8 sekolah rendah berentap dalam edisi ke-5 kuiz Cepat Tepat mulai 18 Ogos
BERITA Mediacorp: Gelanggang persaingan kuiz Cepat Tepat kembali dibuka.
Edisi kelima kuiz Cepat Tepat ini bakal menyaksikan 32 pelajar dari lapan sekolah rendah beradu minda serta menguji pengetahuan mereka dalam bahasa dan budaya Melayu dalam cara yang interaktif.
Demikian menurut kenyataan media Kementerian Pendidikan (MOE) pada Rabu (16 Ogos).
Sekolah-sekolah yang akan bersaing dalam pusingan suku akhir Cepat Tepat itu termasuk:
- Sekolah Rendah Beacon
- Sekolah Rendah Bedok Green
- Sekolah Rendah Fern Green
- Sekolah Rendah Fuhua
- Sekolah Rendah Naval Base
- Sekolah Rendah Northland
- Sekolah Rendah Perempuan Raffles
- Sekolah Rendah Springdale
Dianjurkan Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC) sempena Bulan Bahasa, ia bermatlamat untuk menyuntik dan mengekalkan minat para pelajar terhadap bahasa dan budaya Melayu menjangkaui dinding bilik darjah.
PUSINGAN PERMAINAN
Lapan sekolah rendah itu akan bersaing dalam pusingan suku akhir, yang akan ditayangkan dalam dua episod pertama Cepat Tepat pada 18 dan 25 Ogos 2023.
Hanya empat daripada lapan sekolah tersebut akan mara ke pusingan akhir kuiz Cepat Tepat.
Di samping rancangan permainan itu, para pelajar juga akan dijemput untuk mempelajari dengan lebih lanjut budaya dan pepatah Melayu menerusi program radio Cepat Tepat di stesen radio Ria 897 dan Warna 942 dari 18 Ogos hingga 15 September.
Rancangan kuiz Cepat Tepat akan disiarkan di saluran Suria dan meWATCH pada setiap hari Jumaat mulai 18 Ogos hingga 15 September, pada pukul 8.30 malam.
Pusingan akhir Cepat Tepat akan disiarkan pada 15 September.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.