70% pekerja rakyat S'pura berjaya dapat kerja baru dalam 6 bulan selepas dibantu pasukan bertindak
Pada 2017, tujuh daripada 10 rakyat tempatan yang dibantu oleh Pasukan Bertindak bagi Pemberhentian Pekerja Bertanggungjawab dan Pemudahan Pekerjaan berjaya mendapatkan pekerjaan dalam tempoh enam bulan, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Rabu (19 Sep).
SINGAPURA: Pada 2017, tujuh daripada 10 rakyat tempatan yang dibantu oleh Pasukan Bertindak bagi Pemberhentian Pekerja Bertanggungjawab dan Pemudahan Pekerjaan berjaya mendapatkan pekerjaan dalam tempoh enam bulan, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Rabu (19 Sep) dalam kenyataan media yang turut menggariskan kad laporan pertama bagi pasukan bertindak itu.
Seramai 9,120 rakyat tempatan diberhentikan kerja daripada 1,247 syarikat pada 2017. Suku daripada jumlah itu menerima tawaran bantuan yang dihulurkan oleh pasukan tersebut, yang turut merangkumi khidmat pemadanan kerja.
Pasukan bertindak yang ditubuhkan pada Mac 2016 itu terdiri daripada para anggota yang mewakili MOM, Tenaga Kerja Singapura (WSQ), Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i).
Tahun lalu, 90 peratus syarikat yang memberhentikan tenaga kerja masing-masing membayar faedah pengurangan tenaga kerja kepada para pekerja rakyat tempatan yang sudah bekerja dengan mereka sekurang-kurangnya selama dua tahun.
Menurut MOM, dengan keadaan ekonomi yang lebih baik, jumlah syarikat yang membayar faedah sedemikian berdasarkan tempoh khidmat pekerja, juga sudah meningkat.
Bagi syarikat-syarikat yang tidak membayar faedah seumpama itu, isu kewangan menjadi sebab utama mengapa mereka tidak memberikan faedah sedemikian, menurut MOM.
Pengerusi pasukan bertindak itu, Encik Tan Choon Shian menghargai usaha syarikat-syarikat yang memastikan agar keperluan para pekerja yang terjejas ditangani dengan sewajarnya dan ini termasuk kesatuan-kesatuan yang memberikan sokongan kepada mereka.
LEBIH BANYAK BOLEH DILAKUKAN BAGI BANTU PEKERJA, SOKONG MAJIKAN LATIH PEKERJA
Menulis di laman Facebooknya, Penolong Setiausaha Agung NTUC Patrick Tay berkata gerakan buruh akan terus bekerjasama dengan rakan-rakan perikatan tiga pihak untuk "menjaga kebajikan pekerja, gaji dan peluang kerja mereka".
Menurut beliau: "Sedang pasaran bangkit semula, masih terdapat ketidaktentuan, gangguan dan penyusunan semula yang mungkin menyebabkan pemberhentian pekerja bagi sesetengah sektor".
"Lebih banyak lagi boleh dilakukan untuk menggalak dan menyokong para majikan untuk melatih dan menajamkan kemahiran para pekerja dan pemberhentian pekerja seharusnya dilihat sebagai ikhtiar terakhir," tegas Encik Tay.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.