8 warga asing didenda kerana berpesta atas kapal pesiaran dekat Pulau Sekijang Pelepah
Lapan warga asing yang berpesta dengan dua orang lain di atas sebuah kapal pesiaran berhampiran Pulau Sekijang Pelepah (Lazarus) sehari selepas Krismas tahun lalu masing-masing didenda S$3,000 pada Khamis (20 Mei)kerana melanggar undang-undang COVID-19.

SINGAPURA: Lapan warga asing yang berpesta dengan dua orang lain di atas sebuah kapal pesiaran berhampiran Pulau Sekijang Pelepah (Lazarus) sehari selepas Krismas tahun lalu masing-masing didenda S$3,000 pada Khamis (20 Mei)kerana melanggar undang-undang COVID-19.
Mereka adalah warga Britain Mark Alexander Bellamy, 29 tahun, Annabelle Morgan Duke, 26 tahun, Holmes Philip Edward Knatchbull, 27 tahun, Amy Georgina Hunt, 30 tahun, Amy Alexandra Stewart, 32 tahun, Oliver Francis William Campbell, 31 tahun, Thomas Cuthbert Williams-Jones, 30 tahun, dan Benjamin David Waters, 32 tahun.
Semasa menjatuhkan hukuman, Hakim Daerah Jasvender Kaur memberitahu mahkamah: “Bagi membendung virus dengan berkesan, maka penting untuk setiap orang memainkan peranan dalam mematuhi peraturan dan mereka yang bertindak secara tidak bertanggungjawab mesti menanggung padahnya dan dihukum dengan dengan sewajarnya."
Dua lagi yang menghadiri pesta itu - warga Britain, Amy Grace Ropner, 28 tahun, dan Penduduk Tetap (PR) Singapura, Mark Lau San Mao, 30 tahun - juga didenda S$3,000 setiap seorang pada Mac. Kedua-duanya sedang menjalin hubungan dan tinggal bersama ketika itu.
Kesemua 10 orang itu bekerja dan menetap di Singapura ketika itu, tetapi dokumen mahkamah tidak mendedahkan pekerjaan mereka atau sama ada pas kerja mereka akan ditarik balik.
Pesta di atas kapal itu dirakam oleh orang awam yang kemudian menyebarkannya di media sosial.
Kelapan-lapan yang dijatuhkan hukuman pada Khamis mengaku bersalah melepasi had maksimum kumpulan yang dibenarkan.
Semasa melakukan kesalahan, Singapura sedang melalui Fasa 2, dengan perhimpunan sosial dihadkan kepada lima orang untuk membendung penularan COVID-19.
Kerana melanggar Peraturan COVID-19 (Langkah-Langkah Sementara) (Perintah Kawalan) 2020, mereka boleh dipenjara hingga enam bulan atau didenda sehingga S$10,000, atau kedua-duanya.
Kesalahan berulang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau didenda tidak melebihi S$20,000, atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.