8 orang alami kelecuran selepas 'letupan kuat' di bangunan perindustrian Tuas
Lapan orang dibawa ke hospital kerana mengalami kelecuran pada Rabu (24 Feb), menyusuli apa yang dikatakan oleh para saksi sebagai "letupan kuat" di sebuah bangunan perindustrian di Tuas.
SINGAPURA: Lapan orang dibawa ke hospital kerana mengalami kelecuran pada Rabu (24 Feb), menyusuli apa yang dikatakan oleh para saksi sebagai "letupan kuat" di sebuah bangunan perindustrian di Tuas.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan bahawa pihaknya bertindak terhadap satu kebakaran di 32E Tuas Avenue 11 pada sekitar pukul 11.25 pagi.
Sebuah unit di bangunan itu "dipenuhi asap" dan anggota bomba dilengkapi peralatan pernafasan memasuki unit itu untuk mengesan lokasi kebakaran. Kebakaran itu melibatkan sebuah mesin pencampuran perindustrian dan dipadamkan menggunakan dua jet air, menurut SCDF.
Lapan orang yang mengalami kelecuran dibawa ke Hospital Besar Singapura (SGH).
Para pesakit yang menghidu asap atau mengalami kelecuran teruk tetapi dalam keadaan stabil akan dibawa ke Pusat Kelecuran khusus SGH dan bukan hospital terdekat, menurut SCDF dalam satu catatan Facebook.
Encik Frankie Goh, seorang pengurus logistik di Bauer yang terletak di bangunan bersebelahan berkata beliau terdengar "letupan amat kuat" pada sekitar pukul 11.20 pagi, diikuti dua letupan kecil.
Beliau memikirkan letupan itu berlaku di bangunannya lalu memanggil para rakan-rakan kerjanya untuk keluar dari bangunan itu, kata Encik Goh kepada Mediacorp di luar bangunannya.
Beliau kemudian berlari keluar dari pejabatnya dan melihat kepulan asap keluar dari sebuah lubang di tembok bangunan bersebelahan. Beberapa pekerja berlari keluar dari bangunan itu sambil menjerit.
Encik Goh berkata bahawa rakan tugasnya melihat para pekerja mengalami kelecuran di bahagian belakang badan dan kaki mereka. Kepala salah seorang daripada mereka dibalut.
SCDF menyatakan bahawa sekitar 65 orang di unit-unit bersebelahan sudah keluar dari bangunan itu sebelum anggota bomba tiba.
Punca kebakaran itu sedang disiasat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.