Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

7,300 keluarga memerlukan di CDC Barat Laut terima bantuan dipertingkat We Care@North West

Bantuan tersebut termasuk mendapat produk-produk vitamin selain 12 keperluan makanan lebih sihat.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sepanjang tiga minggu bermula hari ini (15 Jan), sehingga 7,300 keluarga memerlukan di flat-flat sewa CDC Barat Laut akan mendapat bantuan "dipertingkat" di bawah program We Care@North West.

Bantuan tersebut termasuk mendapat produk-produk vitamin selain 12 keperluan makanan lebih sihat.

cdc
(Gambar: Nurhelmy Hakim Irwan)

Di estet Ulu Pandan misalnya, lebih 500 keluarga berpendapatan rendah menerima pek-pek bantuan yang dipertingkat hari ini, dengan Anggota Parlimen GRC Holland-Bukit Timah Christopher de Souza turun padang untuk mengagihkan pek-pek WeCare.

Keluarga-keluarga itu diberi 21 jenis barangan makanan kesemuanya sempena menjelangnya perayaan Tahun Baru Cina. Namun, 12 daripadanya boleh mereka pilih sendiri barangan mana yang mereka inginkan.

KELUARGA TERIMA KOMPUTER RIBA, TEPUNG SUSU, SELAIN PEK-PEK

Hampir 70 keluarga pula mendapat bantuan lebih khusus di enam divisyen CDC Barat Laut, dipanggil bantuan peningkatan kehidupan.

Antara penerimanya termasuklah Cik Sufillah Pasarebu, 40 tahun. Beliau sejak 2010 lagi terpaksa berhenti bekerja sebagai jururawat demi menjaga dua orang anaknya. Suaminya, Muhammad Shahrazad Ahmad, 48 tahun pula bekerja sebagai kontraktor bebas dengan pendapatan yang tidak menentu.

cdc
(Gambar: Nurhelmy Hakim Irwan)

Keluarga Cik Sufillah merupakan penerima baucar-baucar NTUC serta bantuan kewangan tidak melebihi S$1,000 setiap bulan daripada Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Selain isu sara hidup, anak sulung Cik Sufillah yang berusia 12 tahun pula memerlukan jagaan rapi kerana menghidap 'Bilateral Lens Subluxation' sejak lahir yang menyebabkan pandangannya menjadi sangat kabur.

Dari segi persekolahan, anaknya yang bersekolah di Madrasah Alsagoff Al-Islamiah itu menghadapi kesukaran kerana tidak mempunyai komputer untuk menjalani pembelajaran di rumah.

Luah Cik Sufillah: "Tanpa alat elektronik, anak kami terpaksa gunakan telefon bimbit. Kami bergilir. Kalau bukan telefon saya, telefon bimbit suami. Itu sahaja tempat dia bergantung untuk mencari bahan rujukan, untuk selesaikan kerja sekolah.

"Dari segi pelajaran tidak begitu ketinggalan tetapi dia tidak dapat menyempurnakan kerja sekolahnya sebab tiada banyak peluang untuk buat rujukan di internet," tambah Cik Sufillah.

Lantaran itulah, bantuan CDC Barat Laut dan rakan-rakan kongsinya - yang akan memberikan sebuah komputer riba percuma - sangat dialu-alukan keluarga Cik Sufillah. Ini adalah sebahagian daripada Program Peningkatan Kehidupan kendalian CDC Barat Laut.

Cik Sufillah berkata bantuan itu meringankan "bebanan" yang bermain di fikirannya.

"Sebab ia satu kerisauan sebab anak saya. Kita risau kalau dia ketinggalan dari segi pelajaran, tidak dapat menyempurnakan projek dan kerja sekolah," ujar Cik Sufillah.

Bantuan lain yang Cik Sufillah terima termasuklah tepung susu untuk anak bongsunya berusia 6 tahun dan pek bantuan yang termasuk makanan kering berjumlah sekitar S$90.

"Dari segi makanan dan susu yang diberi pada anak bongsu saya, itu juga dapat meringankan sedikit perbelanjaan saya setiap bulan," kongsinya.

MESIN CUCI BAJU BOCOR DAN ALMARI YANG PATAH PAPAN DI DALAM...

Sebuah lagi keluarga yang dibantu di bawah program peningkatan kehidupan CDC Barat Laut itu ialah pasangan suami isteri Mustapha Abu Amin 76 tahun, dan Hamidah Adam, 65 tahun.

Mereka tinggal berdua dan tidak mempunyai anak.

Encik Mustapha terpaksa berhenti bekerja sebagai pembersih di kawasan estet perumahannya empat tahun lalu kerana masalah kesihatan.

"Kebelakangan ini sejak 2018 kesihatan saya kurang baik. Gatal-gatal badan saya, pergi doktor. Sejak itu memang teruk. Nafas saya pun tidak kuat. Bos saya pun kata saya tidak boleh kerja lagi sebab saya sudah tua sudah 76 tahun. Saya cuba nak kerja, kadang-kadang pun bekerja satu hingga dua jam saya sudah perlu rehat," kongsi Encik Mustapha.

cdc
(Gambar: Nurhelmy Hakim Irwan)

Isterinya pula tidak boleh bekerja sejak 20 tahun lalu setelah diserang angin ahmar. Kini, pasangan suami isteri itu bergantung sepenuhnya kepada bantuan kewangan CDC Barat Laut.

Misalnya, mereka menerima wang bantuan S$240 setiap bulan untuk antaranya membayar bil sewa rumah dan bil api air serta membeli barangan dapur.

Dengan simpanan wang agak terhad, mereka tidak mampu menggantikan perkakas rumah yang sudah lama rosak.

"Almari itu senget, dalam pun sudah goyang jadi saya selitkan papan di bawah. Senang kalau ada dua almari saya nak letak kain baju tidak bersepah. Mesin cuci baju pula, bila dia buang air itu, lambat, nanti airnya keluar dan bila nak keringkan, berbunyi 'gedegang gedegung'," cerita Encik Mustapha.

Menurut Cik Hamidah pula, air yang mengalir keluar daripada mesin cuci baju ini sering bertakung di dapurnya dan suaminya perlu mengelap lantai dapur setiap hari.

Hakikatnya sekitaran sebegitu berbahaya kepada keselamatan mereka, termasuk risiko renjatan elektrik daripada mesin pencuci yang rosak.

Kini, pasangan warga emas memerlukan itu boleh berasa sedikit lega kerana CDC Barat Laut dan syarikat Gain City akan memberi mereka sebuah mesin pencuci yang baru serta dua almari pakaian yang baru juga. Kelengkapan rumah itu akan dihantarkan kepada mereka pada Ahad depan (22 Jan).

Encik Mustapha berkata sambil senyum: "Kita rasa gembira, rasa senang sikit. Tak rasa takut-takut lagi."

Secara keseluruhannya, 68 keluarga terpilih dalam CDC itu bakal menerima bantuan kelengkapan rumah seperti ini, mengikut keperluan masing-masing.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan