Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

71 aduan salah laku seksual libatkan siswa NUS sepanjang 5 tahun lalu

Sebanyak 71 aduan salah laku seksual yang melibatkan mahasiswa dibuat kepada Universiti Nasional Singapura (NUS) sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Anggaran Waktu Membaca:
71 aduan salah laku seksual libatkan siswa NUS sepanjang 5 tahun lalu

Gambar fail Universiti Nasional Singapura.

Diterbitkan : 07 Jan 2021 10:50AM Dikemas Kini : 07 Jan 2021 10:58AM

SINGAPURA: Sebanyak 71 aduan salah laku seksual yang melibatkan mahasiswa dibuat kepada Universiti Nasional Singapura (NUS) sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Sekitar sepertiga daripada aduan-aduan yang dikemukakan itu, atau 24 insiden, melibatkan hubungan secara lisan atau sentuhan fizikal yang bersifat seksual, menurut NUS dalam laporan pertamanya mengenai salah laku seksual yang dikongsi dengan para mahasiswa dan kakitangannya pada Rabu (6 Jan).

Laporan itu turut merangkumi aduan-aduan yang dibuat antara 2016 hingga 2020 yang melibatkan para mahasiswa dan kakitangan.

Sebanyak 18 aduan berkaitan dengan penyakit intai (voyeurism) manakala enam yang lain berkaitan dengan mengambil gambar atau rakaman video bawah skirt.

Lima diklasifikasikan sebagai serangan seksual.

Dua aduan dibuat mengenai rogol di mana mangsa mendakwa mereka mengadakan hubungan seks tanpa persetujuan, menurut NUS sambil menambah bahawa tiada tindakan selanjutnya diambil menyusuli siasatan oleh pihak universiti dan polis.

Kategori-kategori lain dalam laporan tersebut merangkumi kelakuan tidak senonoh, membuat permintaan bersifat seksual atau permintaan bagi layanan seksual, serta menyebarkan maklumat seksual atau intim mengenai seseorang mangsa.

NUS sebelum ini menyatakan bahawa pihaknya akan mengeluarkan laporan mengenai salah laku seksual setiap enam bulan sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan kesedaran mengenai isu tersebut setelah beberapa kes sedemikian dilaporkan.

Sepanjang tempoh lima tahun, jumlah aduan yang lebih tinggi - iaitu sebanyak 25 - dikemukakan pada 2019. Sebilangan besar aduan dibuat setelah satu perbincangan terbuka mengenai salah laku seksual diadakan pada April tahun itu, menurut NUS.

12 ADUAN DIBUAT PADA 2020

NUS menyatakan dalam laporannya bahawa ia menerima 12 aduan salah laku seksual pada tahun lalu. Tujuh kes berlaku di kampus sementara selebihnya berlaku di luar kampus atau secara online.

Satu kes yang dilaporkan pada Mac lalu melibatkan seorang mahasiswa lelaki yang berkali-kali menceroboh tandas wanita di asrama untuk mengintai.

Mahasiswa itu digantung dan kemudian dibuang sekolah setelah kesnya disiasat oleh Lembaga Disiplin universiti, dedah NUS.

Satu lagi kes yang dilaporkan pada Februari tahun lalu melibatkan seorang mahasiswa lelaki yang menceroboh beberapa bilik asrama mahasiswi untuk mencuri pakaian dalam.

Mahasiswa itu digantung selama enam penggal dan dirujuk untuk penilaian dan rawatan psikiatri. Dia juga dilarang memasuki kampus dan diberikan surat teguran rasmi.

Daripada 12 aduan yang dibuat pada 2020, lima disiasat oleh Lembaga Disiplin sementara lima aduan yang lain sedang menunggu hasil siasatan. Satu kes dirujuk kepada pihak Fakulti untuk tindakan disiplin sementara tiada tindakan selanjutnya diambil terhadap baki kes disebabkan oleh tidak cukup bukti.

Sembilan daripada kes-kes tersebut dilaporkan kepada polis, tambah universiti itu.

NUS menyatakan dalam laporannya bahawa pihaknya diwajibkan oleh undang-undang untuk melaporkan sebarang kesalahan yang boleh diberkas oleh pihak polis.

19 ADUAN LIBATKAN KAKITANGAN

NUS menyatakan pihaknya turut menerima 19 aduan salah laku seksual yang melibatkan kakitangannya antara 2016 dan 2020. Sebilangan besarnya melibatkan perhubungan lisan atau sentuhan fizikal yang bersifat seksual atau percubaan seksual yang tidak diingini atau permintaan imbalan seksual.

Dalam satu kes yang dilaporkan pada Mac tahun lalu, seorang mahasiswa lelaki membuat aduan terhadap pensyarahnya atas tingkah laku yang tidak wajar.

Mangsa mendakwa bahawa pensyarah itu cuba menjalin hubungan dengannya dan menggalaknya secara tidak wajar untuk menonton video lucah sebagai "ubat insomnia", jelas NUS. Pensyarah itu dipecat selepas siasatan dijalankan.

Dalam laporannya, NUS juga memperincikan proses siasatannya, khususnya bagaimana pihaknya menangani kes. Ini termasuk menyediakan sokongan untuk mangsa dan tertuduh, mengadakan sesi temu bual dan memberikan kemas kini.

NUS menekankan bahawa membina budaya yang saling menghormati menjadi keutamaan universiti itu sedang ia mengambil pendekatan "menyeluruh" untuk menangani sebarang salah laku seksual.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan