Skip to main content

Singapura

8 diberkas, lebih S$60,000 lesap dalam skim pancing data SMS DBS

Anggaran Waktu Membaca:
8 diberkas, lebih S$60,000 lesap dalam skim pancing data SMS DBS

(Gambar: SPF)

Diterbitkan : 10 Jun 2022 08:01AM

SINGAPURA: Lapan orang diberkas kerana disyaki terlibat dalam skim pancing data DBS yang menyaksikan lebih 60 orang kerugian sekitar S$60,000, menurut polis pada Khamis (9 Jun). 

Lapan orang berusia antara 17 dengan 33 tahun diberkas dalam satu operasi merata negara yang dijalankan pada Rabu.

Polis menerima aduan mengenai  skim penipuan itu antara 5 hingga 8 Jun. Mangsa menerima kiriman SMS yang tidak diminta daripada penghantar seperti "SG-DBS" atau "DBS-Notice" yang mendakwa kad mereka disekat disebabkan aktiviti luar biasa atau akaun bank mereka dibekukan kerana kegiatan yang mencurigakan. 

SMS itu kemudian mengarah  mangsa untuk log masuk melalui pautan yang disertakan untuk mengesahkan identiti mereka, kata polis. 

Pautan itu kemudian membawa mangsa ke laman log masuk perbankan Internet palsu, di mana mereka dikehendaki memasukkan nama pengguna dan kata kunci akaun perbankan online mereka, serta maklumat kad bank. 

Mereka kemudian diarah pula ke laman web palsu lain yang meminta mereka memasukkan kata laluan sekali sahaja (OTP) yang diterima dalam telefon bimbit mereka. 

"Ini menjejas keselamatan akaun mereka dan membenarkan pelaku untuk memindahkan wang, dengan mangsa hanya menyedari mereka termakan dengan skim penipuan pancingan data," kata polis. 

Menerusi siasatan susulan dan kerjasama dengan DBS Bank, pegawai dari Jabatan Ehwal Komersil SPF mengenal pasti "pihak yang menerima wang yang dialihkan" dan memberkas mereka pada Rabu (9 Jun). 

Lapan suspek itu sedang disiasat atas kesalahan menipu atau pengubahan wang haram, kata polis. 

Sesiapa yang didapati bersalah menipu berdepan dengan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, manakala sesiapa yang didapati bersalah melakukan pengubahan wang haram boleh dipenjara sehingga 10 tahun, didenda sehingga S$500,000 atau kedua-duanya. 

"Polis memandang serius terhadap sesiapa sahaja yang terlibat dalam skim penipuan dan pelaku akan ditangani dengan tegas mengikut undang-undang," kata polis. 

"Untuk mengelak daripada terbabit dalam sebarang jenayah, orang ramai harus selalu menolak permintaan dari orang lain untuk menggunakan akaun bank atau nombor telefon mereka kerana anda akan bertanggungjawab sekiranya ia terkait dengan jenayah." 

Dalam satu catatan di Facebook pada Rabu (8 Jun), DBS mengingatkan pelanggannya agar berjaga-jaga disebabkan "skim penipuan pancing data SMS yang sedang banyak berlaku". 

"DBS tidak akan pernah menghantar sebarang SMS dengan pautan yang boleh diklik," menurut bank tersebut. 

"Untuk melindungi pelanggan kami, kami mungkin mengambil langkah-langkah jangka pendek untuk patahkan percubaan pelaku dan meminta pemahaman anda sekiranya terdapat sebarang kesukaran atau kelengahan dalam urus niaga," menurut DBS Bank dalam satu kenyataan bersama dengan polis.

Pada Ahad, polis menyatakan sekurang-kurangnya 28 mangsa kerugian kira-kira S$114,000 sejak Mei tahun ini selepas memberikan butiran peribadi dan OTP mereka kepada penipu yang menyamar sebagai pekerja bank.

Ratusan pelanggan OCBC Bank kerugian S$13.7 juta disebabkan skim penipuan pancingan data melalui SMS baru-baru ini.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita