8 individu diberkas, 45 lagi disiasat susuli serbuan di 3 pusat hiburan tanpa lesen
Lapan orang diberkas manakala 45 yang lain sedang disiasat menyusuli serbuan semalaman yang dijalankan ke atas tiga pusat hiburan tanpa lesen di Little India.
SINGAPURA: Lapan orang diberkas manakala 45 yang lain sedang disiasat menyusuli serbuan semalaman yang dijalankan ke atas tiga pusat hiburan tanpa lesen di Little India.
Kesemua pusat hiburan itu, yang dikendalikan oleh individu-individu berasingan, didakwa menawarkan khidmat karaoke dan menjual minuman keras tanpa lesen.
Lebih 350 orang dan 13 cawangan seumpama itu disiasat sejak Mac tahun lalu apabila sekatan-sekatan bagi mencegah COVID-19 dikuatkuasakan.
Polis menyerbu tiga pusat KTV sementara dalam operasi selama empat jam itu.
Dua daripadanya terletak di Kitchener Road manakala satu lagi terletak di Verdun Road.
Para pegawai mendapati para pelanggan masih meminum arak dan bergaul antara satu sama lain selepas pukul 10.30 malam di ketiga-tiga lokasi tersebut.
Mereka berusia antara 24 hingga 66 tahun, dengan ada juga disyaki berkumpul melebihi lapan orang.
Semasa operasi yang dijalankan di sebuah rumah kedai yang kosong di 137 Kitchener Road, para pegawai menjumpai tin-tin bir di salah sebuah bilik KTV.
Semasa serbuan di unit kediaman di Verdun Road pula, mereka mendapati ia telah dibahagikan kepada bilik-bilik sementara yang berasingan.
Polis juga menemui sejumlah besar alkohol di ruang dapur.
Serbuan turut dijalankan ke atas sebuah rumah kedai di 197 Kitchener Road, yang sepatutnya digunakan sebagai ruang pejabat.
Menurut polis, operasi itu adalah sebahagian daripada usahanya untuk mengurangkan kegiatan hiburan awam tanpa lesen.
Mereka yang diberkas disyaki melanggar undang-undang tenaga manusia dan minuman keras.
Polis juga sudah merampas peralatan karaoke dan arak.
Mereka yang didapati bersalah menawarkan hiburan awam dan membekalkan minuman keras tanpa lesen boleh didenda sehingga S$20,000.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.