Skip to main content

Singapura

8 ekor penyu sisik dipantau pakar program pemuliharaan SG

Anggaran Waktu Membaca:
8 ekor penyu sisik dipantau pakar program pemuliharaan SG

Salah satu daripada lapan ekor penyu sisik yang terancam di bawah jagaan pakar di Oceanarium Singapura.

Diterbitkan : 15 May 2026 03:02PM Dikemas Kini : 15 May 2026 03:07PM
  • Lapan anak penyu sisik di Singapura dipelihara oleh Singapore Oceanarium dan NParks dalam program pemuliharaan sejak 2017.
  • Program ini bertujuan meningkatkan peluang hidup penyu dengan membesarkan mereka sebelum dilepaskan ke habitat asal.
  • Penyu dipantau rapi, diberi diet khas, diuji kesihatan dan tingkah laku, serta ada yang dipasang alat pengesan satelit untuk pemantauan selepas dilepaskan.
  • Usaha ini melibatkan kerjasama pelbagai pihak dan bertujuan mengurangkan risiko kepupusan penyu sisik akibat ancaman alam sekitar dan manusia.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Bagi anak penyu sisik atau 'hawksbill' yang baru menetas, kehidupan bermula sebagai satu perjalanan yang sukar untuk terus hidup.

Disebabkan ancaman pemangsa dan lautan luas yang berbahaya, kebanyakan anak penyu tidak dapat bertahan hidup melebihi beberapa bulan pertama. Dalam sesetengah keadaan, hanya seekor daripada 10,000 ekor penyu yang mampu hidup sehingga dewasa.

Namun, lapan ekor anak penyu sisik di Singapura kini sedang dibantu untuk mengubah nasib tersebut.

Semua penyu itu kini diletakkan di bawah jagaan pakar di Singapore Oceanarium sebagai sebahagian daripada program pemuliharaan yang dijalankan bersama Lembaga Taman Negara (NParks).

Tujuan program itu adalah untuk meningkatkan peluang mereka untuk terus hidup sebelum dilepaskan semula ke habitat asal, yang dijangka pada tahun depan.

"Dengan membiarkan saiz mereka lebih besar sebelum dilepaskan, kita dapat memberi mereka peluang untuk berjuang dan bertahan hidup di lautan luas," kata Encik Tang Yong Jen, seorang eksekutif pemuliharaan dan sains di oceanarium tersebut.

"Langkah ini tidak akan menghapuskan ancaman lain yang sedia ada di laut lepas, tetapi ia sekurang-kurangnya memberi mereka peluang... dan kita berharap penyu-penyu ini akan kembali ke pantai Singapura untuk bertelur suatu hari nanti."

Penyu-penyu ini juga dipamerkan kepada orang ramai di oceanarium untuk meningkatkan kesedaran tentang pemuliharaan hidupan marin.

Penyu sisik dikategorikan sebagai spesies yang sangat terancam kritikal. Ini berpunca daripada ancaman seperti kemusnahan habitat, pencemaran, dan tersangkut dalam jaring nelayan secara tidak sengaja.

Pada peringkat awal kehidupan mereka, peluang untuk hidup adalah sangat tipis.

Penyu biasanya bertelur di pantai berpasir, termasuk di beberapa kawasan pantai selatan Singapura dan pulau-pulau sekitarnya.

Namun, perjalanan dari sarang telur menuju ke laut amat berbahaya bagi anak penyu yang baru menetas kerana mereka mudah dimakan oleh pemangsa seperti burung dan ketam. Sebaik sahaja masuk ke dalam air, banyak pula yang menjadi makanan haiwan marin yang lebih besar.

"Apabila mereka menetas, kurang daripada 1 peratus daripada keseluruhan sarang yang akan terselamat," kata Encik Nick Derbyshire, pengarah kanan penjagaan haiwan di Singapore Oceanarium.

Melalui usaha menyelamat di peringkat awal ini, pihak pemuliharan berharap dapat membantu penyu-penyu tersebut melepasi fasa yang paling berisiko ini.

NParks menyatakan bahawa program pemuliharaan penyu mereka yang lebih luas bermula sejak tahun 2017. Pada awalnya, fokus utama adalah untuk melindungi sarang telur dan memastikan anak penyu sampai ke laut dengan selamat.

Lama-kelamaan, program ini diperluaskan dengan memperkenalkan kaedah "head-starting" atau bantuan tumbesaran awal sebagai satu lagi cara untuk meningkatkan kadar kelangsungan hidup penyu.

"Kaedah itu secara asasnya memberikan penyu masa yang cukup untuk membesar sehingga mereka melepasi fasa kritikal dalam hidup mereka," kata Dr Karenne Tun, pengarah kumpulan Pusat Biodiversiti Negara di NParks.

Di bawah program bantuan awal ini, proses menjaga anak penyu tersebut adalah sangat rapi.

Penyu-penyu itu dipantau setiap hari dan diberikan diet makanan yang ketat berdasarkan keperluan pertumbuhan dan pemakanan masing-masing.

"Jagaan yang kami berikan mestilah yang terbaik dan bertaraf lima bintang," kata Encik Derbyshire.

Apabila mereka semakin membesar, fokus beralih kepada persediaan untuk hidup di laut lepas. Sebelum dilepaskan, penyu-penyu ini mesti memenuhi beberapa kriteria, termasuk tahap kesihatan dan tanda aras tingkah laku.

Ini termasuk memastikan mereka tahu cara mencari makanan sendiri, mencari tempat perlindungan, dan bertingkah laku secara semula jadi tanpa bergantung kepada manusia.

Mereka juga akan menjalani ujian darah dan X-ray, serta dinilai keupayaan mereka untuk berenang melawan arus yang kuat.

Sebaik sahaja mencapai saiz yang sesuai, beberapa ekor penyu mungkin akan dipasang dengan alat pengesan satelit.

Alat ini membolehkan para penyelidik memantau pergerakan dan kelangsungan hidup mereka di lautan bebas, sekali gus membantu melindungi spesies ini dengan lebih baik di luar kawasan bersarang.

Fasa awal program ini sebelum ini menyaksikan 10 ekor anak penyu berjaya dibesarkan dan dilepaskan pada tahun 2023 dan 2024. Tiga daripadanya dipasang alat pengesan, yang memberikan maklumat awal tentang arah laluan penyu selepas dilepaskan.

Dr Tun daripada NParks menyatakan bahawa kaedah bantuan awal ini hanyalah salah satu pendekatan dalam pemuliharaan hidupan liar.

"Pemuliharaan tidak menggunakan satu pendekatan sahaja. Ia sebenarnya seperti sebuah kotak alat," katanya. "Kami melihat pelbagai strategi yang boleh digunakan dan kami perlu menyesuaikannya mengikut spesies yang ingin dilindungi."

Ini termasuk bekerjasama dengan penyelidik, rakan kongsi industri, dan orang awam - bermula daripada melaporkan penemuan sarang penyu sehinggalah menjalankan aktiviti pembersihan pantai bagi membuang sisa berbahaya seperti peralatan menangkap ikan yang dibuang.

Menurut Encik Tang dari Singapore Oceanarium, tiada tempoh masa tetap yang ditetapkan untuk melepaskan lapan ekor anak penyu tersebut. Sebaliknya, keputusan itu bergantung kepada sama ada setiap penyu itu berjaya memenuhi kriteria yang diperlukan.

Harapannya adalah dengan adanya bantuan di peringkat awal ini, lebih banyak penyu ini akan dapat hidup sehingga matang dan dewasa.
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita