Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

70% warga S'pura sokong hukuman mati mandatori ke atas pengedar dadah, kata K Shanmugam

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Kaji selidik yang dilakukan Singapura pada 2021 mendapati hampir 70 peratus warga Singapura menyokong hukuman mati mandatori ke atas pengedar dadah. 

Dalam masa sama, Menteri Ehwal Dalam Negeri selaku Menteri Undang-Undang Singapura K Shanmugam menjelaskan, 80 peratus warga Singapura turut mahu hukuman sama dikenakan ke atas kes pembunuhan.

Malah, lebih 80 peratus percaya hukuman mati mampu mengekang kes jenayah yang berlaku di Singapura, lapor Astro AWANI. 

Encik Shanmugam berkata, kajian yang dilakukan mendapati, kira-kira 69 peratus orang termasuk penduduk di selatan Malaysia mengatakan hukuman mati lebih berkesan daripada hukuman penjara seumur hidup.

"Dadah jahat, dadah memusnahkan lebih banyak nyawa. Kami bertanggungjawab ke atas kehidupan rakyat Singapura. Tinjauan ini dilakukan oleh golongan profesional, dan kami tidak terlibat dalam mereka bentuk soalan mengikut cara yang kami dapat, dan jawapan yang kami mahukan.

"Saya pasti ia dilakukan secara profesional," katanya semasa program Consider This yang disiarkan di saluran 501 Astro AWANI pada Khamis (1 Sep). 

Ujarnya, Pemerintah Singapura ketika ini sedang berusaha memberi penjelasan dengan rasional kepada orang ramai mengapa ia melaksanakan hukuman mati.

"Hukuman mestilah berkesan, ia mesti menghalang, dan itulah yang saya maksudkan dengan berkesan dan ini adalah sesuatu yang serius, seperti yang saya tunjukkan daripada tinjauan itu rantau ini.

"Orang ramai tahu undang-undang di Singapura dan oleh itu mereka tidak menyeludup dadah. Namun ada yang tetap mahu mengambil risiko kerana mereka ingin mempunyai banyak wang, tetapi tidak semuanya," tambahnya, seperti dinukil laporan Astro AWANI. 

Ujarnya lagi, sejak hukuman mati mandatori diperkenalkan pada tahun 1990, terdapat pengurangan kira-kira 66 peratus penyeludupan dadah jenis opium ke Singapura.

Malah, ketegasan Singapura itu berjaya menyelamatkan kira-kira 3,000 orang setiap tahun daripada kesan dadah termasuk ahli keluarga mereka.

"Pada tahun 1990-an, kami telah menangkap kira-kira 6,000 pesalah dadah di Singapura setiap tahun.

"Sekarang, kami tangkap separuh daripada jumlah itu, atau kira-kira 3,000 orang, walaupun populasi dan hasil pendapatan kami telah berkembang," kata Encik Shanmugam.

Justeru, beliau tidak melihat pendekatan yang lebih lembut akan dapat memastikan negara itu mampu mencapai pengurangan kes penyeludupan dadah.

"Jadi, apakah yang akan berlaku jika kami beralih kepada pendekatan yang lebih lembut terhadap dadah? Anda tidak perlu meneka.

"Jika anda lihat di seluruh dunia, secara global, 500,000 orang mati setiap tahun akibat penggunaan dadah. Apa pendapat kamu?

"Di Amerika Syarikat sahaja, 100,000 orang meninggal dunia tahun lepas akibat dos berlebihan dadah. 80 bayi dilahirkan setiap hari dengan neonatal sindrom," tambahnya lagi.

Ditanya mengenai langkah Malaysia ke arah memansuhkan hukuman mati mandatori, Encik Shanmugam berkata, Singapura mempunyai sebab yang sebaiknya dalam melaksanakan hukuman berkenaan terhadap pesalah dadah.

"Ia adalah perkara dasar, dalam erti kata lain, contohnya, 15 gram heroin, apakah fungsinya? Ia cukup untuk membekalkan dadah kepada 180 orang penyalahguna dadah selama satu minggu.

"Jadi anda memusnahkan nyawa 180 orang, dan kadang kala jumlah yang dibawa masuk cukup untuk memberi dadah kepada 2,000, 3,000 orang, atau lebih," tegasnya lagi.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan