Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

8 orang termasuk belia 19 tahun disabit kesalahan jual rokok elektronik online

Seramai lapan orang, termasuk seorang belia berusia 19 tahun, didapati bersalah di mahkamah kerana menjual rokok elektronik dan barangan berkaitan di Singapura, kata Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada Selasa (16 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
8 orang termasuk belia 19 tahun disabit kesalahan jual rokok elektronik online

Rokok elektronik dan barangan berkaitan bernilai lebih S$70,000 dirampas. (Gambar: Penguasa Sains Kesihatan)

Diterbitkan : 16 Nov 2021 03:16PM Dikemas Kini : 16 Nov 2021 03:23PM

SINGAPURA: Seramai lapan orang, termasuk seorang belia berusia 19 tahun, didapati bersalah di mahkamah kerana menjual rokok elektronik dan barangan berkaitan di Singapura, kata Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada Selasa (16 Nov).

Pesalah yang berusia antara 19 dengan 32 tahun itu disabitkan kesalahan dalam tempoh Julai hingga Oktober, dengan denda berjumlah S$57,000.

"Mereka telah membeli rokok elektronik dan barangan berkaitan dari luar negara dan menjualnya secara haram di pelbagai media sosial dan platform e-dagang tempatan," kata HSA dalam satu kenyataan berita.

Rokok elektronik dan barangan berkaitan bernilai lebih S$70,000 turut dirampas.

BELIA 19 TAHUN JUAL ROKOK ELEKTRONIK DAN AKSESORI DI TELEGRAM

Tang Wee Meng, 19 tahun, dijatuhi hukuman probesen 15 bulan pada 23 Julai atas kesalahan berkaitan mengimport, mengiklan dan menawarkan rokok elektronik, barangan berkaitan dan cecair rokok elektronik dengan kandungan nikotin.

Dia ditangkap menjualnya di Telegram, kata HSA. Kegiatan haram Tang dikesan apabila dia ditangkap seorang pegawai polis kerana cuba menyeludup bekalannya di Pusat Pemeriksaan Woodlands.

Dalam kes lain, Khong Soon Kee Michael, 31 tahun, ditangkap mengiklan dan menjual e-rokok dan barangan berkaitan di Facebook.

Khong didenda S$7,000 pada 28 Jul.

Seorang lagi lelaki, Yew Chee Sian, ditangkap membawa masuk lebih 7,000 batang e-rokok dan barangan berkaitannya bersama rakan subahat melalui pos bungkusan.

Siasatan lanjut mendapati Yew, 32 tahun, dan rakan subahatnya turut terlibat dalam penjualan barangan tersebut.

Dia didenda S$40,500 atas kesalahannya di bawah Akta Tembakau (Kawalan Iklan dan Penjualan) pada 16 Sep. Siasatan terhadap rakan subahatnya masih dijalankan.

Dalam kes keempat, Yeo Kiong Swee Justin, 23 tahun, ditahan kerana mencuri pod e-rokok.

Yeo mengatur untuk membelinya daripada seorang penjual. Bagaimanapun, dia membuat rancangan dengan dua rakan subahatnya untuk mengambil produk itu tanpa membayar dan menjualnya semula bagi meraih untung.

Bersama dua rakan subahatnya itu, Yeo mencuri produk tersebut daripada Phang Zhi Hui, yang menghantar barangan tersebut bagi pihak penjual. Phang menghubungi polis, ketiga-tiga lelaki itu ditangkap.

Pada 27 Okt, Yeo didenda S$2,000 kerana memiliki barangan e-rokok untuk dijual dan dipenjara dua minggu kerana mencuri produk tersebut. Phang didenda S$2,000 atas kesalahan berkaitan e-rokok.

Perbicaraan mahkamah terhadap rakan subahat Yeo belum ditentukan, kata HSA.

"HSA ingin mengingatkan orang ramai bahawa menjual, memiliki untuk dijual, mengimport atau mengedar e-rokok dan barangan berkaitannya adalah satu kesalahan di bawah Akta Tembakau (Kawalan Iklan dan Penjualan) ," kata pihak berkuasa itu.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda sehingga S$10,000, dipenjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama. Bagi kesalahan berikutnya, mereka boleh didenda sehingga S$20,000, dihukum penjara sehingga 12 bulan, atau kedua-duanya.

Dari 1 Jan 2018 hingga 31 Okt 2021, HSA telah mendakwa 64 orang kerana menjual e-rokok dan barangan berkaitan, katanya.

Denda tertinggi yang dikenakan setakat ini ialah S$99,000. Dalam satu kes, seorang penjual juga dijatuhi hukuman penjara seminggu dan didenda S$61,000.

Antara 1 Feb 2018 dengan 31 Okt tahun ini, 6,354 orang ditangkap dan "tindakan diambil" kerana memiliki dan menggunakan e-rokok dan barangan berkaitan.

"HSA menjalankan pengawasan online secara aktif dan akan terus mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas terhadap mereka yang menjual e-rokok dan barangan berkaitannya," kata pihak berkuasa itu.

Tambahnya ia juga bekerjasama rapat dengan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) untuk memantau dan menahan import haram e-rokok dan barangan berkaitan.

Sejak 1 Feb 2018, memiliki, membeli atau menggunakan e-rokok dan barangan berkaitannya adalah satu kesalahan di Singapura, dengan setiap kesalahan boleh didenda sehingga S$2,000. 

Sumber : CNA/SM/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan