Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

80% anggota masyarakat Melayu/Islam antara 60 hingga 69 tahun sudah divaksin

Sekitar 80 peratus anggota masyarakat Melayu/Islam yang berusia antara 60 hingga 69 tahun, sudah mendapatkan vaksin COVID-19. 

Anggaran Waktu Membaca:
80% anggota masyarakat Melayu/Islam antara 60 hingga 69 tahun sudah divaksin

Seorang anggota Melayu/Islam sedang diberi suntikan vaksin COVID-19. (Gambar: Rahayu Mahzam/Facebook)

BERITAMediacorp: Sekitar 80 peratus anggota masyarakat Melayu/Islam yang berusia antara 60 hingga 69 tahun, sudah mendapatkan vaksin COVID-19. 

Lebih 70 peratus bagi mereka yang berusia 45 hingga 59 tahun dan lebih 65 peratus yang berusia antara 40 dengan 45 tahun sudah disuntik dan mendapatkan janji temu bagi vaksinasi COVID-19.

Perangkaan ini didedahkan oleh Setiausaha Parlimen Kesihatan Rahayu Mahzam menerusi catatannya di Facebooknya hari ini (14 Jun), yang turut menyifatkan perkembangan itu sebagai sesuatu yang memberangsangkan.

"Ini amat memberangsangkan. Peratusan daripada golongan usia yang lain juga amat baik," dedah Cik Rahayu selanjutnya.

Sementara bagi golongan yang berusia antara 40 hingga 44 tahun pula, Cik Rahayu berkata 65 peratus daripada kumpulan usia itu sudah berbuat demikian.

Jika digabungkan ketiga-tiga kumpulan usia tersebut, ini bermakna lebih 75 peratus anggota masyarakat Melayu/Islam Singapura yang layak divaksin setakat 7 Jun, sudah mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 atau menempah slot vaksinasi. 

Cik Rahayu malah berbesar hati kerana ramai anggota masyarakat Melayu/Islam yang tampil untuk mendapatkan suntikan semasa bulan Ramadan antara bulan Mei hingga Jun lalu. 

Beliau juga memuji kerjasama masyarakat Melayu/Islam dalam menangani segala cabaran semasa di tengah-tengah musim perayaan dengan mematuhi panduan dan peraturan yang dikuatkuasakan pemerintah.

"Saya gembira melihat ramai dalam masyarakat Melayu/Islam datang ke hadapan mendapatkan vaksinasi walaupun semasa bulan Ramadan," ujar Cik Rahayu.

"Syawal dan sambutan Hari Raya kita telah pun sampai ke penghujungnya. Saya bangga dengan cara masyarakat kita menangani segala cabaran semasa pandemik ini; dengan mematuhi segala panduan dan mendapatkan vaksinasi," tambah beliau.

Mengakhiri catatannya, Cik Rahayu berkata orang ramai akan dapat melihat kemajuan pada program vaksinasi negara apabila lebih ramai orang mendapatkan suntikan vaksin.

Seorang anggota masyarakat Melayu/Islam sedang diberi suntikan vaksin COVID-19. (Gambar: Rahayu Mahzam/Facebook)

Pada 5 Jun lalu, Menteri Kedua Pendidikan Dr Maliki Osman berkata lebih 80 peratus pelajar peringkat tahun akhir di madrasah-madrasah tempatan sudahpun mendaftar bagi mendapatkan vaksin COVID-19.

Ia sebahagian daripada usaha negara ini untuk menjaga keselamatan sekolah-sekolah, institusi-institusi pengajian tinggi dan juga masyarakat lebih luas.

Dalam satu kemas kini hari ini, Dr Maliki berkata guru-guru sedang berusaha untuk menghubungi para pelajar serta ibu bapa mereka yang belum menjawab pelawaan untuk anak mereka mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

Beliau turut mendedahkan bahawa bantuan akan dihulurkan kepada mereka, jika diperlukan.

Sumber : BERITA Mediacorp/AY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan