Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

70 sekolah dapat pengetua baru, termasuk 7 sekolah rendah dan menengah digabungkan

Anggaran Waktu Membaca:
70 sekolah dapat pengetua baru, termasuk 7 sekolah rendah dan menengah digabungkan

Bangunan Kementerian Pendidikan (MOE) (Gambar: Alvin Chong)

SINGAPURA: Sebanyak 70 sekolah akan mendapat pengetua baru pada 2023 sebagai sebahagian daripada rombakan tahunan Kementerian Pendidikan (MOE), menurut kementerian tersebut dalam kenyataan medianya pada Khamis (6 Okt).

Daripada sekolah-sekolah yang terlibat dalam rombakan tersebut, tujuh adalah sekolah gabungan yang akan bermula pada tahun depan:

 

  • Sekolah Menengah Bedok Green (gabungan Sekolah Menengah Bedok Green dan Sekolah Menengah Ping Yi)
  • Sekolah Menengah Chua Chu Kang (Sekolah Menengah Chua Chu Kang dan Sekolah Menengah Teck Whye )
  • Sekolah Menengah Greenridge (Sekolah Menengah Fajar dan Sekolah Menengah Greenridge)
  • Sekolah Menengah New Town (Sekolah Menengah New Town dan Sekolah Menengah Tanglin)
  • Sekolah Rendah Farrer Park (Sekolah Rendah Farrer Park dan Sekolah Rendah Stamford)
  • Sekolah Rendah Telok Kurau (Sekolah Rendah Eunos dan Sekolah Rendah Telok Kurau)
  • Sekolah Rendah Townsville (Sekolah Rendah Guangyang dan Sekolah Rendah Townsville)

 


PENGETUA BARU BAGI MAKTAB RENDAH YANG DIGABUNGKAN

Di Maktab Rendah Anderson Serangoon, Encik Heng Yew Seng akan menggantikan Encik Manogaran Suppiah. Encik Manogaran sebelum itu adalah pengetua Maktab Rendah Serangoon sebelum ia digabungkan dengan Maktab Rendah Anderson pada 2019. Buat masa ini, Encik Heng adalah Pengarah Pejabat Dasar Kurikulum dan Kecekapan Abad ke-21 di Kementerian Pendidikan (MOE).

Di Maktab Rendah Jurong Pioneer, Encik Kevin Ang Keng Jin akan mengambil alih jawatan pengetua yang disandang oleh Dr Hang Kim Hoo sejak 2019. Encik Ang buat masa ini adalah Pengetua Sekolah Menengah Bukit View.

Di Maktab Rendah Tampines Meridian pula, Encik Sin Kim Ho akan menggantikan Cik Yoong Nyok Ke Pamela, yang sudah menyandang jawatan pengetua sejak 2019. Encik Sin buat masa ini adalah Pengarah Divisyen Perancangan dan Pembangunan Kurikulum MOE.

Cik Yoong pula akan menggalas tugas sebagai pengetua baru Sekolah Antarabangsa Singapura (Hong Kong).

Daripada 70 pengetua itu, 26 baru dilantik, menurut MOE.

"Bagi 26 pengetua yang baru dilantik, ini adalah satu pencapaian penting dalam kerjaya mereka sedang mereka memikul tanggungjawab yang lebih besar sebagai pemimpin dalam bidang pendidikan," tambah MOE.

"Bagi 44 pengetua dan pegawai ibu pejabat yang akan menyandang jawatan sebagai pengetua baru, ia adalah satu penegasan keyakinan MOE terhadap keupayaan mereka untuk terus memimpin dan membimbing para guru, pegawai dan pelajar kita di sekolah-sekolah."

Para pengetua baru akan menerima watikah pelantikan mereka pada 29 Disember semasa Majlis Pelantikan dan Penghargaan bagi Para Pengetua, dengan Menteri Pendidikan Chan Chun Sing selaku tetamu terhormat.

MOE menyatakan: "Proses pelantikan dan penggiliran pengetua akan membolehkan sekolah-sekolah untuk memanfaatkan perspektif baru dan membolehkan para pengetua berpengalaman untuk berkongsi amalan-amalan terbaik di sekolah masing-masing."

"Para pengetua juga berpeluang untuk menyahut cabaran-cabaran baru dan mengukuhkan kerja-kerja di sekolah di mana mereka ditugaskan untuk menerajuinya."

Sumber : CNA/AE/ae

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan