8 anggota baharu dilantik sertai Jawatankuasa Fatwa sehingga 2028
Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) melantik lebih ramai asatizah daripada pelbagai latar belakang untuk menyertai Jawatankuasa Fatwa bagi penggal terbarunya.
SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) melantik lebih ramai asatizah daripada pelbagai latar belakang untuk menyertai Jawatankuasa Fatwa bagi penggal terbarunya.
Seramai lapan anggota baharu dilantik - empat Anggota Penuh dan empat Anggota Bersekutu yang akan berkhidmat selama tiga tahun sehingga 2028.
Menurut MUIS, langkah tersebut mencerminkan komitmennya untuk menangani keperluan agama masyarakat Islam Singapura yang semakin kompleks.
Jawatankuasa itu merangkumi tujuh Anggota Penuh serta 22 Anggota Kanan Bersekutu dan Bersekutu, yang tertinggi sejak ia ditubuhkan pada 1968.
Tahun ini, seramai 30 anggota termasuk Mufti Ustaz Dr Nazirudin Mohd Nasir, membentuk Jawatankuasa Fatwa.
Tujuh merupakan anggota penuh Jawatankuasa Fatwa dengan empat daripadanya anggota baharu.
Mereka adalah Timbalan Mufti Ustaz Dr Izal Mustafa Kamar yang juga menyandang peranan selaku Setiausaha Jawatankuasa Fatwa, Presiden Kanan Mahkamah Syariah Ustaz Irwan Hadi Mohd Shuhaimy, Pengarah Caliph Consultancy, Ustazah Dr Siti Nur ‘Alaniah Abdul Wahid serta asatizah bebas, Ustazah Sakinah Saptu.
Dengan pelantikan Dr Siti Nur 'Alaniah dan Dr Sakinah, ia turut menjadikan bilangan asatizah wanita sebagai anggota penuh bertambah kepada tiga berbanding penggal sebelumnya.
Daripada 22 anggota bersekutu pula, empat merupakan muka baru dengan kepakaran dalam bidang penyelidikan, pembangunan kurikulum dan isu sosial.
Dalam ucapannya, Mufti Ustaz Dr Nazirudin Mohd Nasir menekankan bahawa kredibiliti institusi fatwa bukan sahaja perlu dipelihara, malah diperkukuhkan lagi.
Menurut beliau, ia penting bagi menangani isu-isu semakin kompleks yang dihadapi masyarakat Melayu/Islam tempatan, antaranya dengan meningkatkan bilangan dan mempelbagaikan kepakaran para anggota Jawatankuasa Fatwa.
"Meningkatkan kapasiti Jawatankuasa fatwa dengan menambah jumlah ahli jawatankuasa penuh... kita juga menambah keanggotaan ustazat dan Alimat kita di Singapura atau cendiakawan agama wanita dalam Jawatankuasa Fatwa penuh kerana perspektif dan pandangan mereka adalah amat kritikal dalam pelbagai isu yang dihadapi masyarakat," kata Mufti Ustaz Dr Nazirudin Mohd Nasir.
Dr Siti Nur 'Alaniah pula berkata: "Saya dapat terus menyumbang dan memberi sumbangan dari sudut bidang penyelidikan dan juga membimbing asatizah muda dalam bidang penyelidikan ini dan juga saya rasa apa yang saya terima daripada masyarakat juga adalah mereka ingin lebih tahu tentang proses fatwa.
"Mungkin apa yang saya boleh menyumbangkan selepas ini ialah daripada sudut perkongsian proses fatwa kepada masyarakat."
PELAN KERJA TIGA TAHUN JAWATANKUASA FATWA
Di majlis tersebut, Setiausaha Jawatankuasa Fatwa yang baharu, Timbalan Mufti, Ustaz Dr Izal Mustafa Kamar turut mendedahkan pelan kerja tiga tahun jawatankuasa berkenaan.
Beliau menekankan keperluan menghadapi isu masa depan yang semakin kompleks, termasuk bio perubatan dan perancangan kewangan.
Lantaran itu, Jawatankuasa Fatwa akan memperkukuh komposisinya serta bekerjasama dengan pakar pelbagai bidang.
"Pertingkatkan kerjasama dengan pelbagai lagi pihak sama ada dengan para doktor perubatan dan sebagainya.
"Pada waktu yang sama, pejabat Mufti juga melakarkan perancangan untuk memperluaskan lagi kerjasama kita dengan para pengkaji yang terdiri daripada asatizah muda dan kita gandingkan dengan asatizah yang mapan yang telah lama berkecimpung di dalam bidang fatwa untuk mereka berkongsi dan membuat kajian berkaitan isu-isu yang bakal dibentangkan," kata Timbalan Mufti Ustaz Dr Izal Mustafa Kamar.
Majlis tersebut turut mendedahkan para anggota jawatankuasa falak bagi penggal 2025-2028.
USTAZ DR MOHAMMAD HANNAN HASSAN LEPASKAN JAWATAN TIMBALAN MUFTI
Di majlis tersebut, Mufti Dr Nazirudin turut mendedahkan bahawa Ustaz Dr Mohammad Hannan Hassan, sudah tidak lagi memegang jawatan sebagai Timbalan Mufti.
“Dalam kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan terima kasih yang khas kepada Ustaz Dr Muhammad Hannan Hassan, mantan Timbalan Mufti di atas segala sumbangan beliau kepada perkembangan fatwa dan usaha-usaha Pejabat Mufti mendekati masyarakat.”
“Walaupun Ustaz Hannan tidak lagi bersama MUIS, beliau tetap akan terus memberi sumbangan selaku salah seorang ahli bersekutu kanan Jawatankuasa Fatwa. Terima kasih Ustaz Hannan,” ujar Dr Nazirudin
BERITA Mediacorp difahamkan bahawa Ustaz Dr Hannan, 59 tahun sudah tidak lagi berkhidmat di MUIS sejak 31 Julai.
Ini bermakna bahawa hanya ada dua Timbalan Mufti iaitu Dr Izal dan Dr Mohd Murat Md Aris.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.