Skip to main content

Singapura

8 pemandu teksi SG diberkas selepas dipercayai beri rasuah libatkan kesalahan lorong bas Koswe

Lapan pemandu teksi warga Singapura diberkas oleh Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) pada Isnin (30 Mac) kerana dipercayai memberi rasuah bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan di Koswe Woodlands-Johor Bahru.

Anggaran Waktu Membaca:
8 pemandu teksi SG diberkas selepas dipercayai beri rasuah libatkan kesalahan lorong bas Koswe

Seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam pemberian rasuah diberkas oleh pegawai Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) pada 30 Mac 2026. (Gambar: CPIB)

SINGAPURA: Lapan pemandu teksi warga Singapura diberkas oleh Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) pada Isnin (30 Mac) kerana dipercayai memberi rasuah bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan di Koswe Woodlands-Johor Bahru.

Para pemandu berusia antara 47 hingga 74 tahun itu beroperasi di bawah skim teksi rentas sempadan, menurut CPIB.

Mereka dipercayai memberi rasuah bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan kerana memandu di lorong bas di Koswe Woodlands-Johor Bahru.

Siasatan sedang dijalankan terhadap individu-individu yang ditangkap berhubung kesalahan yang dipercayai dilakukan di bawah Akta Pencegahan Rasuah.

“Singapura tidak bertolak ansur sama sekali terhadap rasuah,” menurut CPIB.

“CPIB tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan rasuah.”

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura pada Ogos lalu menyatakan bahawa skim teksi rentas sempadan membolehkan sehingga 200 teksi berlesen dari setiap negara untuk membawa penumpang antara Singapura dengan Johor Bahru.

Kemudian pada Disember, kementerian pengangkutan Singapura dan Malaysia mengumumkan rancangan untuk meningkatkan kuota teksi rentas sempadan berlesen daripada 200 kepada 500.

Menurut rancangan itu, teksi asing akan dibenarkan untuk menurunkan penumpang di mana-mana lokasi di luar negara asal masing-masing.

Namun, teksi-teksi itu hanya boleh mengambil penumpang di lokasi pengambilan penumpang yang ditetapkan bagi mengelakkan penyediaan perkhidmatan tempatan dari satu lokasi ke lokasi lain.

Kedua-dua kementerian itu bagaimanapun tidak menyatakan bila perubahan tersebut akan dilaksanakan.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita