Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

80% banduan & 90% kakitangan penjara sudah divaksin dos pertama, dedah Dr Faishal

Sekitar 80 peratus banduan dan lebih 90 peratus kakitangan Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) yang layak sudahpun menerima sekurang-kurangnya suntikan dos pertama vaksin COVID-19 setakat sehingga 30 Jun.

Anggaran Waktu Membaca:
80% banduan & 90% kakitangan penjara sudah divaksin dos pertama, dedah Dr Faishal

Dr Faishal Ibrahim mengalu-alukan usaha SPS meluaskan program vaksin kepada para banduan. (Gambar-gambar: Assoc Prof Muhammad Faishal Ibrahim/Facebook)

SINGAPURA: Sekitar 80 peratus banduan dan lebih 90 peratus kakitangan Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) yang layak sudahpun menerima sekurang-kurangnya suntikan dos pertama vaksin COVID-19 setakat sehingga 30 Jun.

Perangkaan itu didedahkan oleh Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara Dr Muhammad Faishal Ibrahim dalam catatan Facebooknya pada Jumaat (9 Jul).

Beliau berbesar hati setelah dimaklumkan bahawa SPS juga sudah memperluaskan program vaksinasinya untuk merangkumi para banduan selain kakitangan penjara, sedang Singapura terus mencatatkan kemajuan pada program vaksinasi negara.

Tambah Dr Faishal, mencapai kadar vaksinasi yang tinggi menjadi keutamaan nombor satu dalam persekitaran seperti di penjara.

"Ia akan memastikan rutin-rutin penjara dan program-program pemulihan dapat terus dijalankan dengan selamat tanpa sebarang gangguan," tulis beliau dalam catatannya itu.

Pada Khamis (8 Jul), Kementerian Kesihatan (MOH) mengumumkan bahawa kelompok jangkitan COVID-19 di Kompleks Penjara Changi sudah ditutup setelah tiada kes baru dikaitkan dengan kelompok berkenaan selama dua tempoh inkubasi atau sepanjang 28 hari.

Sebelum ini, kegiatan-kegiatan di kompleks itu digantung pada 13 Mei selepas seorang tukang masak SATS yang bekerja di Institusi A5 di Kelompok A diuji positif COVID-19.

13 banduan yang bekerja di dapur yang sama turut diuji positif COVID-19, lantas membentuk kelompok jangkitan baru di kompleks tersebut.

Namun, virus tersebut tidak merebak ke banduan-banduan lain yang mujur mereka yang terjangkit sudahpun berpulih ansur, menurut SPS.

VAKSIN PENTING DEMI LINDUNGI SEMUA

Dalam catatannya itu, Dr Faishal turut menekankan bahawa suntikan vaksin bagi melawan COVID-19 bukan setakat melindungi seseorang individu tetapi juga anggota keluarga tersayang dan masyarakat secara amnya.

Oleh itu, beliau menggalak orang ramai supaya mendapatkan suntikan vaksin.

"Saya menggesa orang ramai supaya turut serta dan mendapatkan vaksin agar kita boleh sama-sama mengatasi krisis ini," tambah beliau.

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan