Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

74 pegawai Home Team meninggal dunia semasa berkhidmat sejak Jan 2018, 8 bunuh diri

Anggaran Waktu Membaca:
74 pegawai Home Team meninggal dunia semasa berkhidmat sejak Jan 2018, 8 bunuh diri

Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Sun Xueling di Parlimen pada 4 Okt 2022.

SINGAPURA: Seramai 74 pegawai Home Team meninggal dunia ketika berkhidmat antara Januari 2018 dengan September 2022. Lapan daripada kematian itu disifatkan sebagai kes bunuh diri.

Demikian menurut Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Sun Xueling di Parlimen pada Selasa (4 Okt).

"Sebilangan besar kematian ini adalah disebabkan penyakit atau sebab semula jadi," kata beliau.

"Punca kematian bagi tiga pegawai yang lain, yang mempunyai elemen yang menyarankan kemungkinan bunuh diri, masih disiasat koroner."

Cik Sun berkata demikian semasa menjawab soalan Anggota Parlimen (AP) Zhulkarnain Abdul Rahim (PAP-Chua Chu Kang) dan AP Dilantik Shahira Abdullah, yang bertanya tentang langkah-langkah sokongan yang diberikan bagi kesihatan mental pegawai polis.

Soalan-soalan itu diajukan selepas seorang pegawai polis ditemui mati dengan luka tembakan di laluan berjalan kaki dekat Marina Bay Sands pada 19 Sep.

Polis kemudian menyatakan dia menggunakan pistol khidmatnya untuk melepaskan tiga das tembakan, dengan tembakan ketiga ke arah kepalanya.

Encik Zhulkarnain juga merujuk kepada satu laporan pada tahun lalu yang menyatakan kemungkinan pegawai penguatkuasaan undang-undang di Amerika Syarikat (AS) mati akibat bunuh diri ialah 54 peratus lebih tinggi berbanding warga Amerika biasa - dan mereka lebih berkemungkinan mati akibat bunuh diri berbanding semasa menjalankan tugas.

"Kita tidak mahu berdepan dengan situasi serupa di Singapura," kata beliau, sambil menyifatkan insiden di Marina Bay sebagai "kes tragik".

Cik Sun menarik perhatian bahawa kadar bunuh diri dalam kalangan kakitangan Kementerian Ehwal Dalam Negeri, termasuk pegawai Home Team, adalah separuh daripada purata nasional Singapura.

Menurut agensi pencegahan bunuh diri Samaritans of Singapore, 378 orang mengambil nyawa mereka sendiri pada 2021.

Cik Sun berkata pegawai polis mempunyai akses kepada talian bantuan 24 jam, yang dikendalikan para psikologi dan kaunselor kanan mereka sendiri.

Para pegawai Home Team juga boleh menghubungi talian bantuan 24 jam yang disediakan agensi luaran.

Cik Sun berkata identiti pegawai dirahsiakan dan polis tidak menjejak jumlah pegawai yang mendapatkan bantuan kaunseling dan para kaunseling, dan pegawai tidak perlu melaporkan bahawa mereka mendapatkan bantuan itu. Ini bagi menggalak mereka yang mempunyai masalah untuk tampil mendapatkan bantuan.

"Kerjaya pegawai yang mendapatkan bantuan tidak akan terjejas disebabkan mereka tampil mendapatkan bantuan.

"Mereka dinilai berdasarkan prestasi kerja mereka dan kenaikan pangkat bergantung pada merit dan potensi mereka untuk memegang jawatan lebih tinggi," ujarnya.

KENAL PASTI MASALAH KESIHATAN MENTAL

Menyentuh tentang tanda-tanda masalah kesihatan mental, Cik Sun berkata pegawai Home Team menjalani latihan membina daya tahan dan menangani tekanan, termasuk mengesan kebimbangan peribadi dan pencegahan bunuh diri.

"Maklum balas kakitangan dikumpul menerusi sesi perjumpaan yang kerap dan tinjauan pandangan.

"Keprihatinan yang diutarakan termasuk isu-isu yang mungkin dihadapi pegawai di tempat kerja," kata beliau.

"Para penyelia Home Team dilatih dengan kemahiran untuk mengenal pasti dan menyokong pegawai yang memerlukan bantuan. Pendekatan dan budaya ini sudah diterapkan sejak bertahun-tahun lamanya."

LANGKAH-LANGKAH PENCEGAHAN BAGI PEGAWAI BERSENJATA

Encik Zhulkarnain juga bertanya tentang langkah-langkah pencegahan bagi pegawai polis dan polis tambahan yang membawa senjata semasa bertugas.

Cik Sun berkata pegawai sedemikian menjalani pemeriksaan keselamatan sebelum diambil bertugas, manakala semua pegawai polis dan kebanyakan pasukan polis tambahan menjalani penilaian perubatan dan psikologi sebagai sebahagian daripada proses sebelum mereka diambil bekerja.

"Jika pada bila-bila masa seseorang pegawai dinilai sebagai tidak sesuai untuk membawa senjata, mereka tidak akan diberikan senjata api dan akan dikerahkan untuk melakukan tugasan lain bagi membolehkan mereka bertenang dan pulih dari segala tekanan yang mungkin mereka hadapi."
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan