Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

70 lokasi pengangkutan awam akan sediakan kios periksa suhu badan

Kios-kios layan diri bagi memeriksa suhu badan tanpa sentuhan akan disediakan secara bertahap-tahap di 70 tempat pengangkutan awam merata negara menjelang suku ketiga 2020. Demikian diumumkan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) pada Rabu (24 Jun). 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 24 Jun 2020 12:42PM Dikemas Kini : 24 Jun 2020 09:27PM

SINGAPURA: Kios-kios layan diri bagi memeriksa suhu badan tanpa sentuhan akan disediakan secara bertahap-tahap di 70 tempat pengangkutan awam merata negara menjelang suku ketiga 2020. Demikian diumumkan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) pada Rabu (24 Jun).

“Sedang Singapura melangkah ke Fasa 2 pembukaan semula yang selamat, inisiatif ini melengkapi langkah-langkah keselamatan sedia ada termasuk bagi pengangkutan awam, tempat kerja, sekolah, pusat beli-belah dan kemudahan masyarakat untuk melindungi kesihatan awam secara keseluruhannya," menurut MCCY dalam satu kenyataan media.

“Demam adalah salah satu simptom biasa COVID-19. Semua orang digalak supaya terus berwaspada dengan memantau kesihatan mereka dengan rapi. Walaupun ini tidak akan mengesan kes yang tidak bergejala, inisiatif ini adalah untuk mengingatkan mereka yang bergejala supaya duduk di rumah dan mendapatkan rawatan segera bagi memastikan Singapura selamat."

MCCY, Penguasa Pengangkutan Darat (LYTA) serta Agensi Pertahanan Sains dan Teknologi (DSTA) menyokong para pengendali pengangkutan awam Singapura - SBS Transit, SMRT Corporation, Tower Transit Singapore dan Go-Ahead Singapore - untuk menyediakan kios-kios tersebut, menurut kementerian itu.

Kios-kios itu akan disediakan di lokasi pengangkutan awam yang sesuai bagi tempoh sehingga setahun. 70 tempat pengangkutan awam itu meliputi sekitar 20 pusat pertukaran bas dan 50 stesen kereta api.

“Nod pengangkutan awam dengan jumlah penumpang yang lebih tinggi serta tempat-tempat di mana para penumpang lazimnya memulakan perjalanan mereka sudahpun dipilih," menurut MCCY.

Sehingga hari ini, kios-kios sedemikian sudahpun disediakan di lima tempat: stesen MRT Braddell, stesen MRT Boon Keng, stesen MRT Tiong Bahru, pusat pertukaran bas Bukit Panjang dan pusat pertukaran bas Serangoon.

PEMERIKSAAN SUHU BADAN TIDAK DIWAJIBKAN

Walaupun pemeriksaan suhu badan di nod pengangkutan awam tidak diwajibkan, kios itu "berfungsi untuk menggalak masyarakat supaya terus berwaspada dengan memeriksa suhu badan mereka dengan kerap sebelum melakukan perjalanan ke destinasi mereka," jelas MCCY.

Orang ramai boleh menggunakan kios tersebut secara sukarela sepanjang tempoh operasi sesebuah lokasi pengangkutan awam.

"Peranti ini tidak memiliki keupayaan untuk mengumpul data atau menyimpan gambar dan tidak ada data peribadi yang dikaitkan dengan bacaan suhu badan," tambah kementerian itu.

Kios pemeriksaan suhu badan layan diri itu adalah peranti tanpa sentuhan yang mengesan haba daripada dahi seseorang individu untuk memberikan bacaan suhu badan.

Menurut MCCY, peranti itu mengambil kira-kira dua saat untuk memeriksa suhu badan. Sistem penilaian suhu badan peranti berkenaan mempunyai ketepatan ukuran 0.3 darjah Selsius.

Sekiranya kios itu mengesan bahawa seseorang individu demam, inidividu berkenaan mungkin ingin mengesahkan suhu badan mereka dengan termometer lain dan segera berjumpa doktor jika mereka berasa tidak sihat, tambah kementerian itu. 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/FZ/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa