Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

70% murid sekolah rendah dijangka terima dos kedua vaksin COVID-19 jelang akhir Feb

Menjelang hujung bulan ini, sekurang-kurangnya tujuh daripada setiap 10 murid sekolah rendah dijangka menerima dos kedua vaksin COVID-19, menurut Kementerian Pendidikan (MOE) pada Jumaat (4 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
70% murid sekolah rendah dijangka terima dos kedua vaksin COVID-19 jelang akhir Feb

Seorang kanak-kanak mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 pada 27 Dis 2021. (Gambar: Hanidah Amin/CNA)

SINGAPURA: Menjelang hujung bulan ini, sekurang-kurangnya tujuh daripada setiap 10 murid sekolah rendah dijangka menerima dos kedua vaksin COVID-19, menurut Kementerian Pendidikan (MOE) pada Jumaat (4 Feb).

Ini berdasarkan tempahan yang sudah dibuat, kata MOE, sambil menambah jumlah yang sama juga sudah mendapatkan suntikan dos pertama, dengan sekitar 75 peratus murid sekolah rendah sudah mendaftar bagi vaksinasi.

Setakat 3 Februari, lebih 192,000 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun sudah menerima dos pertama vaksin COVID-19. Lebih 56,000 kanak-kanak sudah menerima dos yang kedua.

"Secara keseluruhan, kami sudah memberikan hampir 250,000 dos vaksin COVID-19, dengan jumlah rekod hampir 60,000 dos vaksin diberikan baru-baru ini pada minggu 24 hingga 30 Januari 2022," menurut MOE.

Dalam kalangan mereka yang dilahirkan antara 2016 dengan 2017 - iaitu kanak-kanak yang sudah berusia atau akan mencapai usia lima atau enam tahun pada 2022 - hampir 13,000 sudah menerima sekurang-kurangnya dos pertama, dengan hampir 18,500 pendaftaran dibuat sejauh ini, menurut MOE. Mereka merupakan kanak-kanak yang berada dalam lingkungan usia prasekolah.

MOE juga menyatakan Kementerian Kesihatan (MOH) secara bertahap-tahap mempelawa kanak-kanak berusia 12 hingga 17 tahun yang layak bagi program vaksinasi dos penggalak, dengan golongan berusia 16 hingga 17 tahun dipelawa dahulu mendapatkan dos penggalak.

Mulai 14 Mac, mereka yang berusia antara 12 dengan 17 tahun perlu mendapatkan dos penggalak dalam tempoh 270 hari selepas menerima dos kedua vaksin COVID-19 untuk mengekalkan status lengkap divaksin.

"Kami sangat menggalakkan mereka yang layak secara perubatan supaya mendapatkan dos penggalak lebih awal bagi perlindungan lebih baik," menurut MOE.

DUA PUSAT VAKSINASI PAEDIATRIK AKAN HENTI BEROPERASI

Dua pusat vaksinasi paediatrik (VC) di Kelab Masyarakat (CC) Nanyang dan Queenstown akan berhenti beroperasi selepas 27 Feb, menurut MOE.

"Menjelang akhir Februari, jumlah kanak-kanak yang perlu mendapatkan vaksin akan berkurangan, berikutan permintaan tinggi untuk mendapatkan vaksin bagi 3 hingga 4 minggu.

"Oleh demikian, MOH akan mengurangkan jumlah pusat vaksinasi paediatrik secara bertahap-tahap dalam beberapa minggu akan datang," menurut MOE.

Ia menambah bahawa langkah tersebut akan membolehkan MOH untuk "memperuntukkan lebih banyak sumber ke arah program vaksinasi dos penggalak nasional".

Kedua-dua pusat vaksinasi paediatrik itu akan tetap menerima janji temu sehingga tarikh ia berhenti beroperasi. Namun ia tidak lagi menerima kemasukan individu yang ingin mendapat suntikan dos pertama tanpa janji temu mulai 7 Februari.

13 pusat vaksinasi paediatrik akan terus beroperasi selepas 27 Februari.

"MOE akan terus memantau situasi COVID-19 dan membuat penyesuaian sewajarnya bagi memastikan sekolah kami selamat," tambahnya.

"Dengan kadar vaksinasi yang tinggi, kami berharap dapat menyambung semula lebih banyak ciri kehidupan di sekolah dengan langkah-langkah keselamatan sewajarnya."

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan