peratus gerai harus menjual barangan yang berkaitan langsung dengan Ramadan dan Hari Raya.
SINGAPURA: Dalam usaha mengembalikan 'keaslian' Bazar Raya Geylang Serai, beberapa peraturan baru kini diperkenalkan - iaitu 80 peratus gerai harus menjual barangan yang berkaitan langsung dengan Ramadan dan Hari Raya.
Harga tertinggi bagi sewa gerai-gerai di bazar Geylang Serai juga akan dihadkan kepada $14,000, iaitu 30 peratus lebih rendah berbanding tahun lalu.
Demikian diumumkan Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar, Dr Mohamad Maliki Osman, dalam satu sidang media hari ini (28 Mac).
HURAIKAN ADUAN-ADUAN TAHUN LALU
Sejak beberapa tahun lalu, banyak keluhan disuarakan tentang Bazar Raya Geylang Serai.
Ini termasuk isu harga sewa gerai yang tinggi, kurangnya elemen-elemen nostalgia atau yang berkenaan Hari Raya itu sendiri dan Geylang Serai sudah menjadi terlalu 'hipster'.
Mengambil serius maklum balas sedemikian, penganjur bazar tersebut, iaitu Wisma Geylang Serai, kini mahu memperbetul keadaan dan memperkenalkan kuota terhadap jenis perniagaan di lebih 700 gerai yang akan beroperasi tahun ini.
"80 peratus akan diperuntukkan untuk memastikan penjualannya adalah barangan berkaitan langsung dengan Ramadan dan Hari Raya. Barangan tradisional, barangan yang memberi mereka rasa bahawa inilah tempatnya untuk mereka hadir ke Geylang Serai. 20 peratus diperuntukkan untuk mereka yang ingin eksperimen barangan baru atau produk-produk baru," jelas Dr Maliki.
Secara lebih terperinci, 60 peratus daripada gerai-gerai makanan akan menawarkan hidangan tradisional.
Manakala 80 peratus gerai menjual barangan pula dikehendaki menawarkan produk tradisional atau yang berkaitan dengan Hari Raya.
KOS SEWA DIHADKAN PADA S$14,000
Dr Maliki juga akur bahawa ramai peniaga tahun lalu mengadu bahawa sewa "agak terlalu tinggi" bagi gerai-gerai bazar.
Bagi mengatasi masalah itu, pihaknya kali ini memperkenalkan had harga sewa kepada pihak vendor.
"Tahun ini, sewa paling tinggi untuk setiap gerai tidak melebihi $14,000. Bagaimana kita tiba ke angka ini? $20,000 paling tinggi tahun lalu - kita menurunkan sebanyak 20 peratus.
"Dan kemudian kita lihat 2017, $15,000 tinggi. (Jadi) kita memberi had yang kurang $15,000. Itu sebagai satu kita sampai ke angka $14,000," jelas Dr Maliki dengan terperinci.
Malah bukan itu sahaja, bazar tahun ini yang tertumpu pada dua kawasan iaitu di sekeliling Wisma Geylang Serai dan di hadapan Geylang Road dijanjikan mempunyai ruang lebih luas antara setiap gerai, serta ruang lebih lebar bagi para pejalan kaki demi keselesaan mereka.
KONSEP GERAI BARU DIPERKENALKAN
Dua syarikat pengendali yang memenangi tender menyediakan gerai-gerai bazar tahun ini ialah Orange Travel Pte Ltd dan Enniche Global Trading dan mereka akur akan konsep yang ditetapkan.
Di pihak masing-masing, vendor juga akan menerapkan beberapa konsep baru.
Ini termasuklah gerai berkonsep kontena yang popular di luar negara.
"Sebagai penganjur, apa yang kita mampu melakukan adalah untuk membawa semula elemen suasana Ramadan yang nostalgik, di mana kami memperkenalkan konsep kampung tematik.
"Kita juga mahu memperkenalkan konsep baru iaitu gerai-gerai kontena pada tahun ini. Sebagai penganjur bazar Ramadan, kami adalah yang pertama untuk memperkenalkan konsep kontena ini di bazar Ramadan Geylang," kata Pengasas Enniche Global Trading, Mohamed Mustaffa Shah Jehan.
Bagi memastikan tiada masalah tentang isu halal, pihak juga penganjur memberi jaminan bahawa semua gerai di bazar Geylang akan menjual makanan halal.
Bazar Geylang Serai akan dibuka mulai 3 Mei hingga 5 Jun ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.