Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

700 pengguna khidmat jalur lebar di Bedok terjejas akibat kabel rosak

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Gangguan pada khidmat jalur lebar gentian menjejas sesetengah pengguna di Bedok, menurut NetLink Trust dalam satu kenyataan media pada Ahad (18 Sep). 

Gangguan itu mungkin menjejas khidmat Internet bagi sekitar 700 pengguna, menurut syarikat tersebut. 

NetLink Trust membangunkan, memiliki dan mengendalikan prasarana rangkaian gentian Singapura. 

Menurut NetLink Trust, gangguan itu disebabkan oleh "kontraktor pihak ketiga yang sedang melakukan kerja-kerja binaan". 

Di laman webnya, NetLink Trust turut menjelaskan bahawa insiden seumpama itu berlaku apabila kabel bawah tanah terputus atau rosak,  menjejas khidmat Internet sesetengah pengguna. 

Setakat mana ia terjejas bergantung kepada kerosakan pada kabel gentian. 

NetLink Trust menyatakan pasukannya sedang dalam proses untuk memulihkan khidmat gentian, yang dijangka akan kembali beroperasi semula pada malam ini. 

"Jika khidmat anda terjejas akibat insiden tersebut, kami memohon maaf atas kesulitan yang dialami dan kami menghargai kesabaran anda sedang kami bekerjasama dengan Penyedia Khidmat Internet untuk memulihkan khidmat anda secepat mungkin," menurut syarikat tersebut. 

Tambahnya: "Kami memandang serius terhadap gangguan khidmat sedemikian yang disebabkan oleh kontraktor yang tidak bertanggungjawab dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap pihak berkenaan." 

NetLink Trust menyatakan di laman webnya bahawa antara 2013 hingga 2018, terdapat 23 insiden kabel terputus disebabkan oleh kontraktor pihak ketiga yang terlibat dalam kerja-kerja pembinaan laluan baru MRT, memasang kabel tenaga, kerja-kerja memasang paip air dan kumbahan serta projek-projek pembangunan lain. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan